Anda Ada Ramai Anak Perempuan? Banyak Kebaikannya!

Mempunyai sepasang anak lelaki dan anak perempuan itu sememangnya sempurna. Namun, ramai anak perempuan juga bahagia! Anak perempuan anda berderet?

Anda ada ramai anak perempuan? Ini kebaikannya!

“Anak perempuan lagi?” Itu lah komen yang selalu diterima oleh mereka yang mempunyai ramai anak perempuan. Sudah tentu ramai yang menginginkan gabungan jantina anak yang sempurna atau ideal – lelaki dan perempuan.

Tetapi, hidup ini bukanlah sempurna dan kita tidak akan dapat semua yang diingini. Jangan bimbang. Anda ada ramai anak perempuan? Ini kebaikannya!

1.    Penyeri Hidup Suami Isteri

Anak itu, tidak mengira jantinanya, adalah satu amanah daripada Tuhan. Bukan semua diberikan nikmat atau anugerah zuriat, jadi apa gunanya merasa bimbang atau tidak berpuas hati jika tidak mempunyai anak lelaki? Anak perempuan anda juga membawa seribu satu makna dalam kehidupan anda dan pasangan.

Merekalah yang akan menceriakan hidup anda dengan segala kerenah dan perangai masing-masing. Di penghujung hari, anda akan pasti merindui mereka. Jadi, hargailah, walaupun kesemuanya adalah perempuan.

2.    Pembantu Rumah? Anda Tidak Perlukannya!

Apabila anda mempunyai ramai anak perempuan, sudah tentu mereka dapat membantu dalam urusan rumah. Apabila sudah dewasa, merekalah yang akan menolong anda memasak, mengemas rumah, dan menjaga adik-adik.

Ringan sedikit beban, terutamanya jika anda dan pasangan kedua-duanya bekerja di pejabat. Pembantu rumah? Anda mungkin tidak memerlukannya jika anak perempuan anda berderet!

3.    Mudah Berkongsi Baju dan Permainan

ramai anak perempuan, anak perempuan, banyak anak perempuan

Source: Pexels.com

Lagi satu aspek positif jika anda mempunyai ramai anak perempuan adalah anda boleh menjimatkan sedikit kos membeli pakaian atau permainan. Anak yang kecil sudah tentu boleh memakai baju atau skirt kakaknya.

Malah, permainan masak-masak, buku kanak-kanak atau aksesori perempuan sudah tentu boleh diturunkan dari kakak sehingga ke adik. Senang kerja dan jimat duit, kan?

4.    Membawa Anak-Anak Berjalan-Jalan Lebih Mudah

Kalau anda dikurniakan dengan ramai anak perempuan, jangan berasa sedih. Banyak hikmah buat mereka yang ingin berfikir. Antaranya adalah, lebih mudah untuk anda membawa mereka berjalan-jalan.

Selalunya, anak perempuan ini mempunyai minat yang hampir sama. Jika anda pergi bercuti atau berjalan-jalan, selalunya mereka akan meminta untuk pergi ke tempat yang sama.

Contohnya, jika anda ke Johor, sudah pasti mereka semua ingin pergi ke Hello Kitty Town. Jika anak bercampur jantina, pening juga kepala. Seorang ingin melihat Hello Kitty, seorang lagi ingin masuk ke showroom Star Wars. Kalau semua perempuan, sekali jalan saja!

5.    Menyediakan Bilik Tidur atau Memilih Bilik Hotel Menjadi Lebih Mudah

Carilah perkara yang positif tentang mempunyai semua anak perempuan. Cuba anda bayangkan. Jika anda mempunyai anak bercampur jantina, anda sudah pasti perlu memikirkan hal pembahagian bilik – mereka tidak boleh dicampurkan.

Tetapi jika semuanya perempuan, senang sahaja untuk mereka berkongsi bilik. Malah, jika pergi bercuti, masukkan sahaja mereka ke dalam satu bilik. Tidak perlu menempah secara berasingan. Mudah dan menjimatkan!

6.    Fikirkan Masa Hadapan. Mereka akan Menjadi Rakan Baik (Amin!)

ramai anak perempuan, anak perempuan, banyak anak perempuan

Source: Pexels.com

Apabila anak-anak anda semuanya perempuan, sudah pasti mereka akan tumbuh dewasa dan menjadi rakan karib. Mudah bagi mereka bertukar cerita, berkongsi masalah atau melakukan aktiviti bersama-sama.

Anda pasti akan berasa bahagia apabila melihat mereka mesra antara satu sama lain apabila mereka dewasa kelak. Jika berlainan jantina, kadangkala minat itu berlainan!

7.    Pahalanya Besar!

Sudah pasti, ini adalah lebih utama: jika anda berjaya mendidik dan membesarkan anak perempuan dengan baik, besar pahalanya buat anda sebagai ibu atau bapa. Ada hadis yang diriwayatkan dalam Sahih Bukhari yang berbunyi:

“Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka, melainkan Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga.”

Lihat! Begitu banyaknya manfaat menjaga dan mendidik anak-anak perempuan. Maka, jangan bermuram durja atau merasakan hidup anda belum lengkap.

Indahnya mempunyai anak itu, bukan pada jantina, tetapi pada kejayaan anda dalam membesarkan mereka menjadi orang yang beriman, berakhlak dan berguna!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!