Dari Kaca Mata Seorang Bayi – Apa yang Mereka Nampak Sebaik Sahaja Lahir?

Anda mengagah bayi dan dia tersenyum? Ia belum tentu bermakna yang dia nampak anda. Jom kita telusuri dunia penglihatan bayi sebaik sahaja dilahirkan sehingga usia setahun. Ianya sangat menarik dan mungkin sedikit membanggakan buat kaum ibu!

Kita selalu fikir yang anak baru lahir itu dapat melihat ibu dan bapanya dengan jelas. Namun, tahukah anda, mengikut kajian sains, sistem penglihatan bayi adalah tidak seperti yang kita sangkakan.

Dalam artikel ini, kita akan melihat melalui kaca mata seorang bayi. Apa sebenarnya yang mereka nampak sebaik sahaja dilahirkan?

0 – 3 Bulan

Jika anda hendak tahu, bayi yang baru lahir di dunia tidak mempunyai sistem penglihatan yang sempurna. Tisu retina mata mereka belum terbentuk 100%. Malah, sel saraf pada mata dan otak juga belum terbentuk sepenuhnya.

Jadi, penglihatan bayi yang baru lahir agak terhad. Ia sedikit kabur dan warna yang mereka nampak adalah hitam dan putih sahaja (atau sedikit kelabu).

Source: FB Seeker

Penglihatan bayi pada usia ini juga terhad pada jarak 8 inci daripada mata mereka. Dan, mereka masih belum dapat memfokus objek dengan baik.

Koordinasi mata mereka juga masih lemah pada waktu ini. Sebab itulah, kadang kala, anda akan perasan yang mata bayi akan menjadi sedikit juling dan meliar.

Jadi, mungkin anda tertanya-tanya, mengapa anak anda tersenyum apabila anda mengagah mereka pada usia ini? Sebenarnya, mereka bertindak balas terhadap suara anda; bayi dapat mendengar pada usia ini.

Antara wajah dan suara ibu, bayi dapat mengesan suara (dan bau) ibu terlebih dahulu berbanding rupa paras ibu mereka! Menarik, bukan?

3 Bulan – 7 Bulan

Ketika usia 3 bulan, barulah bayi anda dapat melihat anda dengan sedikit jelas. Dan, di sini ada satu fakta yang mungkin akan membanggakan anda sebagai seorang ibu: orang pertama yang bayi dapat lihat dan kenalpasti adalah ibunya sendiri.

Pada waktu ini, tisu mata mereka semakin terbentuk dan mereka mula dapat melihat wajah wanita yang sering menyusukan mereka.

Source: FB Seeker

Pada waktu ini, wajah ayah belum lagi muncul dalam penglihatan mereka dengan jelas.

Antara usia 3 ke 6 bulan juga, bayi sudah mula dapat melihat warna, terutamanya merah dan kuning. Anak mata bayi juga akan mula bergerak mengikut arah pergerakan objek.

Pada masa yang sama, anda akan perasan yang tangan mereka juga akan mula bergerak mengikut arah objek tersebut.

7 Bulan – 9 Bulan

Antara usia 6 ke 9 bulan, barulah wajah ayah kelihatan jelas. Bayi juga boleh mula membezakan antara fizikal ibu dan ayahnya.

Malah, dunia bayi juga mula berubah menjadi berwarna-warni. Mereka dapat melihat objek di dalam bilik mereka. Serta, barang permainannya mula kelihatan cantik dan menarik mengikut pandangan bayi.

Source: FB Seeker

Pada usia menjengah 8 bulan, koordinasi tangan dan mata bayi mula terbentuk. Mereka semakin mahir menggunakan mata, menggerakkan tangan ke arah objek, dan mencapai barang tersebut.

Malah, mereka juga sudah mula dapat membezakan antara jarak jauh dan jarak dekat.

Pada usia ini, bayi anda juga akan mula merangkak. Ini menggalakkan koordinasi atau kerjasama antara mata, tangan, kaki dan badan mereka.

10 -12 Bulan

Bayi yang mula mencapai umur setahun pada ketika ini mempunyai penglihatan yang semakin matang.

Bayi anda pada usia selepas 12 bulan akan terus menjelajah dunia baru mereka yang semakin indah dan mula menggunakan anggota badan yang lain dalam berinteraksi dengan dunia luar.

Source: FB Seeker

Sistem penglihatan mereka akan mula terbentuk dengan sempurna, hampir 100% antara umur setahun ke dua tahun.

Pada usia ini, anda juga akan perasan yang si manja anda mula pandai mencampak barang. Mengapa? Ia adalah kerana persepsi jarak, kemahiran memegang barang, dan sistem visi mereka semakin sempurna.

Jadi, jika anak anda suka mencampak barang pada usia ini, tidak perlu marah-marah. Anda hanya perlu senyum sahaja kerana ternyata ia adalah sebahagian daripada perkembangan tumbesaran dan pembelajaran si kecil.

Jom kita tengok video yang menunjukkan perkembangan penglihatan seorang bayi.

Get A Glimpse Of The World Through The Eyes Of A Newborn

This is how newborn babies are seeing the world.

Posted by Seeker on Saturday, 1 April 2017

Tetapi Anak Saya Laju Sahaja Dapat Melihat Ibu dan Ayahnya?

Kajian sains ini telah dibuat dan dirumus secara am. Sudah tentu, tahap tumbesaran anak-anak berbeza antara satu dengan yang lain.

Sistem penglihatan bayi adalah satu perkembangan fizikal dan persepsi yang boleh dipupuk.

Kemahiran mereka untuk memfokus objek, menggerakkan anak mata, dan mengkoordinasikannya dengan anggota badan yang lain memerlukan latihan secara harian.

Semakin terdedah anak anda pada pelbagai wajah dan objek, semakin cepat untuk mereka mengenalpasti dan membezakan pelbagai jenis bentuk dan warna di sekeliling mereka.