Ikut Waze Ke Tempat Kerja, 3 Sekawan Terkandas Dalam Banjir- Tak Sangka Jalan Ditenggelami Air!

undefined

Gara-gara menggunakan aplikasi Waze untuk ke tempat kerja, lori yang dinaiki tiga sekawan terperangkap di dalam banjir di Pengkalan Telok

Bagaimanapun, mangsa Rosmaini Ahmad, 43, Mohd Badawi Ramli, 41 dan Lim Chee Wei, 28, bernasib baik selepas diselamatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, sekitar jam 8.30 malam tadi.

Rosmaini berkata, mereka bertiga bergerak dari Alor Setar, Kedah untuk melakukan kerja pendawaian di sebuah kilang padi terletak di Kampung Tasek Berangan,di sini.

Kurang Arif Tentang Jalan

“Sebenarnya, ini adalah kali kedua kami ke kilang berkenaan tetapi sebelum ini Waze menunjukkan jalan lain untuk sampai destinasi terbabit. Memandangkan kami kurang arif tentang jalan di sini, kami menggunakan Waze sekali lagi namun tidak menyangka ia menunjukkan jalan yang sudah dinaiki air.

“Kami melalui jalan berkenaan sekitar jam 5.30 petang dengan meredah air sejauh 500 meter. Kami sangkakan paras air tidak begitu tinggi namun terkejut apabila tiba-tiba lori sudah tidak boleh bergerak kerana paras banjir semakin tinggi.

“Dalam saat getir itu, saya menelefon talian kecemasan 999 sebelum mereka menghubungkan saya dengan pihak bomba serta polis yang kemudian datang memberi bantuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rosmaini berkata, mereka terpaksa meninggalkan dulu lori yang dipenuhi alatan kerja di situ kerana kawasan berkenaan sudah terkepung dengan banjir.

Tidak Pernah Berdepan Banjir

“Ini adalah pengalaman pertama kali kami tidak pernah merasai situasi banjir. Bagaimana pun, saya sangat berterima kasih kepada anggota bomba dan polis yang pantas menghulurkan bantuan serta menyelamatkan kami bertiga.

“Buat masa sekarang kami berlindung dahulu di kilang padi sementara menunggu air surut untuk mengalihkan lori terbabit. Kerja juga tergendala buat sementara waktu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Mohd Azmi Hussin, berkata pihaknya menerima panggilan telefon pada jam 6.20 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik sampai, benar terdapat tiga mangsa terperangkap di dalam lori dan berada di kawasan kepungan banjir. Kedudukan semua mangsa dengan daratan lebih kurang 200 meter

“Kami membantu menyelamatkan kesemua mangsa di tempat selamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk bantuan seterusnya,” katanya.

 

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!