5 Perkara Anda TIDAK PATUT Buat Semasa Melawat Bayi Baru Lahir Dan Ibu Berpantang
Ada sesetengah ibu yang baru bersalin lebih suka untuk tidak menerima pelawat semasa di dalam tempoh berpantang.
Melawat rakan-rakan yang baru menimang cahaya mata memang sangat mengujakan.
Kadang-kala kita terlupa batasan yang perlu kita berhati-hati semasa melawat bayi baru lahir dan ibu di dalam pantang. Ini kerana bayi baru lahir dan ibu di dalam pantang mempunyai imuniti yang lemah kerana masih di dalam tempoh pemulihan.
Ikuti perkongsian berikut tentang 5 perkara yang TIDAK patut dilakukan semasa melawat mereka:
1. Datang ketika tidak sihat
Jangan melawat mereka sekiranya anda tidak sihat. Bayi yang baru lahir mempunyai imuniti yang lemah kerana usia mereka yang masih muda. Jadi, mereka akan mudah dijangkiti penyakit.
Begitu juga ibu di dalam pantang mempunyai badan yang lemah kerana baru lepas melahirkan, badan mereka memerlukan sekeliling yang sihat untuk cepat sembuh.
Maka, bertimbang rasalah untuk rakan anda dan bayi mereka untuk tidak melawat mereka jika anda sakit.
2. Datang secara mengejut
Jangan melawat mereka dengan mengejut. Pastikan anda menelefon mereka dahulu sebelum melawat. Ini kerana mereka mungkin sedang menjalani rawatan atau sedang berehat dan memerlukan masa untuk diri mereka.
Jadi apabila anda datang tanpa memberitahu mereka dahulu, anda mungkin telah mengganggu jadual rehat mereka.
3. Datang di dalam keadaan tidak bersih
Seeloknya, datang dengan keadaan yang bersih. Jangan datang dengan pakaian kerja yang kotor atau pakaian selepas bersukan yang kotor.
Ini kerana bayi baru lahir dan ibu berpantang amat sensitif dengan persekitaran mereka. Jadi kebersihan amat penting untuk mengelakkan sebarang risiko jangkitan contohnya.
4. Memegang bayi tanpa izin
Ini adalah pantang larang yang paling penting. Jangan memandai-mandai mengangkat bayi baru lahir tanpa izin. Ini kerana mereka sangat sensitif.
Kita tidak tahu kondisi bayi itu bagaimana mereka mungkin boleh mengalami alergi terhadap minyak wangi kita atau bahan pencuci pakaian kita. Jadi, amat penting untuk pelawat tidak memandai-mandai memegang bayi baru lahir tanpa izin.
5. Jangan bercakap isu sensitif
Isu sensitif di sini adalah subjektif. Ia boleh jadi dari bentuk badan ibu berpantang atau warna kulit bayi tersebut. Amat penting untuk pelawat menjaga bahasa dan tidak memberi komen yang melebih-lebih atau tidak patut.
Perasaan ibu di dalam pantang juga sangat sensitif kerana baru lepas melalui fasa yang penting di dalam hidupnya.
Ada sesetengah ibu yang baru bersalin lebih suka untuk tidak menerima pelawat semasa di dalam tempoh berpantang. Namun kadang-kala menerima pelawat tidak dapat di halang.
Jadi kita sebagai pelawat haruslah menjaga etika ketika melawat. Jangan lupa buah tangan semasa melawat mereka 🙂