Ibu, dah baby proof rumah atau belum? Jangan biar kejadian anak terjerut tali langsir ini berulang!

Anda sudah 'baby proof' rumah? Jangan biarkan kejadian anak meninggal terjerut tali langsir ini berulang. Pastikan rumah selamat buat anak-anak!

Sudahkan anda ‘baby proof’ rumah anda? Tahukah anda betapa pentingnya untuk anda ‘baby proof” rumah itu? Baru-baru ini, seorang anak meninggal terjerut tali langsir di Ipoh. Kejadian ini sebenarnya boleh dielak.

Pada Selasa lepas, kita digemparkan dengan kejadian anak meninggal terjerut tali langsir apabila ditinggalkan keseorangan untuk bermain.

Polis mempercayai yang budak ini telah bermain dengan tali langsir yang digunakan untuk mengikat langsir di tangga berdekatan dengan dapur.

Anak meninggal terjerut tali langsir: Pantau anak bermain

ACP Mohd Ali Tamby melaporkan yang ibu tiri kepada budak yang berusia 2 tahun ini ada bersama budak tersebut di rumah pada masa kejadian.

anak meninggal terjerut tali langsir

“Mangsa telah meminta makanan dari ibu tirinya yang sedang memasak dan selepas diberi biskut, mangsa kemudian pergi bermain di ruang tamu.

Ibu tiri budak itu berasa tidak sedap hati apabila tidak mendengar suara anak tirinya, lalu dia keluar untuk periksa dan mendapati leher mangsa terjerut dan tubuh mangsa tergantung di langsir ruangan masuk dapur!” dia berkata lagi.

Ibu tirinya kemudian menurunkan anak tirinya dan membuka jerutan tali langsir dari leher anak tirinya. Budak itu tidak sedarkan diri.

“Ibu mangsa menghubungi talian kecemasan dan pihak hospital mengajar cara membuat bantuan pernafasan (CPR) menerusi telefon sementara menunggu ketibaan ambulans.

Ketika itu, mangsa memberikan tanda positif apabila ibu mangsa merasai denyutan nadi dan terdapat susu keluar dari mulut mangsa,” katanya.

Beliau berkata mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada 3 petang.

“Hasil bedah siasat pada 6.55 petang mendapati mangsa maut akibat kesan tekanan pada leher yang konsisten akibat tergantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Anak meninggal terjerut tali langsir: Tips baby proof rumah

Ekoran dari kejadian ini,  memang sangat penting untuk ibu bapa baby proof rumah supaya kita dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Tips baby proof rumah:

  • Pastikan peralatan elektrik di rumah diletakkan di tempat yang tidak boleh dicapai oleh anak. Juga pastikan segala wayar dan suis ditutup.
  • Letakkan penutup di setiap penjuru perabot untuk mengelak kecederaan.
  • Sentiasa tutup pintu keluar dan pintu-pintu tandas di rumah.
  • Sorok bahan-bahan yang mempunyai kimia dan racun dari anak anda.
  • Pastikan mainan anak-anak jauh dari bahaya seperti skru kecil, span dan bahan-bahan lain yang boleh membuatkan anak-anak tercekik.
  • Jauhkan plastik dari anak anda untuk mengelakkan mereka lemas.
  • Jauhkan juga segala barang yang menyerupai tali untuk mengelakkan mereka terjerut diri sendiri.

Mungkin benda-benda ini nampak remeh, tapi ibu bapa perlu ingat yang malang tidak berbau, jadi sebolehnya kita cuba elakkan dari berlaku kejadian-kejadian yang tak diingini.

Jika anak anda sudah mula banyak bergerak, jangan biarkan mereka tinggal seorang diri. Pantau anak kita sentiasa.

Moga kita mendapat pengajaran dan ikhtibar dari kisah ini dan lebih berhati-hati di masa hadapan. Takziah kami ucapkan kepada keluarga mangsa.

 

 

 

 

 

 

 

Sumber rujukan: MY Metro

Kredit gambar: Pen Merah

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:

Kerana ibu cuai, bayi 16 bulan maut terjerut tali pengikat puting sendiri!