Terlepas pandang masalah cacing membahayakan kesihatan si kecil!

Jika masalah cacing tidak dirawat dengan segera, kanak-kanak boleh mengalami masalah usus tersumbat, anemia yang teruk atau kegagalan jantung untuk berfungsi!

“Ibu bapa sering terlepas pandang malah gagal mengesan tanda-tanda jangkitan cacing apabila ia berlaku pada anak masing-masing!” tegas Dr Akbar Abdullah dalam blog kesihatannya – Health Massa.

Nyata, masalah cacing yang kerap menjangkiti kanak-kanak berusia lingkungan 6 hingga 7 tahun ini sering dipandang ringan oleh ibu bapa.

Tahukah anda, jika masalah cacing tidak dirawat dengan segera, kanak-kanak boleh mengalami masalah usus tersumbat, anemia yang teruk atau kegagalan jantung untuk berfungsi!

Kanak-kanak yang terdedah dengan masalah cacing juga akan kekurangan zat makanan dan lebih terbuka kepada penyakit lain kerana sistem imun mereka terjejas.

Antara cacing yang sering menghantui kanak-kanak ialah cacing gelang, cangkuk, kerawit, benang dan pita. Cacing spesies benang sekecil 5mm dan berwarna putih lebih kerap menjangkiti si kecil.

Jika dijangkiti cacing benang, si kecil mungkin tidak tunjuk sebarang tanda jangkitan.

Jika anda lihat si kecil tergaru-garu punggungnya itu, sudah tiba masa untuk semak! Mungkin si kecil dijangkiti cacing. Laman web Raising Children menyenaraikan tanda-tanda jangkitan lain ialah:

  • Punggung terasa gagal terutama waktu malam
  • Badan lemah dan hilang selera makan
  • Sakit perut, cirit-birit dan perut kembung
  • Pucat
  • Ada darah dalam najis
  • Berat badan kurang walaupun ada selera makan
  • Batuk berpanjangan
  • Demam, ruam di badan, alahan, kaki gatal dan bengkak
  • Menggigit kuku
  • Sakit kepala
  • Hiperaktif, meragam
  • Sensitif pada cahaya
  • Cacing keluar dari punggung, atau ada cacing dalam najis

Punca jangkitan cacing

Jangkitan terjadi apabila telur cacing masuk ke dalam sistem tubuh si kecil, menetas lalu membiak dalam usus. Dalam sesetengah kes, larva yang sudah menetas boleh ke paru-paru. Telur cacing juga mampu menjangkiti orang lain dengan mudah!

Perunding Kanak-kanak Hospital Pakar KPJ, Dr. Nor Mahani Harun mengulas kanak-kanak boleh dijangkiti cacing melalui pemakanan dan persekitaran yang kotor.

Dari makanan — sayur-sayuran/buah-buahan yang tak dibasuh dengan betul (masih ada telur cacing), minum air tidak dirawat dan amalan tidak membasuh tangan.

Persekitaran yang kotor — tandas kotor, berkaki ayam ketika bermain, bermain pasir, kuku yang panjang, memiliki .haiwan peliharan seperti kucing.

Cacing boleh menembusi kulit. Elak berkaki ayam ketika bermain.

Amalan si kecil juga boleh menjadi punca jangkitan! Contohnya bila si kecil menggaru-garu punggungnya, telur cacing boleh terlekat di kuku.

Jika mereka menggigit kuku, telur akan masuk semula ke dalam badan dan kembali membiak. Oleh itu, ibu bapa dinasihatkan untuk menjaga kebersihan si kecil dengan lebih teliti dan menggalakkan mereka untuk kerap membasuh tangan.

Rawatan masalah cacing

Nasib baiklah masalah cacing boleh dirawat dengan mudah melalui cara moden malah cara tradisional. Ibu bapa sekalian, jangan terlepas pandang masalah ini lagi, ya! Mari semak bagaimana anda boleh merawat masalah cacing–

1. Beri ubat cacing

Ubat cacing harus diberi pada kanak-kanak sejak dari awal. Namun, doktor pakar menggalakkan hanya kanak-kanak berusia setahun ke atas mula makan ubat cacing. Pastikan si kecil makan ubat cacing enam bulan sekali atau setahun sekali dengan dos yang ditetapkan.

Ubat cacing yang sering diberi pada kanak-kanak adalah Syrup Albendazole.

2. Jaga kebersihan rumah dan persekitaran

Telur cacing sering melekat di tempat duduk tandas lalu mula merebak. Ibu bapa harus mencuci tempat duduk tandas dengan cecair ‘disinfectant‘ setiap hari selama seminggu dalam tempoh rawatan.

Jangan lupa untuk mencuci sayur-sayuran/buah-buahan dengan sempurna juga!

3. Jaga kebersihan si kecil

Pastikan si kecil kerap membasuh tangan dengan sabun antiseptik sebelum makan dan selepas keluar dari tandas. Malah, kuku si kecil juga harus dipotong pendek.

4. Cara semulajadi merawat masalah cacing

Menurut laporan UNICEF, kanak-kanak yang diberi ubat cacing akan memiliki berat dan perkembangan fizikal yang lebih sempurna berbanding kanak-kanak yang tidak makan ubat cacing.

Akan tetapi, anda juga boleh merawat si kecil dengan cara semulajadi. Cara semulajadi ini harus diamalkan agar cacing tidak kembali lagi.

Buah tomato dan lobak bagus untuk merawat masalah cacing

Beri si kecil makan buah tomato mentah yang telah dibasuh. Selain itu, amalkan makan bawang putih mentah (basuh dengan bersih), lobak merah dan jus lobak merah. Minum air kelapa tanpa sebarang campuran atau minum air perahan nenas dengan madu.

Anda juga disarankan untuk bertemu dengan doktor pakar bagi memastikan si kecil tidak dijangkiti masalah cacing kronik yang mampu memudaratkan.

 

Sumber rujukan: Laman web Raising Children, Babycenter, Top 10 Home Remedies, Health Massa, dan Utusan Online