9 Cara Para Isteri Boleh Atasi Masalah Ejakulasi Pramatang Suami

Share this article with other mums

Mati pucuk bukan satu-satunya mimpi ngeri lelaki. Masalah ejakulasi pramatang juga berbahaya! Nasib baik para isteri boleh membantu mengatasi masalah ini.

Sebenarnya, masalah “mati pucuk” bukan satu-satunya mimpi ngeri yang boleh menghantui kaum lelaki atau pasangan anda. 

Kini, ramai lelaki mengalami masalah yang lebih serius, hingga mereka malu atau enggan berjumpa doktor pakar. Masalah tersebut adalah masalah ejakulasi pramatang.

Utusan online menggelar masalah ini sebagai masalah “lelaki seminit”. Mengikut tinjauan Your Tango, ramai lelaki menganggap masalah ini berbahaya kerana mereka tak mampu “memuaskan” pasangan

Tapi dalam kerisauan mereka itu, mereka malu untuk berjumpa dengan doktor pakar! Akibatnya, masalah ejakulasi pramatang sering berlaku dan hampir 30% lelaki akan mengalaminya!

Apakah ejakulasi pramatang?

Masalah ejakulasi pramatang terjadi apabila seseorang lelaki mengalami rangsangan dan ejakulasi terlalu awal (sebelum atau ketika dia atau pasangan belum sempat menikmati seks). 

Terdapat dua jenis masalah ejakulasi pramatang, iaitu:

  • Ejakulasi pramatang sepanjang hayar (utama)
  • Ejakulasi pramatang baru (sekunder)

Punca masalah yang menghantui lelaki ini

Ejakulasi pramatang sepanjang hayat bermula sejak awal, biasanya ketika remaja. Ia mungkin disebabkan oleh masalah psikologi atau habit tidak sihat seperti sering melancap.

Manakala masalah ejakulasi baru biasanya tercetus akibat masalah psikologi (tekanan) atau kerana masalah fizikal (seperti penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi).

Masalah ini juga boleh disebabkan keadaan kulit kemaluan yang terlalu sensitif, refleks hiperaktif, rangsangan melampau, atau jarang melakukan hubungan intim.

Selain itu, doktor juga menjelaskan antara faktor lain yang mengakibatkan masalah ejakulasi pramatang adalah genetik, ketakutan, rasa bersalah, bimbang tentang prestasi, keradangan/jangkitan di prostat atau uretra dan lain-lain.

Bagi seorang isteri, anda pasti kecewa jika pasangan mengalami masalah ejakulasi pramatang. Berulang-ulang kali pula itu! Apa yang anda harap setiap kali melakukan hubungan intim adalah agar dia “bertahan lebih lama”. Tapi… hmm…

Jangan risau! Jika pasangan anda malu untuk berjumpa pakar, anda patut cuba 9 cara di bawah untuk mengatasi masalah ini. Jom cuba!

9 cara isteri boleh membantu mengatasi masalah ini!

#1 Sokongan berpanjangan dan ingat rasa cinta anda!

Ini perkara asas yang pertama. Ya, anda kecewa. Tapi pasangan anda lebih kecewa! Mereka pasti menganggap mereka tak berguna dan tak layak untuk anda…

Tapi, kasih sayang dan cinta kalian lebih daripada itu kan? Berilah sokongan yang berpanjangan untuk pasangan. Selesaikan masalah ini bersama-sama, okay?

#2 Buat senaman Kegel bersama

Anda tak tahu apa itu senaman Kegel? Ini masanya untuk tahu! Senaman kegel adalah senaman menguatkan otot di lantai pelvis anda. Jika diamalkan secara berterusan, anda dan pasangan boleh mengatasi masalah ejakulasi pramatang!

Tip untuk tolong pasangan dengan senaman Kegel: Cuba tekan perineum (satu jarak antara testikel dan punggung pasangan dengan dua jari anda. Ketika anda menekan, minta dia cuba kecutkan otot itu. Nanti dia tahu dah di mana dia harus mengecutkan ototnya!

#3 Pakai kondom

Kondom ibarat satu “dinding” yang boleh mengawal sensitiviti kulit kemaluan. Jangan tak tahu, sensitiviti kulit kemaluan mampu membuatkan lelaki terpancut lebih awal!

#4 Perlahankan tempo

Perlahankan tempo permainan kalian! Memanglah bila anda bakal mencapai orgasma, anda tak ingin perlahankan tempo permainan, tapi nanti…

#5 Posisi seks isteri duduk di atas suami

Posisi seks ini dikatakan banyak membantu! Anda boleh duduk di atas pasangan dan “menjalankan tugas mengawal”. 

Biasanya, jika rangsangan bertambah, pasangan akan mengalami pernafasan yang laju. Ia boleh mengakibatkan mereka mengalami ejakulasi pramatang!

Jadi, bila anda di atas, cuba minta mereka bertenang dan bernafas dengan perlahan-perlahan. Nikmati tusukan yang dalam itu…

#6 Teknik “Mula dan Berhenti”

Untuk buat teknik ini, anda perlu merangsang zakar dan berhenti sebelum pasangan rasa ingin pancut.

Berhenti selama 30 hingga 60 saat. Biar rasa “ejakulasi” itu hilang. Kemudian cuba lagi hingga pasangan boleh mengawal ejakulasinya. Jika anda ingin berhenti ketika zakar di dalam faraj, jangan kemut!

#7 Teknik “Picit”

Dengan teknik ini, anda perlu memicit bahagian kepala zakar selama 30 saat sebelum pasangan mencapai klimaks. Picitan ini mampu menghentikan rasa untuk ejakulasi.

Selepas itu, hubungan intim boleh disambung semula.

#8 Permainan minda

Kurangkan rangsangan minda. Tumpukan perhatian pada perkara yang membosankan. Semuanya hanyalah permainan minda saja! Anda harus cuba menenangkan pasangan.

#9  Onani

Lakukan hubungan intim setelah pasangan anda beronani (masturbate). Ia mampu memanjangkan masa…

Apa yang penting, masalah ejakulasi pramatang adalah masalah yang serius. Usah rasa segan untuk berjumpa dan berbincang dengan doktor pakar tentang hal ini.

Memanglah hubungan intim mungkin bukan elemen terpenting dalam sesebuah perkahwinan, tapi tanpanya, bagaimana anda ingin menghasilkan benih?

Semoga perkongsian ini berguna!

Sumber rujukan: Health Bridge Limited. Your Tango, dan Utusan Online

 

Bahasa Melayu Kesihatan Lifestyle Untuk Ibu & Ayah