6 Tip Membiasakan Anak dengan Car Seat

lead image

Anak-anak yang tidak biasa dengan car seat pasti akan merengek atau menunjukkan tantrum setiap kali diletakkan di dalamnya. Jika anak anda seperti ini, jangan risau. Di sini, kami ada 6 tip untuk membiasakan anak dengan car seat.

Negara kita belum lagi mewajibkan penggunaan car seat bagi kanak-kanak. Walaupun ada ura-ura yang mengatakan bahawa ia akan mula diwajibkan tidak lama lagi, tetapi ia belum dibuat secara rasmi.

Namun, wajib atau tidak, kita semua sudah tahu yang ia amat penting – atas tujuan keselamatan. Jadi, jika anda bercadang untuk memulakan penggunaan kerusi keselamatan tersebut tetapi tidak tahu caranya, kami akan kongsikan tip membiasakan anak dengan car seat.

Khairul Abdullah, di laman FBnya, ada berkongsi tentang pengalaman memupuk tabiat duduk di dalam car seat di kalangan anaknya.

1.    Buatkan Anak Anda Rasa Selesa

Sama seperti orang dewasa, apabila kena duduk di tempat yang keras atau bersandar secara terlalu tegak, memang tidak sedap rasanya.

Jika kita inginkan kerusi kereta yang selesa dan empuk, begitu juga dengan anak-anak. Buatlah pelaburan yang berbaloi dan belilah car seat yang terbaik buat mereka.

Jika dirasakan bajet anda tidak mencukupi untuk membeli car seat yang berharga ratusan ringgit, buatkan car seat yang sedia ada lebih selesa.

Sama ada anda meletakkan lapik tambahan atau alas selimut supaya lebih empuk. Jika selesa, pasti anak-anak tidak berasa keberatan duduk di dalamnya.

2.    Mulakan Penggunaan Car Seat Dari Awal

tip car seat 6 Tip Membiasakan Anak dengan Car Seat

Source: Childrenscolorado.org

Khairul menyatakan bahawa dia sudah mula menggunakan car seat untuk dua orang anak kecilnya sejak awal lagi. Anda juga boleh berbuat perkara yang sama. Mulakan penggunaan car seat sebaik sahaja anak anda lahir dan keluar hospital lagi.

Apabila mereka sudah terlatih dari kecil, anak-anak ini akan berasa yang car seat itu memang tempat duduk mereka. Malah mereka juga mungkin akan berasa janggal jika perlu duduk di kerusi kereta biasa!

3.    Pupuk Rasa Hak Milik

Selalunya, apabila kanak-kanak itu berasa yang sesuatu benda itu milik mereka, mereka akan menjaga dan selalu ingin menggunakannya. Samalah seperti car seat. Khairul mencadangkan supaya ibu bapa membiasakan anak dengan kerusi tersebut.

Biarkan si manja anda meletakkan pelekat sticker atau menulis namanya pada car seat tersebut. Jika dia ingin menghiaskannya dengan mainan kegemarannya pun, biarkan sahaja.

Jika dia ingin menonton TV di ruang tamu dengan car seatnya, buka daripada kereta dan biarkan dia duduk di dalamnya.

Lambat laun, dia pula yang akan secara sukarela mencari car seat dan meletakkannya ke dalam kereta untuk dia duduk!

4.    Biarkan Anak Kecil Anda Memilih Kelengkapan yang Diingininya

child car seat 6 Tip Membiasakan Anak dengan Car Seat

Source: Warwickshire.gov.uk

Untuk membuatkan anak anda rasa lebih selesa ketika duduk dalam car seat, biarkan dia membawa teddy bear kesayangannya bersama. Ataupun, berikan dia buku atau mainan yang lain untuk dia letakkan dalam car seatnya.

Pupuk juga supaya dia meletakkan botol minuman atau makanan sneknya di situ. Ini boleh menghilangkan kebosanannya ketika duduk dalam car seat ketika perjalanan jauh.

5.    Berikan Waktu Rehat

Jika perjalanan anda jauh, pastikan anak anda keluar dari car seatnya ketika berhenti di R&R. Ini membolehkan dia menghilangkan rasa lenguh dan letih.

Malah, jika mereka merengek atau menunjukkan tantrum ketika dalam perjalanan, berhentilah seketika. Keluarkan mereka dan biarkan mereka bertenang.

Kalau dipaksa, takut-takut mereka akan berasa benci pula pada kerusi tersebut.

6.    Berikan Pujian dan Kata Semangat

Lagi satu cadangan yang diberikan adalah anda sebagai ibu bapa perlu memainkan peranan sebagai penggalak. Apabila mereka sudi untuk duduk dalam car seat, berikan kata-kata pujian seperti “Bagusnya abang ni duduk dalam car seat. Sudah besar dan pandai!”.

Ataupun, katalah “Kalau duduk dalam car seat, kakak akan rasa selamat, kan? Bijaknya kakak.” Pasti berbunga-bunga hati si manja anda!

Tip Lain untuk Membiasakan Anak dengan Car Seat

Selain daripada cara-cara di atas, amat penting juga anda sebagai ibu bapa memberi tunjuk ajar dan didikan. Beritahu kepada mereka sebab sebenar mengapa mereka perlu duduk di dalam car seat dan bukannya berdiri atau melompat-lompat di dalam kereta.

Khairul juga mengingatkan ibu bapa supaya tidak membuat sebarang pengecualian – hari ini pakai dan besok boleh pula tidak pakai. Jika dibuat pengecualian ini, susah untuk anak anda memupuk tabiat memakai car seat. Jadi, cuba elakkannya!

Yang penting adalah ingatkan mereka selalu dan biarkan mereka rasa selesa ketika duduk dalam car seat. Apabila diulang-ulang peringatan tersebut, mereka pasti akan faham dan ingat. Lambat laun, ia pula menjadi habit mereka.

Tidak perlu lagi bersuruh-suruh, buka sahaja pintu kereta, pandailah mereka duduk dan mengenakan tali pinggan car seat tersebut!