Kenapa Anak Membuat Perangai Apabila Ibunya Berada Di Bilik yang Sama – Pandangan Seorang Ibu

Adakah ia kerana mereka inginkan perhatian atau hanya mahu menyakitkan hati anda selepas hari yang panjang dan sukar? Atau adakah ia lebih daripada itu? Baca artikel untuk tahu lebih lanjut.

Saya ada terbaca artikel yang agak lucu tentang kenapa anak-anak berperangai 800% lebih teruk apabila ibunya berada berhampiran (berdasarkan kajian olok-olok).

Dan, ia adalah benar – perangai kanak-kanak adalah hampir 100% akan mula berubah secara mendadak apabila dia ternampak ibunya, terutamanya jika dia telah berjauhan dengan ibu untuk beberapa ketika.

Saya tahu ini adalah benar berdasarkan pengalaman saya sendiri dengan anak-anak saya. Apabila anak sulung saya – sekarang sudah hampir masuk 6 tahun – masih kecil, dia pergi ke pusat jagaan di Melbourne, Australia.

Sudah tentu, beberapa hari pertama, juga beberapa minggu selepas itu, adalah sukar buatnya dan seperti yang dijangka, dia menangis teresak-esak apabila saya menghantarnya ke sana pada waktu pagi.

Tetapi selepas itu, dia sudah mula biasa dengan tempat dan penjaganya – saya tahu kerana ada tempat pemerhatian rahsia untuk para ibu ‘mengintip’ anak-anak mereka.

Saya akan melihatnya dari tempat pemerhatian ini selama beberapa hari, dia bermain dengan gembira, tersenyum dan ketawa. Tetapi, sebaik sahaja dia nampak kelibat saya, habis!

Dia akan menangis –  dengan esakan syahdu yang mampu membuatkan saya menangis bersama-sama dengannya!

Sudah tentu ia tiada kena-mengena langsung dengan kesedihannya di tempat jagaan tersebut (dia bukannya tidak gembira). Ia seolah-olah kelibat saya sudah cukup untuk membuatkannya mula mengeluarkan air mata.

Perangai sebegini juga ketara (dan masih ketara!) dengan anak saya yang bongsu yang berusia tiga tahun. Si kecil yang sanggup berjalan berkilometer dengan ayahnya akan meminta didukung apabila saya ada…anda fahamkan?

Saya boleh beri beratus contoh bagaimana anak-anak lelaki saya mula membuat perangai apabila mereka ternampak saya, dan saya benar-benar tidak faham kenapa, sehinggalah frasa daripada “kajian olok-olok” ini menarik perhatian dan membuatkan saya berfikir:

“Apa yang kami dapati adalah anak-anak dari usia 8 bulan boleh bermain dengan gembira tetapi sebaik sahaja ternampak ibunya masuk ke bilik yang sama, 99.9% anak-anak akan mula menangis, meninggalkan barangan mereka, dan meminta perhatian dari ibunya.” 

 

Kenapa Anak Membuat Perangai Apabila Ibunya Berada Di Bilik yang Sama – Pandangan Seorang Ibu

Kedua-dua anak lelaki saya sewaktu kecil (yang sulung di belah kiri, bongsu di belah kanan) akan meminta untuk didukung dan tidak langsung mahu turun sebaik sahaja saya masuk ke bilik. Saya tahu ini adalah cara mereka memberitahu saya yang mereka merindui dan menyayangi saya.

Kita adalah selimut keselamatan mereka

Si kecil kita melupakan tingkahlaku baik mereka apabila mereka melihat kita kerana mereka berasa selamat berada berhampiran dengan kita – ia semudah itu.

Dalam erti kata lain, anak anda tahu di lubuk hatinya bahawa dia boleh sentiasa pergi kepada anda dengan “masalah-masalahnya”.

Ini termasuklah merengek tentang adik mereka yang mengambil mainannya atau menyatakan yang kakinya penat, maka anda perlu “dukung saya sekarang!” (tidak kisah lah sama ada dia dengan bersungguhnya menghentak kaki/menari atas meja kopi anda selama 30 minit kerana mahu didukung tanpa menunjukkan sebarang tanda kepenatan).

Kenapa Anak Membuat Perangai Apabila Ibunya Berada Di Bilik yang Sama – Pandangan Seorang Ibu

Anak anda sayang anda dan rasa cukup selamat untuk menunjukkan perasaannya apabila berjumpa anda.

Anda, wahai ibu yang disayangi sekalian, adalah selimut keselamatan si kecil anda. Dia merungut, merengek, mengadu dan menangis apabila berada bersama anda kerana jika dia tidak melakukannya dengan anda, dengan siapa lagi dia boleh meluahkan perasaannya?

Jadi, selepas ini, bila anda pulang selepas hari yang panjang dan sukar di tempat kerja dan anak anda menyambut anda dengan tangisan dan tantrum berbanding senyuman dan pelukan, cuba ingatkan diri sendiri tentang ini.

Si kecil anda mungkin juga mempunyai hari yang panjang dan sukar juga – tanpa anda, orang yang dia paling gemari di dunia.

Dia telah pun tabah menghadapinya sepanjang hari dan sekarang apabila dia berada dalam dakapan anda, dia akhirnya boleh meluahkan kesemuanya.

Anak anda boleh berkongsi emosinya dengan anda secara bebas kerana dia sangat menyayangi anda, dan dia tahu anda manyayanginya lebih daripada itu.

Dan, anda juga, jauh di lubuh sanubari, tidak akan menggantikannya dengan sebarang yang lain!

Ibu-ibu, adakah anak anda juga membuat perangai apabila anda berada di bilik yang sama? Apa pendapat anda tentang sebab mengapa ia berlaku? Kongsikannya dengan kami di ruangan komen di bawah.

Sumber: The Asian Parent Singapore

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!