Satu Lagi Kes Kematian Covid-19 Melibatkan Bayi Sindrom Down Berusia Setahun Di Sabah
Setakat 9 November, seorang lagi mangsa termuda baru berusia setahun iaitu bayi sindrom down dilaporkan meninggal dunia kerana wabak Covid-19
Ketika seluruh dunia berjaga-jaga ekoran penularan wabak Covid-19 yang semakin mencatatkan peningkatan kes baharu, Malaysia juga tidak terkecuali dalam membanteras virus pembunuh ini. Setakat 9 November 2020, satu lagi kes kematian terbaharu dilaporkan melibatkan bayi sindrom down berusia 1 tahun.
Jelaslah di sini bahawa Coronavirus tidak mengira usia dan boleh menyerang sesiapa sahaja dalam tempoh yang singkat.
Bayi sindrom down berusia 1 tahun mangsa Covid-19 di Sabah
Menurut keterangan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, seorang kanak-kanak lelaki berusia 1 tahun yang menghidap sindrom Down menjadi mangsa terbaharu Covid-19 setakat semalam, 9 November 2020.
Bukan itu sahaja, mangsa turut mempunyai latar belakang penyakit jantung berlubang dan hipotiroidisme telah meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent di Sandakan, Sabah.
Difahamkan bayi sindrom down berkenaan merupakan salah seorang daripada 8 mangsa yang meninggal dunia berkaitan Covid-19 yang diumumkan semalam. Tujuh lagi mangsa lain merupakan 4 lelaki berusia 72 tahun, 51 tahun, 53 tahun, 66 tahun.
Manakala 3 perempuan yang berumur 71 tahun, 55 tahun dan 65 tahun. Semua kes kematian ini dilaporkan berlaku di Sabah.
Pada bulan lalu yang bertarikh 6 Oktober, seorang bayi perempuan berusia setahun turut menjadi korban termuda akibat pandemik Coronavirus.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bayi berkenaan merupakan kes yang ke-12, 432 telah dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna bayi mendapatkan rawatan pada 1 Oktober yang lalu.
”Walau bagaimanapun, keadaan kesihatan mangsa didapati semakin merosot sehingga dia memerlukan alat bantuan pernafasan,”
”Keputusan saringan Covid-19 didapati positif pada 5 Oktober dan bayi berkenaan telah disahkan meninggal dunia pada jam 4.25 petang hari yang sama,” katanya.
Gejala Covid-19 terhadap bayi
Menerusi catatan yang diterbitkan oleh New England Journal of Medicine menyatakan, para pengkaji di Tiongkok melaporkan kematian seorang bayi 10 bulan yang dijangkiti virus Covid-19.
Setelah disiasat, ternyata mangsa mengalami masalah usus dan kegagalan beberapa organ badan yang lain. Setelah 4 minggu bertarung nyawa, akhirnya bayi ini dilaporkan meninggal dunia.
Meskipun gejalanya lebih ringan, namun tetap sahaja ada beberapa simptom yang perlu anda waspada. Antaranya ialah:
- Kesukaran untuk bernafas
- Tidak mampu menelan sebarang cecair
- Bibir berubah warna kebiruan
- Sukar untuk bangun bagi anak yang sudah besar
Di samping itu, terdapat dua keadaan yang boleh mendedahkan si manja dengan jangkitan Covid-19 iaitu mereka mengalami masalah kesihatan tertentu seperti asma dan diabetes.
Selain demam, golongan kanak-kanak dengan sejarah asma mungkin akan menunjukkan gejala yang lebih serius. Justeru ibu ayah hendaklah memberikan perhatian terhadap perubahan kesihatan anak secara kerap dan jangan berlengah lagi untuk membawa mereka menjalani rawatan di hospital sekiranya diperlukan.
Bukan itu sahaja, and juga hendaklah berhati-hati sekiranya si manja mengalami penyakit kencing manis. Ini kerana ia dapat melemahkan sistem ketahanan tubuh badan dengan mudah.
Cara untuk melindungi anak daripada menjadi mangsa Covid-19 yang seterusnya
Menurut doktor kanak-kanak dari Johns Hopkins Children Center, Aaron Milstone, ada beberapa tindakan yang boleh ibu ayah lakukan agar anak-anak yang masih kecil terhindar daripada jangkitan Covid-19 iaitu:
- Jauhi tempat yang ramai orang buat sementara waktu
- Elakkan kontak dekat dengan orang yang mengalami simptom seperti demam dan batuk (tidak terkecuali ahli keluarga sendiri)
- Amalkan budaya mencuci tangan sehingga 20 saat. Tindakan ini amat penting bagi mencegah kuman dan virus. Lakukannya dengan teratur menggunakan sabun serta air yang bersih
- Sentiasa bawa bersama atau menggunakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) ketika berada di tempat yang sukar mendapatkan air
- Jaga kebersihan di dalam rumah. Bersihkan kawasan rumah dengan kerap menggunakan cecair disinfektasi di tombol pintu, remote televisyen atau suis
- Pastikan anggota keluarga sentiasa menutup rapat mulut ketika bersin dan batuk menggunakan telapak tangan atau tisu supaya virus tidak merebak kepada orang lain
- Pakai pelitup muka dengan betul ketika anda keluar rumah dan pastikan ia dibuang ke dalam tong sampah setelah digunakan.
Sumber: Msn, Sinar Harian
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: