8 Cadangan Permainan Kreatif untuk Majlis Baby Shower

Kalau anda teringin untuk mengadakan parti baby shower tetapi tidak tahu aktiviti menarik apa yang anda boleh lakukan, jom tengok 8 cadangan permainan kreatif untuk majlis baby shower yang kami sediakan ini!

Jika anda bercadang untuk membuat parti baby shower dan sedang mencari aktiviti yang menarik untuk dijalankan semasa majlis itu nanti, apa kata anda pertimbangkan 8 cadangan permainan kreatif untuk majlis baby shower ini? Anda pasti akan berasa seronok dan terhibur bermain bersama dengan rakan jemputan anda nanti.

1.    Permainan ‘No Baby’

Source: Todaysparent.com

Permainan No-Baby adalah antara game kreatif untuk majlis baby shower yang boleh anda cuba. Ianya mudah sahaja. Tetapkan undang-undang bahawa tiada siapa boleh menyebut perkataan ‘bayi’ atau ‘baby’ sepanjang majlis berlangsung.

Berikan setiap seorang satu napkin yang dipenuhi dengan pin. Setiap kali anda mendengar sesiapa menyebut perkataan ‘baby’ atau ‘bayi’, anda boleh merampas pin daripada napkinnya.

Tetamu yang masih mempunyai paling banyak pin pada napkin adalah pemenang untuk hari itu!

2.    Bingo Baby

Source: Shazwanihamid.com

Selalunya, para tetamu akan membawa hadiah untuk bakal ibu semasa majlis baby shower. Jadi, anda bolehlah menyediakan kad bingo yang mempunyai senarai barangan yang mungkin akan diterima dari para tetamu.

Setiap yang hadir akan menerima kad bingo yang berbeza di mana susunan barang telah disusun secara rawak.

Semasa aktiviti membuka hadiah, berikan rakan anda pen marker dan biarkan mereka menanda barangan di dalam kad bingo tersebut.

Siapa yang mendapat memangkah senarai ‘bingo’ terlebih dahulu akan menang!

3.    Perlumbaan Kereta Sorong

Source: Minneapolisrunning.com

Jika anda mengadakan parti baby shower diruang yang terbuka seperti di taman, apa kata anda cuba permainan ini: perlumbaan kereta sorong. Jika para tetamu anda terdiri daripada golong ibu-ibu, minta mereka untuk membawa kereta sorong.

Bahagikan rakan-rakan anda kepada beberapa kumpulan. Letakkan anak patung di dalam stroller dan buat perlumbaan kereta sorong.

Nampak macam bosan, tetapi percayalah, perlumbaan ini boleh bertukar menjadi kelakar. Pasti ada anak patung yang tercampak keluar gara-gara ingin menang!

4.    Meneka Harga Barangan Bayi

Source: Fitpregnancy.com

Antara perkara yang selalunya para ibu ambil tahu adalah harga terkini napkin, botol susu, barang mandian bayi dan sebagainya. Jadi, buatkan ia sebagai permainan.

Apabila anda sudah membeli barangan kelengkapan bayi untuk bakal cahaya mata anda, pastikan anda menyimpan resitnya.

Letakkan barangan tersebut di atas meja pada majlis baby shower anda dan sediakan tanda harga (anda boleh buat sendiri!).

Minta rakan-rakan anda untuk memadankan tanda harga dengan barangan tersebut. Siapa yang dapat meneka secara tepat adalah pemenang!

5.    Pertandingan Membuat Playdoh Bayi

Source: Everypotandpan.blogspot.my

Ini lagi satu cadangan permainan kreatif untuk majlis baby shower anda yang akan datang: pertandingan membuat playdoh baby.

Berikan setiap seorang satu plastesin atau playdoh dan minta mereka untuk membentuk patung bayi. Kemudian, setiap rakan anda akan memberi markah antara 1 hingga 10 bagi setiap playdoh yang telah dibuat (kecuali playdoh buatan sendiri).

Siapa yang dapat menghasilkan playdoh bayi yang paling cantik dan comel (diketahui melalui markah tertinggi) akan dianggap sebagai pemenang. Pasti anda akan tercuit hati melihat hasil ‘luar biasa’ rakan anda nanti!

6.    Permainan Teka Bayi Masa Lampau

Source: Lovetoknow.com

Permainan kreatif untuk majlis baby shower ini juga memerlukan kerjasama daripada rakan-rakan yang akan hadir ke parti anda. Minta mereka membawa gambar masing-masing sewaktu bayi dahulu.

Kumpulkan gambar tersebut dan tunjukkan satu per satu. Setiap hadirin mesti meneka siapakah bayi di dalam gambar berkenaan. Pasti seronok dan meriah jadinya nanti apabila semua orang mahu mendapatkan jawapan yang betul!

7.    Teka Berapa Besar Perut Bakal Ibu

Source: DIYNetwork.com

Jika yang hadir ke majlis anda itu nanti terdiri daripada rakan-rakan rapat anda, pastinya anda akan terhibur bermain permainan yang seterusnya ini. Berikan mereka sekeping kad dan minta mereka teka berapakah ukur lilit perut anda.

Tunjukkan sedikit kepada mereka supaya mudah untuk mereka menganggarkan saiz perut anda. Siapa yang dapat meneka paling hampir dengan ukuran sebenar adalah pemenang.

Bila lagi untuk menghayati keindahan ‘baby bump’ jika bukan sekarang. Selepas kelahiran cahaya mata, ia pasti dirindui!

8.    Teka Makanan Pejal Bayi

Source: Pinterest.com

Selain susu, anak kecil sememangnya sukakan makanan bayi. Jadi, buatkan ia sebagai inspirasi permainan baby shower anda.

Sediakan beberapa makanan pejal bayi. Contohnya, gabungkan nasi bubur lembut, bawang goreng, brokoli rebus, dan kisarnya menjadi makanan bayi. Kemudian, masukkan ke dalam bekas yang berbeza.

Setiap rakan anda akan mendapat peluang untuk merasanya. Selepas itu, mereka mestilah meneka apakah ramuan yang digunakan di dalam makanan tersebut. Pasti meriah apabila semua para ibu mula menunjukkan ilmu masakan masing-masing!

Menarik tak permainan baby shower yang kami kongsikan di atas ini? Jika anda pernah mengadakan majlis sebegini dan ada membuat aktiviti permainan yang berbeza daripada senarai kami, kongsikan di ruang komen di bawah. Pembaca lain pasti ingin tahu!