Wanita Dera Pembantu Rumah Hingga Lunyai Dengan Lesung Batu Didapati Bersalah
Sungguh kejam membaca nasib yang dialami oleh pembantu rumah ini. Sampai hati majikan ini dera pembantu rumah sendiri dengan sebegitu teruk!
Majikan dera pembantu rumah
Ini bukan kali pertama kita dengar kisah majikan mendera pembantu rumah sendiri.
Entah di mana belas ehsan terhadap manusia lain, hingga ada sesetengah individu sanggup mendera pekerja mereka dengan alasan “mereka hanya pembantu rumah yang bodoh dan wajar dimarah dengan teruk“.
Di Singapura, seorang wanita didapati bersalah atas 12 tuduhan mendera dan memukul pembantu rumah Indonesiannya sejak 5 tahun lalu.
Zariah Mohd Ali, 56 tahun – didapati bersalah dan suaminya, Mohamad Dahlan, mengesahkan kes penderaan domestik yang dilakukan si isteri.
Pembantu rumah didera dengan teruk guna peralatan dalam rumah
Zariah menggunakan pelbagai peralatan rumah seperti tukul, pemotong (chopper), batang buluh dan lesung batu untuk memukul dan mendera pembantu rumah Indonesiannya.
Malah, suami dia juga didapati bersalah apabila memukul kepala pembantu rumah itu, Khanifah dengan periuk memasak di rumah mereka.
Menurut laporan Channel News Asia, Zariah telah memukul belakang kepala dan mulut Khanifah dengan tukul. Malah, dia juga membelasah telinga kiri pembantu rumah malang itu dengan batang buluh.
Khanifah juga dipukul di dahi dan kepala dengan lesung batu, ditikam di bahu dengan gunting, ditoreh dengan pemotong di tangan dan jari kelingkingnya dipatahkan.
Wanita malang itu berasal dari Indonesia dan datang ke Singapura buat pertama kali pada penghujung tahun 2011.
Menurut beliau, pada mulanya – keluarga itu melayannya dengan elok. Namun pada akhir bulan Jun 2012, Zariah mula menunjukkan sikap berlainan.
Majikannya itu dilaporkan kerap kali memarahi dan menderanya secara fizikal. Malah, Zariah pernah memukul kepala Khanifah dengan tukul sebanyak 5 kali!
Bagaimana penderaan bermula di rumah itu
Ada satu ketika, Khanifah tengah mencuci tandas sebelum Zariah datang memarahinya kerana tidak mencuci tandas dengan bersih dan terlalu lembab bekerja.
Zariah juga memukul kepala pembantu rumah itu dengan kuat, menggunakan tukul, hingga berdarah.
Sudahlah didera, beliau juga tidak dirawat dan hanya diberi pad untuk memberhentikan pendarahan.
Belum sembuh luka dibelasah dengan tukul itu, Khanifah sekali lagi dipukul pada kejadian yang berbeza pula.
Khanifah menjelaskan Zariah pernah menggunakan tukul untuk memukul mulutnya sebanyak 2 kali. Akibat pukulan itu, mulut Khanifah bengkak, gusinya berdarah dan giginya tercabut.
Malah, Khanifah juga ditikam dengan gunting di bahu sebanyak 5 kali dalam kejadian yang berbeza!
Penderaan yang tiada henti…
Pernah satu ketika, Khanifah sibuk menyiang ikan di dapur. Majikannya itu tiba-tiba datang memarahi dirinya dan mengelar tangan Khanifah dengan pisau pemotong.
Semua kejadian penderaan ini terbongkar apabila Khanifah dihantar pulang ke Indonesia pada bulan Disember tahun lepas.
Ketika itu, lebam di muka dan kepalanya disorok dengan mekap dan Khanifah dipaksa memakai baju tangan panjang, seluar dan tudung sebelum menaiki kapal terbang.
Zariah juga menyuruh Khanifah memakai spek mata untuk menyembunyikan kesan lebam.
Sebelum ini, Khanifah tiada peluang untuk melarikan diri kerana majikannya sering mengunci pintu dan tingkap rumah. Malah, pembantu rumah itu juga “disorok” dalam tandas dapur jika ada tetamu yang datang ke rumah Zariah.
Setibanya di Indonesia, Khanifah yang tidak tahan dengan penderaan tersebut akhirnya membuka mulut.
Penderaan yang sungguh menyeksakan! Semoga keadilan mengheret pesalah ini ke muka keadilan yang sebenar.
Sumber rujukan: Channel News Asia dan The New Paper
Gambar sekadar hiasan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comsuami-cabul-pembantu-dera-isteri-oku/