5 Cara Berkesan Artis Korea Mendidik Anak Tripletnya Yang Boleh Anda Tiru
Hiburan Korea itu bukannya K-Pop semata-mata. Ada nilai murni dan pengajaran penting yang boleh anda timba daripada rancangan variety Korea – antaranya cara mendidik anak!
Jika anda penggemar rancangan variety Korea, sudah pasti anda pernah menonton The Return of Superman. Anak-anak di dalam rancangan ini memang comel-comel belaka. Namun, adakah anda perasan?
Cara mendidik anak yang digunakan oleh ibu bapa Korea ini ternyata menarik dan berkesan. Jom kita tengok cara berkesan artis Korea mendidik anak – Song II-Gook dan anak kembar tiganya. Mungkin anda turut boleh mencubanya kepada si kecil anda di rumah.
1. Mengajar Anak Adab Di Meja Makan
Seorang pakar psikologi kanak-kanak dari Korea Selatan, Son Suk Han, telah memuji cara seorang bapa, dan juga artis Korea, Song II-Gook, dalam mendidik dan mendisiplinkan anaknya. Antara perkara yang dipuji oleh pakar psikologi ini adalah cara Song II-Gook mendidik adab di meja makan kepada anak-anaknya.
Antara yang ditegaskan oleh si bapa ini adalah kepentingan menunggu yang lain sebelum mula makan. Malah, apabila anaknya bermain dengan makanan, beliau tidak menengking atau bercakap kasar. Dia hanya menggunakan nada yang tegas dan memperbetulkan kesilapan anaknya sebaik sahaja kesalahan tersebut berlaku.
Menurut pakar psikologi, membetulkan kesilapan anak sejurus sahaja dia melakukannya adalah lebih berkesan berbanding membiarkan dan memperbetulkan beberapa hari kemudian.
2. Mendisiplinkan Anak Dengan Memikirkan Kesilapan Masing-Masing
Selalunya, apabila anak kita membuat salah, kita akan memarahi dan mendendanya dengan pelbagai cara. Ada juga yang menggunakan langkah drastik dengan memukul si kecil tersebut.
Sebenarnya, ada cara lain yang lebih berkesan dalam mendisipinkan anak. Sebagai contoh, Song II-Gook akan menyuruh anaknya duduk di kerusi khas – dipanggil Kerusi Berfikir.
Ia seolah-olah gaya denda yang digunakan oleh mat saleh iaitu denda time-out. Namun, cara bapa Korea ini mendidik anaknya adalah lebih unik dan berkesan. Song II-Gook akan menegur kesilapan si triplet dengan tegas dan kemudiannya meminta mereka untuk duduk di kerusi berfikir masing-masing.
Setiap seorang diberi masa beberapa minit untuk memikirkan kesilapan dan refleski diri sebelum dia kemudiannya memeluk mereka. Perbuatan si ayah ini membuatkan si anak sedar akan kesalahan mereka dan pada masa yang sama, masih lagi rasa disayangi.
3. Berkongsi Barang Permainan dalam Masa Yang Ditetapkan
Kadangkala, apabila anak kita bergaduh dan berebut mainan, kita hanya sekadar berkata, “Bagilah adik main, dia kecil lagi” ataupun “Simpan mainan tu. Dua-dua tak dapat main”. Sebenarnya, bergaduh akibat berebut mainan atau barangan lain itu adalah perkara biasa.
Sepatutnya kita mengambil peluang daripada pergaduhan ini untuk memupuk rasa kasih-sayang sesama adik beradik dan mengajar erti berkongsi. Sebagai contoh, Song II-Gook akan meminta mereka bergilir bermain permainan tersebut selama 10 minit.
Dengan cara ini, anaknya faham yang mereka akan mendapat giliran bermain dan memupuk rasa bertolak ansur dan saling berkongsi.
4. Memberi Tugas Kecil Untuk Pupuk Rasa Tanggungjawab
Kalau anda perasan, ramai bapa-bapa dalam cerita The Return of Superman ini gemar memberikan tugasan mudah kepada anak-anak mereka. Mungkin bagi kita umur mereka masih sangat kecil dan mentah untuk diberikan kepercayaan pergi ke kedai dan membeli barang, namun itulah yang dilakukan oleh ibu bapa Korea dalam mendidik anak-anak mereka.
Dalam salah satu episod rancangan ini, Song II-Gook telah meminta tripletnya untuk membeli makanan di kedai. Si kembar tiga ini diberi wang dan diminta supaya memulangkan semula bakinya.
Sudah pasti, kita terhibur melihat keletah mereka ketika di dalam perjalanan ke kedai dan sewaktu menjalankan tugasan ‘berat’ yang diberi oleh bapa mereka ini.
Namun, selain daripada terhibur, antara perkara yang paling penting untuk kita pelajari adalah bagaimana Song II-Gook memberikan pujian kepada anaknya walaupun ia tidak dijalankan dengan sempurna. Si kembar itu telah mencicirkan duit baki!
Dengan memberikan kata peransang tanpa memarahi kesilapan mereka, pastilah semakin bersemangat si kecil ini jika diberikan tugasan yang seterusnya! Bijak, bukan?
5. Biar Anak Mencuba Sesuatu Yang Baru, Antaranya Bermain Benda ‘Kotor’
Antara kesilapan kita sebagai ibu bapa dalam mendidik anak-anak adalah sentiasa menginginkan anak yang bersih dan kemas. Tidak salah untuk menginginkan perkara sebegini, namun tahukah anda, dengan membiarkan si kecil anda bergelumang dengan benda yang dianggap ‘kotor’, ia dapat mendedahkan mereka dengan pelbagai perkara baru yang lebih mencabar.
Sebagai contoh, Song II-Gook mengizinkan si kembar tiganya bermain dengan lumpur ketika melawat satu kawasan perkampungan di Korea dan bermain pasir pantai ketika pergi ke laut. Walaupun anaknya orang bandar dan geli dengan lumpur, dia ingin anak-anaknya mencuba pelbagai perkara baru.
Song II-Gook turut memberikan masa kepada tripletnya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru. Tidak cukup dengan itu, dia turut menyertai anaknya bermain lumpur atau bermain membina istana pasir. Ini bukan sahaja membuatkan anaknya seronok, namun dapat mengajar mereka melalui tauladan!
Sememangnya, setiap ibu bapa ada cara yang berbeza dalam mengajar dan mendisiplinkan anak-anak. Jika anda ingin mencuba kaedah baru yang ternyata berkesan dalam melahirkan anak yang patuh, bijak dan penyayang, mungkin anda boleh meniru cara menarik dan berkesan Song II-Gook dalam mendidik anak tripletnya!