"Tolong! Bayi Saya Lebih Suka Pembantu Rumah Daripada Saya!”

Jika anda perasan yang bayi atau anak lebih rapat dengan pembantu rumah, berbanding dengan anda, jangan bimbang. Artikel ini ada berkongsi perkara yang boleh anda lakukan untuk memenangi semula hati si kecil anda.

Selepas habis bekerja dan pulang ke rumah, saya mula menyedari yang anak perempuan saya yang berusia 9 bulan telah mula memilih pembantu rumah daripada saya!

Dia memberikan saya senyuman apabila dia bangun, tetapi ketika dia melihat pembantu rumah saya, saya perasan yang dia memberikan senyuman yang lebih besar kepada bibiknya.

Malah, dia turut menghulurkan tangan mahu diangkat. Terasa hati saya!

Sebelum ini, si kecil saya akan meminta saya mendukungnya ketika saya masuk ke rumah, dan enggan saya meletakkannya.

Tetapi sekarang, dia kelihatan seperti dia memerlukan pembantu rumah saya, lebih daripada saya, terutamanya apabila dia lapar atau mengantuk.

Secara tiba-tiba, saya berasa begitu tidak diingini!

Adakah saya satu-satunya yang mengalami masalah ini? Bagaimanakah saya dapat memenangi hati anak kecil saya?

Apabila anak kita lebih mesra dengan bibik

Mummy Charmaine tidak keseorangan, ramai para ibu di luar sana yang telah menceritakan rasa cemburu dan tidak senang hati apabila anak mereka kelihatan lebih bahagia atau seronok apabila bersama pembantu rumah mereka.

Ibu-ibu, kami faham perasaan anda.

Ya, kita semua mahukan seorang pembantu rumah yang sempurna.

Yang mahir dalam membuat kerja-kerja rumah, serta menjaga anak-anak kecil dengan baik, tetapi TIDAK mengambil tempat ibu di dalam keluarga.

Ibu, jangan bimbang, berikut adalah beberapa perkara yang anda harus dilakukan, jika anda fikir anak anda suka pembantu rumah lebih daripada anda:

anak lebih rapat dengan pembantu rumah

1. Berhenti berasa bimbang

Ibu, tolong hentikan menyalahkan diri sendiri. Kerana ini hanyalah satu fasa, dan ia akan berlalu.

Dan bukan ibu bekerja sahaja yang harus menangani fasa anak-mesra-dengan-bibik ini.

Bayi anda akan melalui fasa manjanya dengan orang-orang yang tertentu walaupun anda seorang ibu yang tidak bekerja!

Sepatutnya, anda harus berasa lega yang anak anda dapat membentuk hubungan sosial dengan lebih daripada satu orang dewasa dalam hidupnya.

2. Rasa gembira

Bersyukurlah bahawa bayi anda menyukai pembantu rumah anda, ia menunjukkan bahawa dia dijaga dengan baik!

Ini bermakna apabila anda pergi kerja, dia berada di dalam pengawasan dan penjagaan yang baik.

Ketahuilah yang anak anda selamat dan disayangi ketika anda tidak berada di rumah. Bukankah anda bertuah yang anda mempunyai bibik yang baik?

Yakin dan ingatkan diri anda bahawa, anda tetap ibu bayi anda, tidak kira apa pun.

Sekali lagi, berasa banggalah dengan anak kecil anda kerana dapat menjalin hubungan yang intim dengan ramai orang dewasa di dalam hidupnya, sama ada ibu bapanya, adik-beradik, datuk nenek atau pembantu rumah.

Ia menunjukkan bahawa dia membesar menjadi anak yang penyayang dan suka bergaul!

3. Gantikan masa yang hilang

Benar, anda berasa amat letih selepas anda habis bekerja, dan anda lebih rela berehat.

Tetapi ini adalah masa yang perlu anda gunakan untuk berhubung dengan anak kecil anda.

Libatkan diri dalam tugas penjagaan anak seperti memberi makan, mandi dan menukar lampin dengan sepenuh hati.

Juga, berusahalah untuk melakukan beberapa perkara yang menyeronokkan dan nikmati hubungan yang dibina bersama anak anda.

Main, bernyanyi, ketawa, berpelukan, membaca – semua aktiviti ini seronok untuk anda lakukan bersama si kecil anda!

Malah, anda perlu tidur bersama anak anda.

Ramai ibu di luar sana merasakan yang tidur dengan bayi mereka sebenarnya dapat membantu untuk menguatkan ikatan emosi dengan anak-anak mereka.

anak lebih rapat dengan pembantu rumah

4. Bercakap dengan pembantu rumah anda

Berkomunikasi dengan pembantu anda dan beritahu dia bahawa anda ingin lebih terlibat dalam memenuhi keperluan emosi anak anda.

Ketika anda berada di rumah dan anak anda sedang menangis sedih, jangan berdiam diri dan hanya membiarkan pembantu rumah anda memujuknya.

Jadilah proaktif, dan cuba untuk menenangkannya pula.

Jika dia membantah, abaikannya; Bersikap lembut dengannya dan jangan terasa hati.

Dengan kegigihan anda untuk mendekati si kecil, reaksi-reaksi negatif itu pasti akan berhenti juga.

5. Tetapkan masa keluarga

Habiskan masa secara eksklusif dengan anak anda pada hujung minggu, tanpa pembantu rumah!

Ia adalah cara terbaik untuk menguatkan ikatan hubungan anda dengan si kecil.

6. Menimbang semula rancangan anda

Jika semua di atas tidak berkesan untuk anda, anda mungkin ingin mempertimbangkan semula cara penjagaan anda.

Anda boleh memilih untuk pembantu sambilan atau kerja dari rumah, supaya anda boleh meluangkan lebih banyak masa bersama bayi anda.

Rencana diterjemah daripada The Asian Parent Singapore.

Baca juga: 

Ibu ini pecat pembantu rumahnya yang paling dipercayai. Anda harus tahu mengapa.

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!