Cara untuk membantu anak-anak meningkatkan tahap prestasi akademik sekolah

Cara untuk membantu anak-anak meningkatkan tahap prestasi akademik sekolah

Ibu bapa antara peranan penting dalam meningkatkan prestasi akademik kanak-kanak

Setiap anak ada kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Ibu bapalah yang berperanan untuk mengatasi kelemahan akademik anak-anak. Ibu bapa mestilah mempunyai impian untuk melihat anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran.

Oleh itu, ibu bapa antara peranan penting dalam meningkatkan prestasi akademik mereka.

1. Menyediakan keperluan asas

Dengan menyediakan keperluan asas seperti buku dan alatan tulis adalah perlu untuk memastikan anak-anak berjaya dalam pelajaran, supaya anak-anak berasa selesa untuk menimba ilmu.

Ataupun jika anak meningkat remaja, berikan kebebasan untuk anak-anak membeli buku dan peralatan tulis kerana anak-anak lebih tahu akan keperluan sendiri.

Jika anak masih di bangku sekolah rendah, ibu bapa harus peka dengan keperluan asas anak untuk pergi ke sekolah, seperti buku latihan yang habis, membeli buku dan membeli buku ulangkaji latih tubi untuk anak-anak.

Di samping itu, sediakan ruang belajar untuk anak-anak supaya mereka boleh belajar dengan tenag.

2. Berikan motivasi kepada anak-anak

Elakkan melabel gelaran negatif kepada anak-anak. Sesungguhnya, kata - kata itu adalah satu doa.Berikan keyakinan diri kepada anak-anak yang mereka boleh berjaya dalam akademik. Kata-kata semangat yang datang daripada ibu bapa sendiri akan menaikkan semangat anak-anak kerana anak-anak yakin ibu bapa sangat sayangkan mereka.

Hadiahkan mereka sesuatu yang mereka sukai sebagai ganjaran selepas memperoleh keputusan yang baik dalam peperiksaan,supaya dapat mendorong anak-anak untuk berusaha dengan lebih gigih.

3. Disiplinkan anak-anak

Buatkan peraturan belajar untuk anak-anak patuhi di rumah. Misalnya berhenti menonton tv selepas beberapa jam, peruntukkan masa mengulangkaji yang lebih untuk subjek-subjek yang mereka lemah.

Ibu bapa haruslah meluangkan masa duduk di sebelah anak-anak untuk mengulangkaji pelajaran. Ibu bapa haruslah memastikan bilik tidur ataupun juga bilik belajar mereka bersih. Tentukan masa riadah bagi anak-anak selepas seharian mengulangkaji pelajaran.

Jangan lupa seimbangkan masa belajar, masa membersihkan bilik, menolong ibu bapa sendiri di rumah ataupun masa beribadah mereka. Anak yang baik bukan sahaja cemerlang dalam peperiksaan, tetapi juga cemerlang dalam aspek keperibadian.

4. Sabar

Untuk mendidik anak-anak, ibu bapa haruslah sabar. Setiap anak-anak mempunyai kekurangan atau kelebihan masing-masing, tumpukan kelebihan mereka dan atasi kekurangan mereka. Jika anak-anak sukar untuk mengingat fakta, ajar anak-anak supaya melekatkan nota di tempat mereka belajar supaya mereka boleh mengingat fakta dengan mudah.

Jangan marah anak-anak dengan kata-kata kesat, kerana ini akan menyebabkan minda ana-anak tertutup dan takut melakukan kesalahan. Perlu diingatkan, kesalahan adalah peluang untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik. Berilah anak-anak peluang untuk belajar dari kesalahan, seperti gagal dalam sesebuah matapelajaran.

5. Bina hubungan baik antara ibu bapa dan guru di sekolah

Guru adalah perantara antara anak dan ibu bapa. Guru lebih mengetahui tahap prestasi anak-anak mereka. Ibu bapa harus mengetahui dan mengikuti perkembangan prestasi anak-anak dengan guru.

Berikan kerjasama yang baik kepada guru dalam mendidik anak-anak, seperti membenarkan anak mereka dihukum oleh guru jika anak mereka tidak menyiapkan kerja sekolah.

6. Sediakan makanan yang elok dan berkhasiat untuk anak-anak

Kesihatan minda anak-anak dipengaruhi dengan makanan yang disediakan. Galakkan anak-anak memakan kismis supaya dapat mengingat fakta dengan lebih baik. Makanan yang bersih menjadi darah daging anak-anak.

Sediakanlah makanan yang segar dan bersih supaya kesihatan anak-anak dapat dijaga. Dengan badan yang sihat, otak yang cergas, anak-anak dapat menumpukan perhatian yang lebih dalam pelajaran.

7. Berdoa

Doa adalah senjata bagi orang yang beriman. Berdoa lah yang terbaik untuk anak-anak supaya anak-anak dapat keberkatan dalam pelajaran. Selain itu, jangan berputus asa untuk mendidik anak-anak jika anak-anak masih gagal dalam pelajaran. Kenal pasti punca kegagalan sebelum menyalahkan anak-anak seratus peratus.

Boleh jadi anak-anak tiada minat dalam jurusan sastera,berbanding jurusan sains, jadi berikan anak-anak peluang untuk belajar berpandukan minat mereka.

Perlu diingatkan, jika anak-anak tidak berapa cemerlang dalam akademik, pasti mereka mempunyai kekuatan yang lain. Yakinlah terhadap kebolehan anak-anak, kerana anak adalah anugerah daripada tuhan.

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!

app info
get app banner