Amaran 'Monkey Malaria' Oleh Pihak Berkuasa Kesihatan Sabah

lead image

P. knowlesi merupakan penyakit yang kompleks dan merupakan parasit yang boleh mengancam nyawa. Jom ketahui simptom dan cara mengelak Monkey Malaria.

Pihak berkuasa kesihatan Sabah sedang mempergiatkan buruan mereka terhadap nyamuk Anopheles yang diketahui menyebarkan penyakit baru, malaria Plasmodium knowlesi  atau 'Monkey Malaria' dari monyet ke manusia.

Presiden Persatuan Penyakit Berjangkit Kota Kinabalu, Dr Timothy William menyatakan yang langkah awal sudah diambil bagi mengurangkan tempat pembiakan nyamuk selain daripada melakukan penyemburan racun di kawasan lazim.

Menurut beliau lagi, pegawai kesihatan sedang melakukan apa sahaja yang boleh bagi mengoptimumkan rawatan malaria Plasmodium knowlesi  atau lebih dikenali sebagai malaria monyet (monkey malaria) pada manusia melalui pengesanan awal.

Kajian tentang kemunculan penyakit ini masih diteruskan.
 
Malah laporan dari penyiasat utama dan penulis bersama kajian antarabangsa tentang 'monkey malaria' telah diterbitkan di The Lancet Planetary Health baru-baru ini.
"P. knowlesi merupakan penyakit yang kompleks dan merupakan parasit yang boleh mengancam nyawa."
Itu kata Chris Drakeley, Profesor Infeksi dan Imuniti dari London School of Hygiene & Tropical Medicine, yang juga merupakan rakan usaha sama kajian itu.
 
Pendekatan konvensional yang digunakan untuk merawat malaria seperti ubatan dan kelambu tidak berkesan untuk melawan P.knowlesi kerana hos penyakit ini ialah monyet.

Dan mereka yang lebih terdedah kepadanya ialah mereka yang bekerja di luar.

Chirs Drakeley juga menyatakan yang mereka akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memperbaiki tahap kesedaran dan pengetahuan penduduk asal tentang kawasan berisiko.

Serta bagaimana mereka boleh menghindar dari gigitan nyamuk.

Felo kajian dan penulis utama Menzie, Dr. Matthew Grigg berkata yang usaha pembasmian malaria di Malaysia adalah sangat berkesan dalam mengurangkan kes malaria yang lain.

Namun, bagi kes P. knowlesi, ianya meningkat disebabkan oleh aktiviti harian seperti berkebun, mengosongkan tanah, bekerja di ladang kelapa sawit serta tidur di luar.

Apa yang kita harus tahu tentang 'Monkey Malaria'?

  • Ia dikenali sebagai malaria Plasmodium knowlesi namun biasa dipanggil 'Monkey Malaria'.
  • Diperoleh dari monyet yang menjadi hos parasit Plasmodium knowlesi, biasanya terdapat pada kera ekor panjang dan pendek (long-tailed and pig-tailed macaques).
  • Disebarkan oleh nyamuk Anopheles betina yang banyak akan keluar menggigit terutamanya ketika pagi (5.30 pagi - 8.00 pagi) dan senja (6.30 petang - 8.00 malam).
  • Merupakan kes malaria yang jarang terjadi namun akhir-akhir ini banyak terdapat di bahagian Borneo Malaysia.

Simptom

Di awal jangkitan, semasa parasit malaria sedang membiak di dalam hati, tiada simptom klinikal yang dapat di lihat.

Namun, biasanya simptom klinikal malaria P. knowlesi adalah sama seperti malaria yang lain iaitu:

  • Demam tinggi
  • Badan sejuk menggigil
  • Pening kepala
  • Tidak ada selera makan
  • Sakit atau lenguh sendi
  • Muntah-muntah
  • Sakit di bahagian abdomen
  • Pengsan

Berisiko tinggi

Tiada siapa yang terkecuali dari dijangkiti malaria P. knowlesi, namun, mereka yang kerap bekerja di luar seperti kawasan kebun, ladang dan hutan lebih berisiko tinggi di gigit nyamuk Anopheles yang membawa parasit P. knowlesi.
Amaran 'Monkey Malaria' Oleh Pihak Berkuasa Kesihatan Sabah

Walaubagaimanapun, mereka di dalam kumpulan yang disenaraikan di bawah, adalah berisiko tinggi untuk mendapat kesan yang lebih teruk jika dijangkiti P. knowlesi.

  • bayi / kanak-kanak
  • wanita mengandung
  • orang tua
  • mereka yang mempunyai imuniti yang rendah (immunosuppresant) seperti orang yang mempunyai HIV

Cara mengatasi Monkey Malaria
Amaran 'Monkey Malaria' Oleh Pihak Berkuasa Kesihatan Sabah

Sebagai langkah awal, anda mampu mencegah dari terdedah kepada nyamuk Anopheles yang membawa parasit P. knowlesi;

  1. Memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk di kawasan rumah dan kejiranan anda. Sampah seperti plastik juga boleh menakung air dan menjadi tempat pembiakan nyamuk. Selain itu, tempat tadahan kecil seperti ruang di bawah piring Astro di rumah juga boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk.

    Jadi, amalkan membersihkan semua kawasan rumah bagi mengelakan membuat tempat pembiakan nyamuk. Jika anda mendapati kawasan rumah anda terlalu banyak nyamuk, mungkin ada tempat mereka membiak. Hapuskan!

  2. Jika boleh, elakkan keluar rumah di awal pagi dan senja. Dua waktu ini adalah waktu nyamuk Anopheles paling aktif mencari mangsa. 
  3. Pakai baju lengan panjang dan seluar panjang. Kurangkan kawasan yang boleh digigit nyamuk. Dengan memakai baju lengan panjang dan seluar panjang, anda dapat mengurangkan risiko digigit si penghisap darah!
  4. Gunakan kelambu. Sama ada tidur di bilik atau ruang tamu, gunakan kelambu sebagai perlindungan tambahan.
  5. Gunakan jaring nyamuk di tingkap rumah. Sekarang terdapat banyak jaring tingkap yang mudah di pasang pada tingkap-tingkap. Gunakannya sebagai perlindungan tambahan rumah anda.
  6. Gunakan bantuan penghalau atau pembunuh nyamuk. Sama ada cara tradisional seperti menggunakan minyak pati serai wangi mahupun konvensional seperti penyembur nyamuk. Namun jika anda menggunakan racun penyembur nyamuk, hati-hati supaya tidak terkena pada makanan dan anak kecil anda bagi mengelakan keracunan.
  7. Gunakan pelindung diri. Tidak kira sama ada anda membuat bahan perlindungan diri sendiri seperti minyak atau krim, atau menggunakan produk yang boleh di dapati di pasaran. Pastikan ianya selamat untuk dikenakan pada kulit sebelum menggunakannya. Baca label terlebih dahulu sebelum membeli.
  8. Meminta bantuan pihak berkuas untuk semburan di kawasan yang lebih luas seperti kawasan taman permainan.

Ini hanyalah pencegahan awal yang boleh dipraktikan bagi mengurangkan risiko digigit nyamuk Anopheles yang membawa parasit malaria P. knowlesi.

Jika anda, ahli keluarga atau orang disekeliling anda mempunyai simptom di atas, segera dapatkan rawatan dari pegawai perubatan.

Semoga kita semua dijauhi dari dijangkiti penyakit ini!

Sumber: WHO, freemalaysiatoday

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!

Penulis

Aqma

app info
get app banner