Majikan boleh disaman jika buang kerja ibu yang ambil cuti bersalin 90 hari
Untuk cuti bersalin swasta 2018, Menteri menyatakan majikan boleh disaman jika membuang golongan ibu bekerja yang minta cuti bersalin 90 hari.
Semasa pembentangan bajet 2018 yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak tempoh hari, ramai yang sedia maklum tentang cuti bersalin swasta 2018 iaitu cuti bersalin selama 90 hari telah diberi kepada para ibu yang bekerja kerajaan.
Dalam masa yang sama, pihak majikan dari sektor swasta juga disarankan untuk mengikut langkah kerajaan dalam memberi cuti bersalin 90 hari kepada para wanita.
Cuti bersalin swasta 2018: Majikan boleh disaman atau dilapor jika buang pekerja kerana mengandung atau cuti bersalin
Baru-baru ini, satu berita tentang cuti bersalin swasta 2018 telah mengatakan para ibu yang bekerja dan meminta cuti bersalin selama 3 bulan boleh melaporkan tentang majikan mereka. Tentang apa?
Mereka boleh melaporkan kepada Kementerian Sumber Manusia sekiranya mereka dibuang kerja akibat permintaan cuti tersebut!
Menurut timbalan menteri di kementerian tersebut, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib:
“Walaupun tiada akta tertentu yang mengatakan majikan daripada sektor swasta tidak boleh membuang pekerja wanita yang mengambil cuti bersalin 90 hari, namun kita perlu mengambil kira prinsip undang-undang Perlembagaan Persekutuan.”
Tambahnya lagi:
“Majikan tidak boleh buang pekerja wanita apabila mereka mengandung, wanita-wanita ini telah memberikan banyak sumbangan kepada perkembangan syarikat.”
Datuk Seri Ismail juga menjelaskan yang para ibu boleh membuat laporan sekiranya mereka dibuang kerja, bersesuaian dengan Perlembagaan Persekutuan.
Perlembagaan ini menyebut setiap orang mempunyai hak masing-masing, termasuklah dalam hal pekerjaan.
Cuti bersalin swasta 2018: Pemberian cuti bersalin 90 hari akan dilaksanakan dalam 2 fasa
Kalau para ibu hendak tahu, proses pelaksanaan cuti bersalin 90 hari akan dilakukan dalam 2 fasa dalam melaksanakan cuti bersalin swasta 2018 ini.
Fasa yang pertama akan mengambil kira maklum balas daripada beberapa pihak yang berkaitan selepas melalui proses konsultasi.
Fasa kedua pula akan melibatkan perubahan kepada beberapa jenis akta berikut:
- Seksyen 37 Akta Kerja 1995
- Seksyen 83 Ordinan Buruh Sabah Bab 67
- Seksyen 84 Ordinan Buruh Sarawak Bab 76.
Selain daripada kelebihan cuti bersalin selama 3 bulan, bajet 2018 juga menyaksikan pemberian pengecualian cukai selama setahun buat para ibu yang ingin kembali bekerja selepas tidak bekerja selama lebih dari 2 tahun.
Diharapkan dengan pemberian cuti bersalin yang lebih panjang ini, para ibu dapat meluangkan lebih masa dengan bayi yang baru lahir.
Dan, jangan lupa, sekiranya anda dibuang kerja hanya kerana anda mengandung dan mengambil cuti bersalin selama 90 hari, jangan ragu-ragu untuk melaporkannya kepada Kementerian Sumber Manusia ya!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia