Bayi Pekak Saya Layak Hidup

undefined

Perasaan yang paling menusuk hati adalah kesedaran bahawa dia tidak akan dapat mendengar suara ibunya.

Bayi sempurnaku mempunyai pendengaran yang tidak sempurna

Hakikat ini disedari sewaktu hari-hari pertama hidupnya.

Walaupun kami diberitahu cecair amnion dalam telinga boleh menyebabkan bayi gagal ujian pendengaran dan besar kemungkinan dia akan lulus pemeriksaan seterusnya, dengan setiap ujian yang baru, kami terpaksa menerima kenyataan bahawa bayi kami pekak.

Dalam seribu bayi yang dilahirkan di Singapura, lima akan mempunyai masalah pendengaran yang berbeza. Anak kami mempunyai kehilangan pendengaran sensorineural bilateral pada tahap ringan hingga sederhana.

Pendek kata, dia tidak boleh mendengar dari kedua-dua telinganya disebabkan saraf dari telinga dalam yang menghantar maklumat ke otak.

Pada mulanya berita ini sukar diterima. Seperti ibu bapa yang lain, kami bimbang untuk masa depannya. Bolehkah dia belajar untuk bercakap seperti kanak-kanak biasa atau menghayati sebuah lagu?

Perasaan yang paling menusuk hati adalah kesedaran bahawa dia tidak akan dapat mendengar suara ibunya.

Pendedahan Awal Kepada Komuniti Pekak

Sebagai seorang anak yang boleh mendengar kepada ibu bapa yang pekak, saya sepatutnya boleh menerima berita ini dengan lebih baik.

Mula-mula saya rasa bersalah kerana anak saya mungkin mewarisi gen yang rosak daripada saya tetapi saya telah mengubah perspektif saya.

Walaupun saya mempunyai pendedahan awal kepada komuniti pekak, saya mula sedar orang yang pekak sebenarnya tidak kurang bezanya daripada mereka yang terpaksa memakai cermin mata – sedikit usaha diperlukan tetapi lambat laun mereka akan membiasakan diri, cuma dalam kes anak saya, tanggungjawab itu jatuh kepada orang di sekelilingnya.

Bayi Pekak Saya Layak Hidup

sumber: Internet

Semasa mengandung, saya dinasihati berbincang dengan kaunselor tentang warisan genetik saya. Saya diberi pilihan untuk menguji DNA janin dalam kandungan saya melalui amniosentesis, satu prosedur yang invasif dan membawa risiko keguguran.

Saya menolak cadangan itu. “Mengapa perlu saya mempetaruhkan nyawa anak saya kerana perkara yang remeh?” kata hati saya. Tidak kira sama ada dia pekak ataupun tidak, anak ini tetap akan disayangi dengan sepenuh hati.

Memilih untuk Menamatkan Kehamilan

Beberapa pasangan yang bakal menjadi ibu bapa telah memilih untuk menamatkan nyawa bayi dalam kandungan apabila mendapati anak mereka pekak.

Saya hanya mendapat tahu ini daripada kaunselor genetik saya selepas anak kami dilahirkan. Masa itu kami menghadiri sesi susulan untuk mengenalpasti jenis masalah pendengaran yang telah diwarisi oleh anak kami (ibu saya pekak dengan kehilangan penglihatan, dan bagi ayah saya, hanya pendengarannya yang terjejas).

Kesedaran bahawa amalan ini wujud menyebabkan saya rasa amat kecewa. Saya menangis untuk beberapa hari, sedih kerana sesetengah pasangan suami isteri menghabiskan beribu-ribu dolar untuk menjalani pemeriksaan genetik, hanya untuk membuat keputusan yang sukar untuk menamatkan kehamilan. Saya pasti pasangan yang telah berjumpa dengan kaunselor yang sama ini ingin juga menimang cahaya mata.

Tidak lagi boleh saya menerima pendirian lama saya mengenai pengguguran anak. Kalau ikut naluri hati saya, kami akan meninggalkan Singapura dan pindah ke United Kingdom (UK) di mana kehilangan pendengaran tidak dilihat sebagai satu halangan. Masyarakat di sana jauh lebih inklusif.

Di UK, ibu bapa pekak saya berkerja di pejabat. Bapa saya bebas untuk memandu (walaupun kadang-kadang dengan melulu) dan bermain dalam kelab bola sepak pekak. Teater di sana dilengkapi dengan sarikata, dan anda boleh mengupah jurubahasa BSL (British Sign Language) apabila ingin berjumpa doktor.

Namun saya tahu kami mesti tinggal di sini. Jika kami berpindah ke negara lain, anak kami akan berjauhan daripada keluarga luas. Saya membuat keputusan untuk bersikap terbuka dan berkongsi apa maknanya untuk hidup bersama dan mengasihi seorang yang pekak.

Kelemahan kita – yang boleh dilihat ataupun tidak – adalah apa yang menjadikan kita manusia yang sempurna. Kanak-kanak pekak masih secantik kanak-kanak yang boleh mendengar, dan kepekakan bukan satu kelemahan.

Dengan kanak-kanak pekak, kita boleh menikmati keseronokan berkali ganda apabila melihat mereka belajar tentang dunia mereka: bermula dengan penglihatan, kemudian melalui bunyi dan isyarat tangan.

Tidak semua kanak-kanak pekak akan pulih pendengaran sepenuhnya, dan kita tidak seharusnya menaruh harapan yang tinggi. Meskipun peluang untuk mendengar adalah tipis, namun kehidupan mereka tetap kaya tanpa ada kurangnya dan penuh dengan makna.

Artikel ini adalah hasil karya Danielle Yong.

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!