Cara Tenteramkan Bayi yang Sedang Menangis, Seperti yang Dikongsikan Oleh Seorang Pakar

lead image

Dengan kaedah 'The Hold' yang disarankan oleh Dr. Robert, seorang pakar kanak-kanak dari US, bayi anda akan senyap daripada rengekannya dan berasa seronok apabila didodoi. Nak tahu caranya? Jom tonton video ini.

Sebagai ibu bapa, anda pasti akan mengalami masalah sebegini sekali sekala: bayi anda tidak berhenti-henti menangis walaupun telah diberi makan, ditukar lampin dan didodoi.

Apabila si kecil anda mula merengek dan anda tidak tahu apa lagi cara untuk dibuat bagi menenangkannya, mungkin anda ingin mencuba satu kaedah yang disarankan oleh seorang pakar kanak-kanak dari Amerika Syarikat ini.

Cara Tenteramkan Bayi Menangis Disarankan Oleh Pakar Kanak-Kanak dari US

Kaedah ‘The Hold’ telah diperkenalkan oleh Dr. Robert Hamilton dari Unit Pacific Ocean Pediatrik di Santa Monica, California.

Source: Wnews.world

Dr. Robert mempunyai pengalaman dari bidang pediatrik selama hampir 30 tahun. Beribu-ribu anak kecil telah disambut kelahiran dan diperiksa kesihatannya oleh Dr. Robert.

Beliau merupakan seorang pakar kanak-kanak yang suka berkomunikasi dan mendidik para ibu bapa tentang perihal keibubapaan dan mengajar kaedah menjaga bayi dengan betul dan selamat.

Dalam bertahun-tahun pengalaman menjadi seorang doktor pakar, beliau telah menemui teknik yang sangat berkesan dalam menangani anak kecil yang menangis dan tidak dapat ditenangkan. Teknik ini dipanggil ‘The Hold’ atau ‘Kaedah Pemegangan.’

Menurut Dr. Robert, kaedah ini sangat mudah dan boleh dilakukan oleh ibu bapa sendiri di rumah dan sangat sesuai buat bayi pada usia sebulan hingga tiga bulan.

Langkah-Langkah Melakukan Teknik ‘The Hold’

Mula-mula, angkat bayi anda yang sedang menangis secara terbalik.

Kemudian, lipat lengan tangan kanan bayi anda ke dalam dan letakkan tangan kiri di atas tangan kanannya seolah-olah dia sedang dalam keadaan memeluk tubuh.

Gunakan tangan anda untuk memegang kedua-dua lengannya sekali. Pada masa yang sama, gulungkan jari anda dan sokong kepala si kecil dengan meletakkan jari anda di bahagian dagunya.

Source: Wnews.world

Kemudian, letakkan lagi satu tangan anda di bahagian punggung si kecil.

Untuk memegang bahagian punggungnya ini, Dr. Robert menyarankan anda menggunakan telapak tangan, dan bukannya jari. Bahagian lembut di tapak tangan memberikan rasa yang lebih selesa buat si kecil.

Dengan pemegangan sebegini, keadaan kaki anak anda secara automatik akan terbuka.

Kemudian, dodoi bayi anda secara perlahan-lahan ke atas dan ke bawah dalam keadaan 45 darjah condong. Sudut pegangan sebegini akan memberikan anda ruang untuk menyokong leher si kecil. Jika dipegang secara menegak, takut-takut kepalanya akan terhentak ke belakang.

Anda juga boleh mendodoikannya dengan menggerakkan punggung si kecil ke kiri dan kanan.

Source: Wnews.world

Cuba Cara Tenteramkan Bayi yang Sedang Menangis Menggunakan Saranan Doktor Pakar Ini!

Tidak lama kemudian, anda akan mendapati si kecil anda yang tidak berhenti-henti menangis akan senyap serta-merta.

Jika bayi anda tidak berhenti menangis walaupun setelah dilakukan kaedah pemegangan sebegini, Dr. Robert menyarankan anda memberi perhatian kepada dua perkara:

  • Mungkin bayi anda tidak sihat
  • Mungkin dia lapar

Teknik ini sangat sesuai bagi menenangkan bayi yang sedang menangis akibat sebab-sebab ketidakselesaan, selain daripada dua sebab di atas.

Jika anda ingin lihat bagaimana Dr. Robert menenangkan beberapa orang bayi yang sedang menangis, jom tonton video di bawah ini!