Trend FOMO, YOLO Punca Belia Di Malaysia Terjerat Hutang Jahat Seawal Usia 20 Tahun

Belia bankrap akibat hutang seawal usia 20 tahun di Malaysia berada di tahap yang membimbangkan apabila mereka mengikuti trend FOMO, YOLO

Budaya hidup ‘takut ketinggalan’ atau ‘fear of missing out’ (FOMO) dan ‘hidup hanya sekali’ (YOLO) dikatakan antara faktor mengakibatkan belia di negara ini dibebani hutang pada usia seawal 20 tahun.

Malah, cara hidup yang mengutamakan kehendak diri dan mengikut trend seperti memiliki gajet seperti telefon berjenama terkini juga menyebabkan mereka sanggup berhutang walaupun berada di luar kemampuan.

Berhutang Untuk Membeli Barang Keperluan

Pakar Kewangan Pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri, berkata trend terkini itu dilihat sangat membimbangkan kerana golongan muda ini tidak sepatutnya berhutang untuk membeli barang keperluan.

“Terpaksa meminjam untuk beli pelbagai barangan keperluan adalah satu perkara amat serius kerana dalam pengurusan kewangan, kita tidak sepatutnya berbuat demikian untuk kelangsungan hidup.

“Contohnya terpaksa membuat pinjaman bank atau institusi kewangan lain untuk beli barangan keperluan harian, sewa rumah, bayar kereta,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas mengenai pendedahan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bahawa terdapat 53,000 individu berumur bawah 30 tahun didapati dibebani hutang terkumpul berjumlah RM1.9 bilion.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata AKPK juga mendapati 28 peratus rakyat Malaysia yang bekerja meminjam wang untuk membeli barangan keperluan.

Dalam pada itu, Mohamad Fazli yang juga Dekan Fakulti Ekologi Manusia di Universiti Putra Malaysia berkata, golongan belia yang dibebani hutang itu sepatutnya kembali kepada perkara asas dan melihat semula tujuan meminjam itu untuk keperluan atau kehendak hidup.

“Sebaliknya, ramai daripada mereka ini sanggup meminjam hanya semata-mata mahu mengikut kehendak membeli telefon bimbit terkini dan sanggup buat pinjaman peribadi.

Sanggup Berhutang Tanpa Fikir Panjang

“Malah mereka ini juga gunakan konsep FOMO, YOLO dan banyak mengikut trend semasa tanpa melihat keperluan kewangan sendiri. Kawan pula dengan anak orang kaya, lihat orang ada, dia pun nak ada. Jadi untuk dapatkan barangan itu dia buat la hutang.

“Sekarang pula hutang mudah nak buat, tak perlu dengan bank dan disebabkan itu ada pelajar pun mula berhutang kerana kini sudah ada kemudahan seperti Atome atau ‘beli sekarang, bayar kemudian’,” katanya.

Berikutan itu Mohamad Fazli menasihatkan pengguna supaya untuk melihat kembali kewangan sama ada mampu bayar atau tidak.

“Kalau tak boleh bayar balik, kena lihat bagaimana untuk tingkatkan pendapatan. Kalau perlu berjimat atau buat kerja separuh masa, kena buat,” katanya.

Statistik Belia Diisytihar Bankrap

Sebanyak 5,695 kes kebankrapan direkodkan Jabatan Insolvensi pada tahun 2022 lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, daripada jumlah itu, seramai 419 belia berumur 25 hingga 34 tahun, yang rata-ratanya baharu memulakan kehidupan dan kerjaya diisytihar bankrap.

Menurut beliau, sehingga Ogos lalu, seramai sembilan individu di bawah umur 25 tahun mengalami masalah kebankrapan.

“Golongan belia bankrap amat membimbangkan dan pinjaman peribadi merupakan punca terbesar yang menyumbang kepada 46.8 peratus selain pinjaman perniagaan, perumahan, sewa beli dan kad kredit,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, sekiranya kerajaan tidak melakukan intervensi seperti mengadakan kursus literasi kewangan, dibimbangkan lebih ramai belia terjebak dengan pinjaman peribadi selain ia turut membebankan kerajaan.

“Kursus literasi kewangan ini penting bagi membantu mereka menyedari dan bagaimana berbelanja secara berhemah,” ujarnya.

Katanya, Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (iLEAD) akan meneruskan siri jelajah mereka menerusi Program Sekolah Rukun Negara.

“Program berkenaan merupakan kelas demokrasi yang diwujudkan khas serta diselaraskan iLEAD bermula tahun ini.

“Sehingga kini, seramai 60,000 golongan belia telah mengikuti kelas demokrasi dan ini adalah satu program di bawah rakan muda,” ujar beliau.

4 Punca Muflis Dalam Kalangan Belia

Pakar Kewangan Islam dan Fintech, Muhamad Fahmi Mustafa berkata, mengikut statistik, terdapat empat penyebab kebankrapan paling tinggi iaitu pinjaman peribadi, pembelian kereta, pinjaman perniagaan dan pinjaman perumahan.

Katanya, tiga daripada penyebab itu adalah berkaitan pinjaman yang mempunyai hubung kait yang sangat tinggi kepada gaya hidup golongan belia.

“Bagi tempoh 2018 hingga September 2022, jumlah bankrap atau muflis yang ditadbir adalah 47,929 dan daripada jumlah itu, 10,378 adalah mereka yang berumur antara 34 tahun dan ke bawah.

“Manakala mereka yang berumur 35 hingga 44 tahun mewakili kira-kira 37.38 peratus atau 17,917 orang yang muflis.

“Kes muflis sebenarnya mengalami penurunan dari segi kes, tetapi ini bukanlah disebabkan kes itu benar-benar menurun, tetapi disebabkan takrifan semula nilai ambang kebankrapan kepada RM100,000 daripada RM50,000 sebelum ini,” katanya.

Trend Beli Rumah Di Luar Kemampuan

Beliau berkata, punca kebankrapan juga akibat pembelian membabitkan gaya hidup dan pelaburan yang kurang pasti, contohnya pembelian rumah di luar kemampuan sebenar.

Menurutnya, kenaikan harga rumah tidaklah berada di kadar yang ‘agresif’ seperti yang digembar-gemburkan, malah jumlah rumah sekarang boleh dikatakan sudah melebihi penawaran.

Muhammad Fahmi berkata, oleh itu pembelian aset jangka masa panjang seperti kediaman haruslah dipertimbangkan dengan melihat pelbagai faktor sebelum membuat keputusan memohon pinjaman.

Dapatkan Khidmat Nasihat Ketika Muflis

Menurutnya, ketika di ambang muflis, individu perlu segera mendapatkan khidmat nasihat daripada institusi sepatutnya seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan turut serta dalam program yang dirancang oleh AKPK.

“Bagaimanapun, jika sudah muflis, golongan ini perlu mengikuti nasihat daripada Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) dan jangan abaikan peringatan serta sentiasa membuat tindakan susulan dengan MDI kerana mereka hendak membantu kita keluar daripada status muflis terbabit,” katanya.

Berita Harian, Sinar Harian, Harian Metro

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Lelaki Simpan 4 Juta Dalam Tempoh 21 Tahun, Pilih Ikat Perut Demi Bebas Hutang & Bersara Awal

Baca juga: Tiada Lagi Full Loan Kereta Bermula 1 Ogos, Ini Perkara Penting Anda Perlu Tahu

Baca juga:  Gaji Pasangan Cukup-Cukup Makan, Kena Rajin Menyimpan, Tips Elak Bergaduh Sebab Duit!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!