Kemaluan Anak Lelaki Pun Ada Cara Tertentu Untuk Jaga, Ini Panduan Untuk Ibu

Sekiranya anda tidak pernah mempunyai pengalaman menjaga seorang bayi lelaki, kehadiran mereka di dalam kehidupan anda mungkin akan membuatkan anda gusar terutamanya dengan penjagaan kemaluan mereka. Adakah ia sukar dan bagaimanakah anda boleh menjaganya?

Kehadiran seorang cahaya mata memang menerujakan mana-mana ibu bapa. Tetapi, masih terdapat perasaan gusar dan gementar dalam menimang cahaya mata. Lagi-lagi apabila kita tidak mempunyai pengalaman. Sebagai seorang wanita dan seorang ibu baru, kita pasti tidak tahu menahu bagaimanakah penjagaan alat kelamin bayi lelaki, kan?

Anatomi badan manusia yang berbeza kadang-kadang boleh membuahkan rasa ketidakselesaan dalam diri kita, walaupun ianya ialah anak kita sendiri. Tapi, nak tak nak, kita perlulah belajar cara penjagaan yang betul. Oleh itu, kami telah sediakan artikel ini untuk ibu-ibu yang tidak berpengalaman dalam membesarkan cahaya mata lelaki!

Apakah Langkah Penjagaan Alat Kelamin Bayi Lelaki Saya?

alat kelamin bayi

Kredit: Pexels

Buat pertama kalinya, anda perlu berhadapan dengan seorang bayi lelaki. Tanpa pengalaman membesarkan dan menjaga seorang bayi lelaki, pasti anda keliru dengan cara penjagaan mereka. Terutamanya, penjagaan alat kelamin bayi lelaki anda. Jangan terlalu risau, ia sebenarnya lebih mudah dari yang anda sangka.

Sebelum itu, kita pasti tahu bahawa setiap lelaki Islam pasti akan berkhatan. Sesetengah ahli ilmuwan berpendapat bahawa kanak-kanak lelaki lebih elok dikhatankan awal, iaitu tujuh hari selepas hari kelahiran mereka kerana kesakitan berkhatan dapat diminimakan serta proses rawatan khatan tersebut akan berlaku dengan lebih pantas (3-4 hari). 

Manakala kebanyakan kanak-kanak lelaki akan mula berkhatan dalam lingkungan umur 5-10 tahun. Ini kerana, kanak-kanak lelaki yang mengingati bahawa mereka telah melalui proses berkhatan biasanya akan merasakan diri mereka “berbeza” dari kanak-kanak kecil yang lain.

Jadi, kami akan berkongsi cara penjagaan bagi kemaluan bayi lelaki yang sudah berkhatan dan belum berkhatan.

  • Bayi lelaki belum berkhatan

alat kelamin bayi

Kredit: Freepik

Sekiranya si manja anda masih belum berkhatan, anda tidak perlu risau dengan penjagaan yang terlalu rapi. Anda hanya perlu mengelap bahagian tersebut ketika penukaran lampin menggunakan kapas atau kain lembut yang telah direndam dengan air suam dan diperah.

Yang penting, jangan sesekali mencuba untuk menarik kulit kemaluan si manja. Pada lingkungan usia si manja masih bayi, ia akan melekat pada kepala kemaluan bayi anda dan menariknya ke belakang akan menyebabkan luka dan pendarahan.

Jikalau anda tidak pasti bila ia akan terpisah, anda boleh mendapatkan nasihat dari pakar kanak-kanak anda. Tetapi, kebiasannya, kulit kemaluan si manja akan terpisah dalam lingkungan usia 3-5 tahun di mana ia boleh mula digerakkan untuk penyucian yang bersih.

  • Bayi lelaki yang sudah berkhatan

alat kelamin bayi

Kredit: Pexels

Bagi bayi lelaki yang sudah berkhatan, anda boleh melihat bahawa mereka tidak lagi mempunyai kulit yang menutupi kepala kemaluan mereka.

Selalunya, selepas proses berkhatan, pakar perubatan akan menyaluti kemaluan si manja dengan jeli petroleum yang kemudian dibalut dengan kain kasa yang perlu menutupi kemaluan si manja selama 48 jam.

Sekiranya si manja membuang air, anda boleh menukar lampin si manja seperti sediakala, tetapi pastikan anda menyapu semula jeli petroleum tersebut dan membalut semula kemaluan si manja menggunakan kain kasa untuk mengelakkan sebarang jangkitan.

Selepas beberapa hari, luka bekas berkhatan pasti akan mula baik dan anda tidak perlu lagi membalut kemaluan si manja dengan kain kasa. Tetapi, anda masih perlu menyapu jeli petroleum untuk mengelakkan kemaluan mereka melekat pada lampin.

Dari segi penjagaan kebersihan, anda boleh menggunakan air dan sabun yang lembut ketika waktu mandi dan cucilah kotoran dari kemaluan si manja seperti biasa terutamanya selepas mereka sudah betul-betul dirawat.

Dalam kebanyakan kes, kemaluan si manja akan mula kelihatan seperti biasa selepas 7-10 hari selepas prosedur berkhatan. Tetapi, segeralah berhubung dengan doktor anda sekiranya si manja anda menunjukkan tanda-tanda ini:

Kemaluan Anak Lelaki Pun Ada Cara Tertentu Untuk Jaga, Ini Panduan Untuk Ibu

Kredit: Freepik

  • Si manja tidak membuang air kecil dalam tempoh 6-8 jam selepas berkhatan
  • Pendarahan tidak berhenti
  • Terdapat kemerah-merahan pada kemaluan si manja yang semakin teruk selepas beberapa hari
  • Terdapat bengkak dan ruam kering, kekuning-kuningan atau cecair yang keluar dari kemaluan anak

Selain dari itu, penjagaan anak lelaki anda tiadalah terlalu berbeza dari penjagan seorang anak perempuan! Yang pasti, mereka sentiasa gembira dan berada dalam keadaan selesa. 

Semoga maju jaya… terutamanya apabila hero-hero anda sudah mula membesar dan nakal-nakal! 😉

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Sumber: Healthy Children

Baca juga: 7 Jenis Tisu Basah Terbaik Pilihan Para Ibu, Ia Selamat Untuk Kulit Bayi Yang Sensitif

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!