Setiap ibu melalui pengalaman berbeza sewaktu melahirkan bayi. Begitu juga dengan wanita ini apabila berdepan dengan kelahiran bayi songsang dalam kandungan secara normal biarpun keluar bahagian kaki dahulu.
Detik cemas dihadapi oleh ibu ini dikongsikan menerusi media sosial TikTok.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Doktor sahkan bayi songsang dalam kandungan
- Pukul 3 pagi, pecah air ketuban
- Kaki bayi sudah keluar
Menerusi perkongsian TikTok maisarahamzi, wanita itu memberitahu, doktor telah memaklumkan bahawa bayi dikandungnya berada di posisi songsang. Ikuti kisah dan pengalaman ibu tersebut.
Doktor sahkan bayi songsang dalam kandungan

Dia memberitahu imbasan telah dibuat dan ketika usia kandungan 33 minggu, bayinya songsang dan wanita itu berserah sepenuhnya kepada Allah SWT.
"Masa ini scan bayi, doktor cakap bayi songsang. Takut sangat sebab tak pernah ada pengalaman kan. Dah 33 minggu, tapi bayi tak berpusing lagi. Suami tak putus bagi semangat. Hanya mampu berserah kepada Allah.
"Waktu itu terus kena rujuk Hospital Shah Alam untuk buat janji temu seterusnya," katanya berkongsi pengalaman pada video yang dimuat naik.
Pukul 3 pagi pecah air ketuban

Meneruskan ceritanya, wanita itu memberitahu masuk usia kandungan 37 minggu, bayinya dalam kedudukan songsang malah, dia turut membuat janji temu dengan doktor di Jabatan Obstetrik & Ginekologi, Hospital Shah Alam dalam masa terdekat.
"Jadi saya sempat jalan-jalan ke Melaka dengan keluarga. Pukul 3 pagi pergi tandas tiba-tiba bunyi 'popp'. Rupanya dah pecah air ketuban tapi saya tak tahu.
"Lepas beberapa minit terus memulas rasa nak push. Keluarga terus berkejar ke hospital terdekat, Hospital Melaka," katanya lagi.
Kaki bayi sudah keluar

Sebaik tiba di Hospital Melaka, wanita itu memberitahu dia terus menjalani pemeriksaan dan ketika itulah disedari kaki bayi sudah keluar.
"Sampai sana terus check jalan, bayi dah keluar kaki. Hanya mampu berserah saja masa itu. Doktor terus jerit 'breech, breech' terus ditolak masuk labour room dengan dua kali push saja.
"Ya keluar kaki dulu secara normal. Alhamdulillah, semuanya dengan kuasa Allah dan berkat doa semua," katanya berkongsi cerita tersebut.
Menjengah ke laman sosial Instagram wanita itu, bayi pasangan itu diberi nama Muhammad Isaac Iman Mohd Shafiq dilahirkan dengan berat 2.5 kilogram pada 27 Mac lalu jam 5.24 pagi.
Begitulah kisah dikongsikan wanita ini. Jadi bagaimana pula pengalaman bersalin ibu?
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kedudukan Bayi Songsang? Lakukan 5 Jenis Senaman Ini Bagi Membuatkan Bayi Pusing Semula!
Baca juga: Akibat Cuai - Bayi Songsang Maut Leher Terputus & Kepala Tertinggal Dalam Rahim!
Baca juga: Bayi Dalam Kandungan Songsang? Jangan Risau, Apa Kata Anda Cuba 3 Cara Ini Untuk Elaknya
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!