3 Sebab Mengapa Anda Tidak Patut Memberi Komen Tentang Berat Badan Seseorang
Tahukah anda sebenarnya memberi komen tentang berat badan seseorang itu, sama ada ia telah naik atau turun, adalah satu perbuatan yang tidak patut dilakukan. Kesannya kepada orang yang ditanya adalah lebih besar daripada yang anda sangkakan!
Perasan atau tidak, kita berada di dalam komuniti yang hanya memuji mereka yang berjaya menurunkan berat badan.
Mereka yang mengalami pertambahan berat badan dilabel sebagai orang yang malas serta tidak ‘cantik’.
Mereka juga tidak terkecuali daripada disarankan pelbagai jenis diet dan suplemen.
Hingga wujudnya budaya harus berdiet dan fobia akan kegemukan.
Tetapi, tahukah anda sebenarnya memberi komen tentang berat badan seseorang itu adalah satu perbuatan yang tidak patut dilakukan.
3 sebab kenapa anda tidak patut memberi komen tentang berat badan orang lain
Berikut adalah tiga sebab utama mengapa anda tidak patut memberi komen terhadap berat badan seseorang;
- Berat badan bukanlah penentu segalanya
Orang yang anda puji kerana berjaya menurunkan berat badan mungkin sedang bergelut dengan masalah pemakanan atau sedang bergelut dengan penyakit yang membahayakan nyawa seperti kanser, depresi atau masalah lain. Orang yang anda tegur kerana berat badan naik pulak mungkin sedang pulih dari masalah makan atau baru memulakan pemakanan yang sihat.
Menjadi kurus bukanlah “bagus” dan menjadi berisi bukanlah “teruk”. Badan manusia tidak sama dan sentiasa berubah-ubah. Ia tidak selamanya sama dan anda tidak harus malu dengan perubahan yang anda alami. Malah, seseorang tidak boleh dinilai hanya berdasarkan berat badan mereka.
- Komen mengenai berat badan boleh menjadi faktor pencetus buat sesetengah orang
Contohnya bagi seseorang yang pernah mengalami masalah pemakanan seperti anoreksia, ayat semudah ‘bila hendak gemuk’ boleh menyebabkan gangguan pemakanannya berulang sehingga boleh membahayakan nyawa. Besar bukan kesannya?
Begitu juga jika anda memberi komen seperti ‘bila hendak kurus’ kepada seseorang. Anda mungkin tidak tahu yang dia sedang bergelut untuk menurunkan berat badan dan komen seumpama itu hanya menyebabkan dia putus asa. Ya, komen mengenai berat badan seseorang boleh menjadi faktor pencetus.
- Menyasarkan fokus utama yang lebih penting
Contohnya, bagaimana seseorang itu boleh menjadi sangat hebat di dalam karier namun, fokus tersasar akibat sering kali menerima komen tentang berat badannya dan bukan prestasinya. Bukan salah mereka sepenuhnya, kerana masyarakat sekeliling ‘mendesaknya’ untuk lebih fokus dengan berat badan berbanding karier.
Eh, lama tidak berjumpa, terus bertanya pasal berat badan kita!
Sedih bukan apabila bertemu seseorang yang sudah lama tidak berjumpa, namun perkara pertama yang menjadi topik dibincangkan ialah berat badan.
Disebabkan ini jugalah ramai yang menjadi tidak yakin untuk bergaul atau berjumpa semula rakan-rakan untuk bersosial. Secara tidak langsung menjadikan kesihatan sosio-emosional mereka tidak sihat.
Dengan hanya memberi fokus pada rupa paras dan berat badan, seseorang yang berbakat tidak dipandang bakatnya.
Seseorang yang mempunyai potensi besar untuk maju tidak diberi peluang. Dan kualiti diletakan pada rupa paras.
Bukanlah lebih baik jika fokus yang sama diberikan kepada kelebihan dan potensi mereka?
Bukankah ia akan menggalakan mereka lebih bersinar dengan kelebihan mereka? Dan bukannya menjadi malap akibat ditutup dengan komen berat badan.
Ia bukannya mudah namun, mereka yang sentiasa diberikan komen harus bijak menangani komen-komen seumpama ini.
Supaya, emosi dan fokus diri sendiri tidak menjadi negatif. Senegatif komen yang diberikan.
Walaubagaimanapun, pemakanan yang sihat itu memang penting untuk kesihatan jangka masa panjang.
Lakukannya untuk diri sendiri dan bukanlah untuk memuaskan hati sesiapa.
Anda lebih dari hanya kata-kata orang. Anda menentukan siapa diri anda 🙂