5 tabiat anak-anak yang kita wajar belajar dari mereka

Share this article with other mums

Tindak-tanduk mereka kadang-kala adalah sesuatu yang diluar jangkaan. Tapi sedarkah anda, yang sebenarnya, banyak tabiat mereka yang boleh kita pelajari?

Menjadi ibu bapa sememang mencabar kerana kita yang harus membantu membentuk anak-anak kita. Apa yang kita tunjukan itu yang mereka akan ikut. Kerana ini, kita harus sentiasa berhati-hati dengan apa yang kita tunjukan kepada mereka.

Selain bertindak mengikut contoh ibu bapa mereka, kanak-kanak sentiasa memilih untuk membuat sesuatu mengikut gerak hati mereka.

Tindak-tanduk mereka kadang-kala adalah sesuatu yang diluar jangkaan. Tapi sedarkah anda, yang sebenarnya, banyak tabiat mereka yang boleh kita pelajari?

Ikuti perkongsian tentang tabiat anak-anak yang wajar kita belajar.

1. Tidak berpura-pura

Mereka sentiasa jujur dengan apa yang mereka rasa. Contohnya, cuba anda ingat kembali reaksi mereka setiap kali anda mengambil mereka pulang dari taska atau pusat jagaan.

Walaupun itu merupakan rutin anda, namun setiap hari si kecil tidak pernah gagal menunjukkan rasa teruja melihat anda mengambil mereka.

Rasa sayang mereka terhadap kita terpancar di wajah mereka, serta merta segala penat bekerja hilang. Bukankah bagus jika kita juga begitu?

Tunjukkan yang kita hargai orang kita sayang tanpa perlu menyorokkan apa-apa perasaan? Ia bukan sekadar bagus untuk hubungan anda dan pasangan, malah bagus untuk kesihatan emosi kita juga.

Begitu juga jika mereka marah dan tidak puas hati. Mereka akan mula tantrum. Bukanlah anda harus baring berguling di lantai dan mengamuk.

Tetapi, belajar untuk meluahkan perasaan yang tidak bagus supaya anda rasa lebih lega. Mengikut perasaan marah dan kecewa boleh memberi kesan yang buruk terhadap kesihatan kita.

2. Sentiasa melihat ke arah kebaikan

Perasankah anda yang anak-anak kecil amat mudah untuk terhibur? Ini kerana mereka sentiasa melihat sesuatu perkara dari sudut yang gembira dan positif. Mereka seorang yang optimis. Sebatang pen dan sehelai kerta juga sudah cukup untuk mengukir senyuman di wajah mereka.

Apabila kita belajar untuk melihat semua perkara dari sudut baik atau positif dahulu, kita akan kurang berfikir perkara yang buruk.

Minda lebih sihat, malah kita akan lebih positif dan kurang stress. Mengapa memilih untuk menyesakkan kepala dengan segala fikiran negatif sedangkan kita boleh melihat dari sudut yang lebih baik.

3. Rehat ketika penat

Mereka tidak akan memaksa diri mereka untuk terus bermain jika mereka sudah penat. Sebab itulah kita dapat lihat pelbagai gaya tidur yang kelakar. Ada yang tertidur sambil makan, ada yang tertidur sambil duduk malah ada yang tertidur di dalam tong mainan.

Mereka tahu bila untuk berhenti seketika jika mereka perlukan rehat. Sama juga kita yang dewasa. Kita harus belajar untuk berhenti sejenak, berikan rehat yang diperlukan oleh badan kita.

Bukanlah serta merta berhenti bekerja dan pergi tidur selama berjam-jam. Tetapi, cari masa rehat seperti 10 minit sebelum masuk waktu solat Zuhur dan tidur sebentar untuk cas semula tenaga anda. Anda akan rasa lebih cergas dan bertenaga selepas itu.

4. Tidak memilih kawan

Salah satu perkara yang saya sangat suka lihat pada anak-anak kecil. Mereka tidak pernah memilih dengan siapa mereka mahu berkawan. Tidak kira umur, tidak kira bangsa, tidak kira jantina, mereka gembira dengan siapa yang mereka jumpa dan berkawan tanpa menjadi terlampau ‘judgemental‘ dahulu.

Mengapa kita harus menghakimi seseorang sebelum menjadi sahabat mereka? Bukankah lebih bagus jika semua orang berbaik sesama mereka? Ya, kita perlu berhati-hati namun tidak bermakna kita harus menghakimi semua orang disekeliling kita.

5. Meminta bantuan

Mereka sentiasa meminta pertolongan untuk sesuatu yang mereka tidak mampu lakukan sendiri. Kerana, mereka tahu kemampuan mereka. Selepas berusaha membuat sendiri, jika masih tidak berjaya, mereka akan mula mencari bantuan.

Begitu juga kita, belajar meminta bantuan jika memerlukan. Tidak ada manusia yang sempurna dan boleh melakukan semuanya sendiri. Meminta bantuan tidak bermakna kita merendahkan diri kita. Tetapi kerana kita hargai kekurangan diri kita dan belajar hargai pertolongan orang juga.

Menarik bukan, apa yang kita dapat belajar dari anak-anak kita. Tidak bermakna mereka anak kecil mereka tidak dapat memberi pengajaran kepada kita yang dewasa. Banyak sebenarnya yang mereka ajar kita cuma kadang-kala kita tidak perasan.

Pendapat blogger Untuk Ibu & Ayah