-

23 Tip Kesihatan Buat Wanita Dari Pakar Sakit Puan, Dr. Hamid Arshat

Share this article with other mums

Elak masalah penyakit kronik dengan mencuba 23 tip kesihatan yang telah dikongsikan oleh doktor pakar kanak-kanak terkemuka Malaysia, Dr. Hamid Arshat. Ianya merangkumi saranan gaya hidup, cara pemakanan dan pengambilan minuman sihat. Jom baca lebih lanjut!

Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Kita memang selalu mendengar ungkapan ini dan seorang pakar sakit puan yang terkenal di kalangan para ibu di Malaysia, Dr. Hamid Arshat, juga bersetuju dengan madah ini.

Dalam post terbaru di laman FBnya, Dr. Hamid ada berkongsi 23 tip kesihatan buat wanita yang boleh anda cuba. Apa agaknya tip-tip yang diberikan? Jom teruskan membaca!

23 Tip Kesihatan Buat Wanita, Terutamanya Para Ibu dan Bakal Ibu

Tip-tip kesihatan buat wanita yang dikongsikan oleh doktor pakar ini boleh dibahagikan kepada tiga jenis kategori – gaya hidup, cara pemakanan dan cara peminuman. Jom baca setiap satu dan ambil manfaat dari nasihat ini.

Tip Kesihatan Buat Wanita – Cadangan Gaya Hidup

  • Bertemu doktor bertauliah sebelum mencuba kaedah alternatif – Menurut Dr. Hamid, anda patut bertemu dengan doktor perubatan sedari awal untuk mengubati penyakit. Kaedah tradisional sepatutnya digabungkan kemudian setelah mendapatkan khidmat nasihat doktor.
  • Banyakkan berdoa – Kuasa doa itu sememangnya magis. Bermohonlah setiap hari kepada Tuhan supaya dikurniakan kesihatan yang baik.
  • Berfikiran positif dan mengamalkan gaya hidup sihat – Fikiran positif dapat mengubah minda kita. Amalan hidup sihat dapat mengurangkan kebergantungan kita kepada ubat-ubatan.
  • Kurangkan pendedahan diri pada toksin – Di persekitaran kita, ada pelbagai jenis pencemaran radiasi dan bau bahan kimia. Penggunaan minyak wangi kimia serta pewangi kereta dan rumah tidak digalakkan oleh Dr. Hamid.
  • Kawal stress secara berkesan – Stress dapat membuka ruang kepada penyakit. Jadi, bermula hari ini, kawal stress anda dengan melakukan aktiviti yang anda gemari dan dapatkan rehat yang mencukupi.

Source: Pexels.com

  • Bersenam setiap hari – Anda perlu meluangkan sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari untuk melakukan senaman. Anda boleh memilih jenis senaman yang bersesuaian dengan anda, namun pastikan peluh anda keluar! Ia dapat membantu mengawal penyakit kronik seperti angin ahmar, darah tinggi, diabetes dan serangan jantung.
  • Periksa buah dada – Apabila anda mandi, periksa juga buah dada dan bahagian di bawah ketiak anda untuk memastikan tiada ketulan. Picit juga puting buah dada untuk memeriksa sama ada keluar sebarang jenis lendir atau darah.
  • Pantau berat badan – Dr. Hamid Arshat juga menyarankan supaya berat badan anda tidak melebihi 60kg. Senaman dan kawalan pengambilan karbohidrat serta gula dapat membantu anda mendapatkan berat badan yang ideal.
  • Buat pemeriksaan rahim – Jika anda selalu mengalami senggugut, haid yang tidak teratur, dan pendarahan yang berpanjangan, anda perlu membuat pemeriksaan scan rahim. Ia bagi mengesan punca kepada masalah tersebut.

