Bahasa Bayi: Kenapa Anda Perlu Beri Perhatian Pada Isyarat Pertama Bayi Anda
Sebelum anda ternanti-nanti perkataan "mama" dan "pa" dari bibir si kecil anda, apa kata anda beri perhatian terlebih dahulu kepada isyarat bahasa bayi. Ia adalah saranan kajian.
Ramai ibu ayah tertunggu-tunggu bahasa bayi atau pun perkataan pertama yang disebut oleh anak kecil mereka.
Tapi, menurut kajian terbaru oleh Medical Xpress, bayi anda telah pun mencuba untuk berkomunikasi dengan anda, sebelum mereka mampu untuk bercakap lagi.
Menurut para pengkaji dari University of Manchester, isyarat pergerakan bayi anda adalah percubaan pertama dalam seni bahasa bayi.
Itulah cara mereka berkomunikasi dengan ibu ayah.
Isyarat komunikasi bayi yang pertama: “Menunjuk” dan “Memberi”
Sebelum kajian dijalankan, para pengkaji telah memberi fokus kepada sifat bayi yang suka menggunakan jari mereka dan menunjukkan ke arah sesuatu.
Anda perasan tak sifat ini pada bayi anda? Ia selalunya terjadi pada usia 12 bulan.
Profesor Lieven dan rakan sekerjanya telah memfokuskan kepada tingkah laku awal, terutamanya sifat “menunjuk” dan “memberi” yang ada pada bayi.
Walaupun tingkah laku suka menunjuk dan memberi barang kepada orang lain adalah sifat biasa bayi, namun ramai ibu bapa yang tidak sedar tentang mengapa bayi mereka melakukan 2 perkara ini.
Malah, ibu ayah yang berpengalaman juga sering terlepas pandang.
Sebenarnya, jika anda memberi perhatian dan berinteraksi dengan bayi apabila mereka melakukan 2 perkara ini, anda sebenarnya sedang membantu mengembangkan kemampuan bahasanya!
“Kami merasakan dengan bercakap-cakap dengan bayi tentang apa yang ditunjukkan oleh jarinya itu akan membantu untuk menggalakkan perkembangan bahasa si kecil.”
Itu penerangan penulis kajian, Profesor Elena Lieven dalam satu kenyataan media.
Untuk melatih anak kecil supaya cepat bercakap, ibu ayah perlu sentiasa memberi respon kepada bayi apabila mereka memberi sesuatu barang atau menunjukkan ke sesuatu arah atau objek tertentu.
Lagi banyak anda berinteraksi dengan bayi sewaktu tingkah laku “menunjuk” dan “memberi”, lagi cepat dia mampu berkomunikasi.
Memahami isyarat bahasa bayi adalah sepenting memahami perkataan pertama yang diucapnya.
Dalam kajian yang disebutkan di atas, pengkaji telah memantau bagaimana penjaga dan 24 orang bayi berkomunikasi menggunakan barang mainan. Mereka kemudiannya melihat kanak-kanak ini dari usia 10 bulan ke 12 bulan.
Mereka kemudiannya menganalisis cara penjaga bertindak balas kepada bayi mereka yang sering “menunjuk” dan “memberi”.
Kajian menunjukkan bayi boleh melakukan lebih komunikasi dengan pelbagai cara pada usia awal. Ia adalah sebelum mereka mampu mengucapkan perkataan pertamanya lagi.
Itu penerangan lanjut oleh Profesor Lieven.
Kemampuan untuk berkongsi dan meminta perhatian dari orang di sekeliling adalah kemahiran asas dalam perkembangan bahasa bayi.
Malah, ia menjadi satu kelemahan utama bagi kanak-kanak yang mengalami austisme.
Fahamilah isyarat pertama dari bayi anda
Dengan memahami tingkah laku awal bayi, anda boleh mengambil peluang untuk membantu anak anda supaya cepat bercakap dan pandai berkomunikasi!
Jadi ibu ayah sekalian, selepas ini, jika si kecil itu sering menunjuk ke sesuatu arah atau memberikan anda sesuatu objek atau mainan di tangannya, berilah respon. Jangan buat tidak tahu sahaja.
Bercakaplah dengannya dan buat reaksi muka yang jelas supaya bayi anda dapat mengambil manfaat daripada tindak balas anda itu!
Sumber: The Asian Parent Singapore
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
Tahap Perkembangan Bahasa Anak Sejak Lahir Hingga Usia 3 Tahun