Cara-Cara Mengatasi Masalah Kurang Susu Untuk Ibu

Perjalanan penyusuan ibu tidak selalunya mudah, anda haruslah bertawakal dan berfikiran positif! Cuba juga tip dan saranan yang kami kongsikan dalam artikel ini untuk menambah jumlah susu badan anda.

Dr Nurhaya Lactation Center ada memberi tip-tip untuk para ibu yang ingin mengatasi masalah kurang susu:

  1. Menyusukan bayi dengan kerap setiap kali bayi menunjukkan isyarat mahu menyusu. Ia juga dikenali sebagai "feeding on demand".
  2. Kerap mengosongkan payudara dengan menggunakan pam susu atau hand expression, turut dikenali sebagai "marmet".
  3. Memperbetulkan lekapan bayi semasa menyusu.
  4. Mengelakkan penggunaan puting tiruan atau pacifier.
  5. Mengelakkan pemberian susu fomula. Berikhtiar dahulu untuk menyusu badan secara eksklusif.
  6. Minum air kosong dalam kuantiti yang mencukupi. Minum apabila berasa dahaga dan selepas menyusu bayi. Minum juga air selepas mengepam walaupun dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap.
  7. Pakar pemakanan menyarankan ibu yang menyusu untuk minum air sekurang-kurangnya 3.5 liter sehari.
  8. Air suam adalah yang terbaik. Minumlah segelas air suam sebelum mula menyusu atau mengepam, serta segelas air suam selepas menyusu atau mengepam. Anda akan dapat melihat kesan positifnya pada jumlah susu badan anda.
  9. Makan makanan yang berkhasiat.
  10. Pengambilan milk booster juga dapat membantu. Apa yang dimaksudkan di sini adalah milk booster dari makanan semulajadi. Namun, ketahuilah bahawa milk booster ini bertindak berbeza-beza mengikut badan masing-masing. Anda harus mencuba pelbagai jenis milk booster untuk mengetahui mana satu yang sesuai untuk anda.
  11. Menggunakan pam susu yang betul dan sesuai dengan payudara ibu juga boleh memainkan peranan untuk menggalakkan jumlah susu badan.