Tip Kesihatan Buat Wanita – Cadangan Pemakanan

  • Amalkan pemakanan seimbang – Menurut satu hadis, kebanyakkan penyakit adalah diakibatkan oleh gangguan jiwa dan pemakanan tanpa zat. Jadi, bermula hari ini, kurangkanlah memakan makanan segera, makanan diawet, makanan dalam tin, serta makanan yang diproses.
  • Kurangkan gula dan karbohidrat – Orang Malaysia memang gemar makan nasi dan minuman manis seperti teh tarik, milo dan sebagainya. Dr. Hamid menasihatkan para wanita supaya mengurangkan pengambilan dua jenis makanan ini - gula dan karbohidrat.
  • Makan bila lapar, berhenti sebelum kenyang – Untuk mengelakkan makan secara berlebihan, kita digalakkan untuk makan hanya apabila lapar. Jika satu hidangan tidak mencukupi, anda boleh menambah. Cumanya, pastikan ia terdiri daripada lauk dan sayuran sahaja, tanpa nasi.
  • 70% hidangan adalah sayur dan buahan – Dr. Hamid Arshat juga menasihatkan para wanita supaya memperbanyakkan sayur dan buah-buahan dalam pemakanan seharian. Semuanya perlu segar dan bukan yang diproses. Malah, jika dimasak, sayur tidak sepatutnya dimasak terlalu lama (overcooked).
  • Makan dengan cara yang betul – Dr. Hamid juga memberikan tip makan dengan betul. Antaranya ialah mengunyah sebanyak 15 ke 20 kali sebelum menelan serta memulakan dengan memakan buah. 15 ke 20 minit kemudian, barulah makan nasi atau hidangan berat lain.

Source: Pexels.com

  • Kurangkan snek segera antara hidangan utama – Sebagai alternatif kepada snek segera, pakar sakit puan ini juga mencadangkan supaya anda mengambil lebih banyak kismis, walnut, gajus, buahan beri, badam, labu, dan biji kuaci.
  • Ulam sebagai antikanser – Masukkan juga ulam-ulaman yang berzat ke dalam pemakanan anda. Kacang botol, misai kucing, sambung nyawa dan tujuh jarum amat berkhasiat. Menurut doktor, ia dapat membantu mengawal darah tinggi, kencing manis, kanser serta bagus untuk otak dan jantung.
  • Ambil vitamin suplemen – Doktor  ada menyatakan bahawa wanita banyak kehilangan zat besi ketika haid. Malah, kita juga memerlukan banyak vitamin selepas bersalin atau semasa menyusu badan. Maka, anda perlu mengambil vitamin suplemen setiap hari seperti zat besi, antioksida, serat, kolagen, peptida, vitamin C, dan kalsium.
  • Cadangan makanan tambahan – Anda juga boleh meniru gaya pemakanan Dr. Hamid yang mengambil minyak ikan, biji anggur, habbatus sauda, dan royal jelly bagi membekalkan mineral dan vitamin kepada badan.

Tip Kesihatan Buat Wanita – Cadangan Minuman

  • Ambil minuman berkhasiat – Untuk minuman, anda juga perlu mengehadkan minuman kopi kepada hanya secawan atau dua cawan sahaja sehari. Selebihnya, banyakkan meminum air kosong atau air teh hijau.
  • Cadangan minuman sihat lain – Selain air mineral dan teh hijau, air kelapa (tanpa gula) dan jus buah juga bagus untuk wanita. Ia kaya dengan zat, vitamin dan logam.

Source: Pexels.com

  • Tip masalah keputihan untuk wanita – Jika anda selalu mengalami masalah keputihan atau gangguan air kencing, cuba pula minuman ini: jus cranberi, limau nipis/kasturi dan jus lemon.
  • Ambil madu dan minyak zaitun setiap hari – Antara tip kesihatan lain adalah mengambil sesudu madu dan minyak zaitun setiap hari, pagi dan petang. Ianya baik untuk jantung dan otak anda.
  • Tip untuk wanita menopaus – Bagi mereka yang mengalami menopaus, hormon estrogen akan semakin berkurangan. Jadi, perbanyakkan mengambil bijiran, sayuran dan kekacang seperti soya yang kaya dengan phytoestrogen.

Kebahagiaan dalam Kehidupan itu Ada Pada Kesihatan

Jadi, apa kata anda cuba saranan yang telah dikongsikan oleh Dr. Hamid Arshat ini. Apabila badan kita sihat, kita boleh menikmati kehidupan kita dengan sempurna. Ia sesuatu yang tidak boleh dibeli dengan wang.

Dengan badan yang sihat dan kuat, dapatlah kita terus beribadah, mencari rezeki dan menjalani hidup sehari-hari bersama orang yang kita sayangi dengan lebih baik!

Kesihatan