Didik Anak Tentang Aurat & Rasa Malu Sejak Kecil, Bila Besar Nanti Pandai Jaga Diri
Didik anak tentang batas aurat dan rasa malu dengan cara yang betul. Jika si manja terbiasa sejak kecil, nanti dewasa boleh jaga diri dalam pergaulan mereka
Tugas ibu ayah dalam didik anak dan membesarkan mereka bukanlah sesuatu perkara yang mudah, lebih-lebih lagi gaya keibubapaan kini lebih moden berbanding zaman nenek moyang dahulu.
Dalam aspek pendidikan kepada anak kecil, ia sebenarnya tidak berfokus pada pendedahan pembelajaran dan cara hidup positif sahaja. Anda perlu mendedahkan mereka dengan nilai agama seperti batasan aurat, pergaulan serta adab ketika mandi bersama jantina berlainan.
Ibu ayah perlu didik anak seawal usia, tabiat dari kecil akan dibawa sehingga dewasa
Gaya dan corak keibubapaan yang anda amalkan sejak anak masih kecil amat memberikan impak paling besar dalam kehidupan mereka. Hal ini kerana anak dianggap seperti sehelai kain putih, ibu ayahlah yang mencorakkan keperibadiaannya.
Seperti yang dikongsikan oleh seorang bapa ini, Muhammad Hassan, ibu ayah perlu didik dan memukul anak-anak dari kecil mengikut ajaran Islam agar mereka boleh menjaga tutur kata, batasan aurat dan tidak mandi bersama dalam bilik air berbogel dengan sepupu mereka.
”Secara peribadi saya tidak galakkan anak berusia 4 tahun untuk tidur, mandi bersama sepupu bagi membolehkan mereka memahami batas pergaulan walaupun bukan dalam bentuk arahan dari seorang ayah,” jelas Hassan.
Hal ini kerana anda sendiri boleh melihat apabila menjelang hari raya, ahli keluarga tidak berasa kekok duduk bersama, bersalaman dengan sepupu bahkan mendedahkan aurat tanpa rasa malu. Sedangkan dalam Islam mengatakan bahawa taraf sepupu adalah bukan mahram.
Anak akil baligh, salahkah mereka bergaul berlainan jantina?
Pasti ada segelintir ibu ayah menyoal tindakan berkenaan memandangkan anak-anak belum akil baligh. Meskipun belum mencapai tahap dewasa, ia bukan bermakna bahawa anda perlu membiarkan mereka bergaul sehingga menyentuh bahagian sensitif antara satu sama lain seperti kemaluan ataupun dada.
Tambah Hassan, dalam usia kanak-kanak inilah ibu ayah perlu menekankan kepada mereka bahawa bahagian tubuh tidak boleh ditunjuk, disentuh atau selalu melihat.
”Biasa sangat kita tengok kanak-kanak bergurau ketika mandi dan mereka akan menyentuh bahagian tidak sepatutnya. Sebenarnya, dari sinilah sebenarnya anak kecil mula belajar dan menerokai untuk menyentuh bahagian tubuh orang lain sehingga mereka ingat apa yang pernah dilakukan setelah dewasa,”
”Anda juga mungkin pernah dengar, alah jangan malulah dengan aku. Zaman kanak-kanak kau pun mandi bogel dengan aku dan pernah pegang kemaluan juga,” ujar Hassan.
Justeru, ibu ayah nampak tak kesannya? Anda fikir akan lupa apa yang berlaku pada zaman kanak-kanak. Namun memori otak manusia boleh mengimbau kembali kenangan waktu dulu.
Masa berlalu pantas, anak akan cepat mencapai usia remaja
Pada zaman sekarang, akil baligh boleh terjadi lebih cepat. Ia bermakna kematangan seks sedang berlaku. Rembesan hormon gonadotfrin (GnRH) untuk merangsang kelenjar pituitary dapat melepaskan hormon estrogen bagi perempuan dan testerone bagi lelaki.
Perubahan hormon ini memberi kesan terhadap bentuk badan, pemikiran dan tingkah laku mereka. Sebab itulah remaja 13 tahun boleh hamil dan 15 tahun sudah berbelas kali melakukan seks bebas.
Ia mungkin berpunca oleh sikap ibu ayah yang tidak mendedahkan batas aurat dan pergaulan sejak kecil. Sehinggalah mereka tidak tahu akan perubahan berlaku kepada badan sendiri.
Ajar anak tentang bahagian tubuh yang sensitif
Didik anak mulai hari ini tentang bahagian sensitif seperti zakar, faraj dan kemaluan adalah kawasan yang langsung tidak boleh disentuh atau dipegang oleh sesiapa pun termasuklah adik beradik sendiri.
Bukan itu sahaja, tegur dan pantau mereka agar sentiasa menutup bahagian berkenaan. Dalam erti kata lain jangan ajar mereka berbogel di dalam ataupun luar rumah. Sebolehnya didik mereka dari kecil pakai pampers atau seluar terus ketika masih dalam bilik air setelah mandi atau buang air.
Tindakan ini sekaligus dapat membiasakan diri mereka dengan sifat malu apabila aurat atau bahagian tubuhnya terdedah kepada orang sekeliling.
Bukan itu sahaja, ibu ayah juga perlu menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak. Elakkan mandi bogel bersama mereka atau hanya mengenakan seluar dalam tanpa rasa malu kerana boleh memberikan pengaruh kepada perkembangan si manja.
Sumber: Keluarga
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: