Sebagai seorang ibu yang bekerja, sudah pasti akan timbul sedikit kerisauan dalam hati apabila anak kita tidak sihat. Mulalah kita tertanya-tanya tentang bagaimana untuk meminta cuti menjaga anak.
Jadi, dalam artikel kali ini, kami akan berkongsikan dengan anda, beberapa fakta tentang cuti menjaga anak, yang turut dikenali sebagai CMA. Ia diharapkan dapat menjadi panduan bagi ibu yang bekerja dengan kerajaan.
Bagi swasta pula, cuti tertakluk kepada polisi syarikat anda. Jadi, jangan berasa ragu untuk bertanyakan kepada bahagian sumber manusia atau pentadbiran untuk maklumat tepat mengenai cuti di pejabat anda.
Cuti menjaga anak (CMA) mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2014
Bagi para ibu yang menjadi pegawai perkhidmatan kerajaan dan ingin mengetahui beberapa fakta penting ini, kami ada buatkan beberapa kesimpulan berdasarkan surat pekeliling cuti menjaga anak yang dikeluarkan oleh JPA.
1. 2 jenis cuti menjaga anak sakit
Kredit: Slideshare.net
Kalau ibu nak tahu, CMA terbahagi kepada 2 jenis:
- Cuti menjaga anak yang bersambung daripada cuti bersalin
- Cuti menjaga anak yang tidak terikat dengan cuti bersalin
Bagi cuti yang bersambung dengan cuti bersalin, anda boleh memohon CMA sehingga 5 tahun.
Manakala, bagi cuti yang tidak terikat dengan cuti bersalin pula, tempah yang boleh dipohon adalah selama setahun sahaja atau sehingga anak mencapai umur 5 tahun.
2. Adakah cuti ini cuti bergaji atau sebaliknya?
Untuk pengetahuan anda, cuti CMA adalah sejenis cuti tanpa gaji. Tujuan cuti ini diberikan adalah supaya para wanita yang bekerja masih boleh bercuti dan menjaga serta menyusu bayinya selepas tamat tempoh cuti bersalin.
Disebabkan ia adalah cuti tanpa gaji, maka anda perlulah memastikan simpanan wang mencukupi bagi menampung keperluan sepanjang tempoh CMA.
3. Tidak perlu menghabiskan cuti tahunan terlebih dahulu
Kredit: Siakapkeli.my
Menurut perkongsian seorang ibu, anda tidak perlu menghabiskan cuti tahunan anda sebelum memohon CMA. Maknanya, selepas menyambung semula perkhidmatan, cuti tahunan anda masih kekal dan boleh diambil sewajarnya.
4. Walaupun mengambil CMA, anda masih boleh menerima faedah perkhidmatan
Dalam tempoh anda bercuti, sebarang faedah yang ditawarkan pada waktu itu masih lagi layak untuk diterima. Contohnya seperti bonus duit raya atau pemberian khas.
5. Bila kita boleh mula memohon cuti jaga anak?
Untuk yang ingin mengambil kemudahan cuti ini, anda perlu membuat permohonan seperti tempoh berikut:
- Bersambung cuti bersalin – permohonan cuti dibuat sebelum 30 hari tamat tempoh cuti bersalin
- Tidak terikat cuti bersalin – permohonan dibuat 30 hari sebelum tarikh CMA
Untuk membaca pekeliling cuti menjaga anak ini dan memuat turun borang cuti menjaga anak, klik di sini.
Info bonus #6 – Cuti kuarantin anak sakit
Kredit: Siraplimau.com
Cuti kuarantin adalah cuti khas yang diberikan kepada penjawat awam yang anaknya sakit terkena penyakit berjangkit.
Tempoh cuti kuarantin untuk anak yang sakit adalah:
- maksimum 5 hari untuk setiap kes penyakit atau,
- selama tempoh perakuan yang ditetapkan oleh doktor perubatan kerajaan atau swasta
Penyakit berjangkit yang dibenarkan untuk anda pohon adalah seperti berikut:
- penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD)
- demam denggi/demam denggi berdarah
- campak (measles)
- chicken pox
- difteria
- malaria
Untuk melihat surat pekeliling rasmi dan borang permohonan cuti kuarantin, anda boleh klik di sini.
Jadi, kami harapkan yang perkongsian dalam artikel tentang cuti tanpa gaji menjaga anak ini dapat membantu para ibu sekalian memahami tentang kemudahan CMA yang diberikan oleh kerajaan.
Kongsikan juga artikel ini dengan rakan sejawat supaya mereka juga turut maklum tentang kemudahan ini.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 5 Tips Hilangkan Batuk Berkahak Mengikut Usia Bayi, Terbukti BERKESAN & Ibu Kena Cuba
Baca juga: Ramai Ibu Ayah Tersalah Cari Pengasuh Anak Yang Baik, Guna Senarai Semak Lengkap di Sini
Baca juga: Anak Mengeluh Minta Ibu Lahirkannya Semula Ke Dunia, Penat Tulis Nama Panjang
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!