Keputusan Urine Pregnancy Test (UPT) menunjukkan positif dan selepas itu, apa perlu ibu buat? Itu antara perkara biasa dialami bakal ibu khususnya yang pertama kali mengandung anak pertama. Soalan paling kerap ditanya ialah macam mana nak buka buku pink?
Apa yang anda boleh baca daripada artikel ini?
- Minggu ke-6 hingga 12 adalah masa yang sesuai untuk ibu buka buku pink
- Kiraan jangkaan tarikh mengandung
- Tempah tarikh temu janji
- Senarai dokumen yang perlu dibawa ke klinik
- Langkah membuka buku Rekod Kesihatan Ibu
- Ingat tarikh Last Menstrual Period (LMP)
- Apa perlu dibuat dengan buku Rekod Kesihatan Ibu
Buku pink atau Rekod Kesihatan Ibu akan diberikan kepada ibu hamil yang pertama kali ke klinik kesihatan untuk pendaftaran serta merekod maklumat berkaitan kemajuan ibu hamil, bersalin dan semasa postnatal.
Ia juga perlu disimpan oleh ibu dan dibawa setiap kali menghadiri pemeriksaan sama ada di klinik atau hospital kerajaan atau swasta. Paling penting, bawa buku pink ini ke mana sahaja apabila memerlukan pemeriksaan dan rawatan.
Minggu ke-6 hingga 12 adalah masa yang sesuai untuk ibu buka buku pink

Seperti yang dikongsikan oleh Noorul Hidayah yang juga seorang ibu, wanita ini memberikan tips kepada bakal ibu cara untuk membuka buku Rekod Kesihatan Ibu.
Adalah disyorkan kepada ibu-ibu antara 6 hingga 12 minggu mengandung. Jika terlalu awal, tidak digalakkan kerana tidak sesuai lagi untuk dipantau dan mungkin akan disuruh balik serta kembali selepas 6 minggu.
Yang penting seboleh-bolehnya sebelum 3 bulan, ibu sudah buka buku pink bagi mengelakkan ‘dibebel’ oleh jururawat.
Bagaimanapun jika mempunyai sejarah komplikasi kehamilan seperti keguguran, air ketuban kurang atau sebarang masalah kesihatan lain, sebaiknya pergi awal supaya dapat dipantau dengan teliti.
Nak buka buku pink, buat kiraan jangkaan tarikh mengandung
Untuk membuat ujian UPT, ibu boleh melakukannya sebaik sahaja haid normal datang lewat. Sebagai contoh untuk tarikh kandungan, boleh dikira begini:
Tarikh pertama datang haid yang paling terbaharu = 1 April
Tarikh buat UPT = 15 Mei
Sekiranya dua garisan, bermakna ibu mengandung 6 minggu
1 April – 30 April = 4 minggu
1 Mei – 15 Mei = 2 minggu
Jumlah = 6 minggu
Tempah tarikh temu janji untuk buka buku pink
Selepas mengetahui diri ibu mengandung, pertama sekali ialah perlu tempah tarikh perjumpaan untuk membuka buku pink.
Caranya ialah dengan mencari klinik kesihatan terdekat dengan rumah, cari nombor telefon klinik dan hubungi klinik untuk mendapatkan tarikh perjumpaan.
Jika sudah banyak kali menghubungi klinik namun tidak berangkat, ibu boleh terus datang ke klinik kesihatan untuk tempat tarikh perjumpaan dengan jururawat bertugas.
Senarai dokumen yang perlu dibawa ke klinik

Kebiasaannya jururawat akan maklumkan terlebih dahulu sewaktu menempah tarikh. Apa yang ibu perlu bawa ialah:
-Kad pengenalan
-Bil air atau elektrik yang terbaharu untuk mengesahkan alamat rumah
Hal ini kerana ada alamat kad pengenalan tidak sama dengan alamat rumah. Selain itu, memudahkan pihak klinik kesihatan memantau jika terdapat kes.
Cara buka buku Rekod Kesihatan Ibu di klinik
Selain mengisi maklumat lanjut di dalam buku tersebut, ibu akan ditanya mengenai sejarah latar belakang, perlu mengambil darah, ujian HIV Rapid Test, ujian air kencing, timbang berat, tekanan darah selain imbasan gigi, payudara, perut dan bahagian kaki.
Seterusnya berjumpa dengan doktor untuk membuat pemeriksaan kandungan. Jururawat juga akan memaklumkan perkara penting perlu dibuat semasa mengandung.
Misalnya jika berlaku perdarahan, keperluan mengambil folic acid selain kesan kepada bayi jika tidak mengambilnya.
Paling penting ibu kena ingat tarikh Last Menstrual Period (LMP)

Penting ingat tarikh LMP kerana jika tidak, jururawat sukar menganggarkan usia kandungan bayi selain tarikh jangkaan bersalin.
Mungkin doktor boleh mengukur panjang dan berat bayi sewaktu imbasan namun, itu hanya anggaran serta dikhuatiri tidak tepat.
Simpan buku ini elok-elok dan wajib dibawa setiap kali pemeriksaan di klinik kesihatan. Di dalam buku itu terdapat panduan sebelum, semasa, selepas ibu mengandung dan tercatatnya rekod kesihatan ibu dan bayi.
Jika ia hilang, sukar untuk jururawat memantau perkembangan ibu setiap bulan. Lebih baik bawa sahaja ke mana ibu pergi jika berlaku sebarang perkara tidak diingini.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: Kod Warna Atas Buku Pink Ada Maksud Sendiri, Bukan Suka-Suka Tampal Tau! - Kongsi Doktor
Baca juga: Utamakan Buku Pink & IC Bila Nak Bersalin, Anggap Macam Nyawa Sendiri! Ini Sebabnya...
Baca juga: Ini Prosedur Buka Buku Pink Bagi Kehamilan Luar Nikah, Hindari Rasa Takut Nurse Marah!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!