Pentingnya Redha Ibu Bila Dapat Tahu Anak Ada Ciri Autisme, Ia Mudahkan Proses Terapi

Ciri autisme sukar dikenal pasti kerana elibatkan gangguan perkembangan minda. Ikuti kisah wanita ini yang berjaya 'menyelamatkan' anaknya secara lebih awal

Penyakit autisme tidak menunjukkan sebarang kecacatan fizikal tetapi ia menganggu perkembangan mental. Keseriusan ciri autisme ini boleh dibahagikan kepada beberapa tahap iaitu terkawal (mild autisme), sederhana dan tahap membimbangkan. 

Tahap ini amat bergantung kepada kesan simptom terhadap kehidupan harian pesakit. Walau bagaimanapun, sehingga kini punca anak autisme belum dapat dikenalpasti namun terdapat kajian mengatakan bahawa faktor genetik merupakan salah satu punca ia berlaku.

Ciri autisme pada anak, ibu ayah perlu menjadi seorang yang peka

ciri anak autisme

Menurut perkongsian kisah oleh seorang ibu kepada 4 orang anak, Naura Alexander Mikhail, 1 April yang lalu merupakan hari pertama anak lelakinya, Uzair ke sekolah.

Alhamdulillah syukur akhirnya Uzair diterima masuk ke Taska Ikhlas. Ia merupakan taska pertama di Malaysia yang menawarkan khidmat intervensi serta perlindungan khusus untuk kanak-kanak berkeperluan khas.

Ummi nak kongsikan kisah Uzair di sini. Pada usianya 8 bulan, ummi perasan dia macam ada sedikit kelainan. Suka sangat dengan objek berputar dan gemar main dengan roda. Kalau dia pandang kipas berputar tu memang dia leka sungguh, suka kibas-kibaskan tangan dan kalau kita panggil, dia tidak memberikan respon langsung.

Dia leka bermain tanpa peduli orang sekeliling, seolah-olah dalam dunianya sendiri. Kita bercakap dengan dia, memang tiada eye contact langsung. Bila abang dan kakak ada dekat pun, lansung tak minat nak main bersama. Dia nak main sorang-sorang sahaja.

Pada waktu tu terdetik hati ummi lain sungguh Uzair sebab berbanding dengan anak-anak sebelum ini, usia 8 bulan mereka sudah pandai tepuk tangan, lambai tangan dan pandai menyembang bila diacah. Tapi semua perkembangan tu tak ada langsung dekat Uzair.

Dia waktu tu hanya tahu kibas-kibas tangan sahaja. Suara bayi menyembang langsung tak ada.

Waktu tu ummi rasa mungkin Uzair ada delay sikit, maklumlah dilahirkan pramatang. Tapi macam mana pun dalam hati kecil ummi terdetik sesuatu sebab jelas kelihatan semua ciri-ciri Uzair ke arah sign of classic autisme.

Pakar mengatakan ia adalah ciri autisme peringkat awal

kisah anak autisme

Apabila ada appointment dengan pakar kanak-kanak, terus ummi cerita perkembangan Uzair dekat doktor. Dari pemeriksaan dan pemerhatian, doktor cakap Uzair memang ada ciri-ciri Autism, tapi untuk terus mengesahkannya tidak boleh lagi sebab terlalu awal.

Jadinya doktor menyarankan agar Uzair mulakan terapi cara kerja dan terapi pertuturan seawal mungkin supaya dapat dipantau dari semasa ke semasa. Doktor cakap Uzair bertuah sebab Ummi peka dengan perkembangannya dan dapat mulakan terapi awal.

Sebab tak semua ibu bapa bernasib baik dapat mulakan terapi awal, kebanyakannya datang sudah lambat. Uzair mula terapi dia masa umur 1 tahun 2 bulan, dari situlah rutin Ummi setiap beberapa bulan sekali bawa Uzair ke hospital.

Berusaha dapatkan ilmu dan info mengenai autisme

terapi anak autisme

Benarlah orang cakap, melahirkan anak istimewa datang dengan komitmen yang sangat tinggi. Jujur ummi cakap kami memang tidak mampu untuk hantar Uzair terapi cara kerja dan terapi pertuturan swasta. Kos 1 jam sahaja mencecah 200 ringgit untuk setiap sesi terapi. 

Kalau nak lagi bagus hantarlah 1 ke 2 kali sebulan setiap terapi. Apatah lagi nak masukkan Uzair ke pusat intervensi swasta, kos sebulan sahaja hampir 1 ribu ringgit. Jadinya setiap kali appoinment dengan terapi, Ummi akan ambil kesempatan untuk bertanya macam-macam.

Segala penerangan oleh pakar ummi ambil sebagai ilmu dan mempraktikkan di rumah terutama sekali untuk masalah sensori, moto kasar, halus dan juga emosi.

Waktu tu segala ilmu dan info tentang Austime memang ummi gali habis. Apa bentuk terapi yang boleh dibuat di rumah ummi ikut tengok dekat Youtube. Segala group dalam Facebook ummi masuk tidak kisahlah luar negara sekalipun.

Sekarang syukur sangat-sangat, semua ciri-ciri Austime sudah tidak ada pada Uzair. Dia dah pandai bergaul, bermain dengan orang lain, ada eye contact dan boleh faham arahan.

Fokus ummi sekarang nak Uzair biasakan diri dengan keadaan sekeliling dan tahu cara uruskan diri terutamanya kelakuan. Tentang redha, memang dari awal ummi redha dan boleh terima segala kekurangan anak syurga ummi. Semoga hidupmu baik-baik sahaja wahai anakku.

Sumber: Naura Alexander Mikhail

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Adik Tak Sayang Kakak Kerana Kakak Autisme, Nasihat Daripada Ayahnya Undang Sebak

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!