Begini Rupanya Cara Meneran Dengan Betul Menurut Perkongsian Doktor, Ibu Hamil Mesti Baca!
Percayalah memang ramai yang keliru apabila bercakap mengenai cara meneran dengan betul ini. Terutama sekali ibu yang pertama kali melahirkan. Ini tips untuk meneran dengan betul daripada pakar!
Meneran adalah salah kemahiran yang penting untuk bakal ibu tahu semasa proses kelahiran. Jika anda tahu cara meneran dengan betul, ia dapat mempercepatkan proses kelahiran juga boleh mengelakkan komplikasi semasa bersalin!
Percayalah memang ramai yang keliru apabila bercakap mengenai cara meneran dengan betul ini. Terutama sekali ibu yang pertama kali melahirkan.
Jika salah meneran, akhirnya akan membuatkan anda kehilangan banyak tenaga lantas cepat berasa penat. Bayi juga akan stress kerana terlalu lama dalam saluran peranakan.
Disebabkan itu, bakal ibu terutama sekali ibu yang pertama kali melahirkan anak digalakkan untuk menghadiri kelas pre-natal. Selain dapat belajar cara mengawal kontraksi dan cara meneran ketika bersalin nanti, anda juga boleh mendapat banyak pengetahuan dalam penjagaan bayi baru lahir.
Cara meneran dengan betul
Menurut Pakar Perbidanan & Sakit Puan di Columbia Asia Bukit Rimau, Dr Sharina Mohd Razali, beliau menyatakan bahawa cara meneran yang betul adalah seperti membuang air besar.
“Bakal ibu perlu elakkan meneran pada muka, kerana ia adalah cara yang salah sama sekali. Ia akan membuatkan ibu-ibu terasa cepat penat dan merupakan kesilapan yang sering terjadi kepada ibu yang pertama kali bersalin normal,” katanya.
Tips meneran semasa bersalin
- Angkat kepala sehingga dagu mencecah dada.
- Mata memandang ke arah perut.
- Tangan pegang pergelangan kaki.
- Elakkan mengeluarkan suara ketika meneran. Simpan tenaga untuk meneran
- Jangan sesekali angkat punggung agar luka tidak melibatkan dubur.
- Tarik nafas dengan dalam dan teran seperti keadaan membuang air besar.
- Pastikan anda tidak mengeluarkan nafas dengan kuat.
- Teran sekuat-kuatnya selama yang boleh (selama 10 saat sekiranya boleh).
- Rehat dan relaks ketika tiada kontraksi. Basahkan bibir dengan air dengan bantuan suami.
- Curi nafas dan teruskan meneran di setiap kontraksi.
- Dengar arahan jururawat dan doktor.
- Elakkan menjerit – jerit supaya pembaziran tenaga dapat dielakkan.
Betulkan postur badan
Postur badan perlu dipastikan sesuai supaya memudahkan ibu untuk meneran. Caranya ialah dengan:
- Berbaring dengan keadaan kedua belah kaki terbuka luas.
- Kedua-dua kaki dilipatkan sedikit ke belakang.
- Bahagian belakang akan ditinggikan bahagian sedikit.
- Cuba pegang pada tumit atau meletakkan kaki pada penyokong besi yang disediakan.
Tidak mengapa untuk berehat seketika
Ya, sememangnya anda digalakkan untuk berehat dengan mengambil nafas dalam proses meneran. Selalunya doktor atau jururawat akan membantu anda dalam proses ini. Mereka akan beritahu anda bila waktu terbaik untuk meneran dan bila sepatutnya anda mengambil nafas dan berehat seketika. Hal ini penting kerana doktor atau jururawat hanya akan memberi arahan teran setelah memantau kontraksi menerusi bacaan CTG dan keadaan bayi.
Persediaan awal
Pakar menyarankan anda untuk relaks, dan sentiasa lakukan sedikit senaman sebelum melalui proses bersalin. Antaranya adalah berjalan-jalan, ia boleh mempercepatkan proses bersalin, dan mudah untuk bayi turun ke pangkal rahim.
Makan buah kurma juga antara amalan yang elok dilakukan sebelum bersalin. Ia boleh memberi tenaga kepada ibu hamil yang bakal meneran.
Jangan meneran terlalu awal
Ibu perlu mengelakkan diri dari meneran terlalu awal iaitu sebelum bukaan serviks 10cm kerana ia boleh menyebabkan ibu cepat berasa penat dan memberikan stres berlebihan kepada bayi. Meneran terlalu awal juga boleh menyebabkan serviks terkoyak.
Anda juga tidak digalakkan untuk menghembus nafas dengan kuat semasa meneran, ia juga akan menjadikan anda mudah penat. Sekiranya anda mempunyai masalah pernafasan atau menghidap asma, jelaskan kepada doktor dan jururawat sebelum bersalin. Pastikan ubat-ubat atau inhaler dibawa ketika ke hospital.
Jadi, ibu-ibu semua sudahkah anda bersedia? Ingat, jangan kerana anda terlau risau membuatkan anda panik dan terlupa untuk membuat langkah-langkah dan tips yang diberi. Kunci kepada kelahiran yang mudah adalah apabila anda bertenang. Sekiranya anda lupa pun langkah-langkah di atas, jangan bimbang kerana doktor dan jururawat sentiasa ada untuk membimbing anda. Selamat berjaya ibu-ibu semua!
Sumber: ColumbiaAsia
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: