Bila Anak Mula Tanya Soalan "Baby Keluar Dari Mana?"
Bila sudah tiba masanya, si manja akan mula menyoal soalan 'baby datang dari mana?' 'baby duduk dalam perut ibu ke?' dan sebagainya. Sebagai seorang ibu, usah cepat gelabah! Mari kita kendali soalan ini dengan bijak.
Si manja yang semakin membesar memiliki rasa ingin tahu yang mendalam. Mereka akan mula menyoal pelbagai perkara setiap hari dan tidak lama lagi pasti anda akan dengar soalan cepumas, “Mama, bayi keluar dari mana?”.
Soalan-soalan ini mungkin timbul kerana mereka terdengar perbualan orang dewasa yang mengelirukan buat mereka. Atau juga kerana mereka menggunakan imaginasi untuk membayangkan sesuatu.
Sebagai seorang ibu, anda harus bijak “mengendali” soalan-soalan si manja agar mereka lebih mempercayai kita. Apabila kepercayaan dibina, mereka akan lebih terbuka untuk bercerita atau menyoal sesuatu perkara. Bukankah itu yang kita mahu? Agar mereka percaya dan bersifat terbuka dengan kita.
Bila Anak Mula Bertanya Bayi Keluar Dari Mana?
Apabila soalan cepumas ini sudah diutarakan, pun mulalah gelabah ingin menjelaskan tentang hubungan intim, rahim, sperma dan sebagainya. Usah risau, mari kita kendali soalan ini dengan bijak. Berikut bagaimana kita boleh mengendalikan situasi ini dengan selamat.
#Mula dari awal
Ya, mula dari awal! Didik si manja anda tentang tubuh badan untuk membezakan antara lelaki dan perempuan. Pendekatan dengan gaya ini lebih memudahkan si manja untuk faham tentang anggota badan dan hubungan intim kelak.
#Beritahu mereka, tapi jangan jelas banyak sangat
Hanya jawab soalan yang ditanya dengan penjelasan mudah. Dr Robert Walrath dari Center for Educational and Psychological Assessment di Manchester berkata ibubapa harus mengendalikan situasi ini dengan “memberi penjelasan mudah, kemudian tunggu soalan seterusnya dari si manja.”
Usah gopoh untuk bercerita tentang “semua proses”. Lagi satu, jangan salah faham soalan si manja pula. Jika mereka tanya “dari mana saya datang“, mungkin mereka maksudkan di mana mereka lahir, bukan bagaimana proses kehamilan dan kelahiran terjadi. Untuk memastikan anda tidak salah faham dengan soalan mereka, guna taktik “tanya dan tunggu”.
Soal si manja bagaimana mereka bayangkan bayi terjadi, kemudian cerita dengan mudah pada mereka.
#Guna bahasa/terma yang betul
Jangan beritahu mereka bayi membesar dalam perut! Kerana perut adalah “tempat menyimpan makanan.” Nanti mereka akan keliru. Jelaskan pada si manja bayi membesar dalam rahim.
“Macam mana baby jadi?” soal mereka lagi.
Jelaskan yang sperma dari ayah berenang ke dalam rahim ibu. Jangan cerita tentang benih pula, nanti mereka ingat macam benih tanam pokok!
#Guna buku cerita
Anda boleh jelaskan pada si manja yang bayi adalah hasil dari satu proses. Dr William Sears dari Parenting menggalakkan ibubapa untuk bercerita tentang proses kehamilan melalui buku cerita. Antara buku cerita lawak dan bersahaja yang boleh anda guna untuk bercerita pada si manja adalah:
- Before You Were Born, oleh Jennifer Davis
- What to Expect When Mommy’s Having a Baby, oleh Heidi Murkoff
- It’s Not the Stork!, oleh Robie H. Harris
- How Was I Born?, oleh Lennart Nilsson dan Lena Katarina Swanberg
Jika anda hamil, anda boleh menjelaskan yang nanti selepas bayi baru ini lahir, mereka akan ada adik!
#Guna intonasi kasual
Usah rasa malu! Jika anda rasa malu untuk menjelaskan proses ini, si manja akan rasa ada sesuatu yang memalukan tentang proses kehamilan. Sebaliknya, bawa bertenang. Guna intonasi biasa untuk menjelaskan perkara ini pada mereka. Mungkin anda boleh beri contoh melalui program televisyen.
#Cari peluang baru
Jika anda yang hamil, atau kawan baik anda hamil, si manja boleh mendapat peluang baru untuk mempelajari tentang proses ini. Galakkan si manja untuk memegang perut anda, atau bawa dia cari baju bayi. Mereka akan lebih mudah faham begini.
#Cerita tentang emosi
Usah risau jika anda bercerita tentang hubungan intim dan bayi, si manja nanti akan lebih terbuka untuk bergaul bebas dan sebagainya. Masyarakat Melayu memang ada adab dan tatasusilanya, namun si manja berhak mengetahui tentang pengetahuan am ini.
Jadi sebagai seorang ibu, apa kata anda cerita tentang aspek emosi yang terlibat sebelum hubungan intim. Biar mereka faham hubungan intim hanya untuk orang dewasa yang sudah bersedia.
Jika anda masih keliru, malu atau tidak selesa untuk mengendali soalan yang dianggap sensitif ini, mari pelajari bagaimana ingin mengendali situasi ini mengikut peringkat usia kanak-kanak tersebut. Today’s Parent telah merangka Panduan Bercakap Tentang Seks Dengan Kanak-kanak Mengikut Usia untuk memudahkan ibubapa. Mari teruskan bacaan!
Sumber: Parenting.com, Baby Center Expert Advice, Today’s Parent dan Wyeth Nutrition