Jangan Buang Masa Tangkap Ular Jika Anak Dipatuk, Ambil Gambar & Bawa Ke Hospital

Kes anak dipatuk ular sangat bahaya yang berupaya meragut nyawa. Bagi ibu ayah, anda tidak boleh panik dan lakukan perkara ini agar rawatan dapat diberikan

Kes dipatuk ular ketika berada dalam rumah bukanlah perkara baru. Sebenarnya, gigitan oleh ular berbisa ini boleh menyebabkan kemasukan bisa yang mengancam nyawa.

Meskipun anda telah mempraktikkan langkah berhati-hati bagi memastikan keselamatan anak-anak di dalam rumah, namun sekiranya patukan ular terjadi, kami menasihatkan ibu ayah agar tidak panik dan lakukan perkara penting ini dahulu.

Anak dipatuk ular ketika tidur di ruang tamu rumah

anak dipatuk ular

credit to sources

Menurut perkongsian seorang petugas perubatan, Kamarul Ariffin, dia telah menerima seorang pesakit kanak-kanak berusia 3 tahun telah dipatuk ular.

Sejurus tiba di unit kecemasan hospital, bapa kanak-kanak malang terbabit telah menghulurkan bag plastik lut sinar yang mengandungi seekor ular sepanjang 4 kaki.

Oleh kerana gerun dan takut, ada petugas perempuan terpekik, melatah dan melarikan diri kerana risau reptilia berkenaan masih hidup.

Setelah plastik berisi ular berkenaan bertukar tangan kepada pihak petugas hospital, keadaan ular berkenaan sudah mati dan bahagian kepalanya sudah hancur ditetak.

”Anak saya macam mana, doktor?” tanya lelaki kepada bapa pesakit yang ketika itu berada di zon merah.

Difahamkan anaknya telah dipatuk ular ketika sedang nyenyak tidur di lantai rumah bersama ibunya pada waktu malam. Mereka hanya sedar apabila kanak-kanak tersebut terjaga dan menangis tanpa henti.

Setelah mengesyaki ada sesuatu tidak kena, mereka kemudiannya melakukan pemeriksaan rapi dan mendapati ada bekas patukan ular di tangan anaknya. Keadaan bertukar panik.

Tindakan sendiri tidak berjaya

tindakan sekiranya dipatuk ular

credit to sources

Si ayah cuba beberapa kali menyedut keluar bisa menggunakan mulut, namun tiada apa yang keluar. Setelah itu dia bingkas bangun dari katil dan mendapatkan tali untuk mengikat lengan anaknya dengan ketat.

Setelah itu, dia terus memeriksa sekitar rumah untuk mencari keberadaan ular berkenaan. Setelah beberapa minit, jumpalah ular tersebut seekor di bahagian dapur.

Si ayah cuba menangkap ular berkenaan. Namun ia bukanlah kerja yang mudah memandangkan reptilia tersebut melawan dan menyelinap di sebalik kabinet dan barangan lain. Akhirnya dia berjaya membunuh ular berkenaan dan mereka segera ke hospital.

Sebaik sahaja tiba di hospital daerah, doktor di sana terus merujuk kanak-kanak tersebut ke hospital pakar menggunakan ambulans. Perjalanan pula mengambil masa 2 hingga 3 jam.

Sementara itu, doktor di hospital berpakar pula sibuk menghubungi Dr.K (nama samaran). Di Malaysia, beliau adalah pakar perunding yang mahir mengenal pasti ular dan cara pengurusan patukan ular.

Nak pilih jenis rawatan yang berkesan, kena tahu ular apa yang patuk mangsa. Seperti kes ini, ularnya ada tetapi agak sukar untuk dikenal pasti memandangkan kepalanya sudah hancur ditetak.

Antara cara mengenal pasti ular adalah melalui bentuk kepala dan warna kulitnya. Kalau kepalanya sudah tiada bentuk, proses pengecaman menjadi sukar.

”Kami sedang kenal pasti ular yang patuk anak encik dan cuba mendapatkan antivenomnya jika perlu,” ujarnya.

Dalam hal ini, tidak semua patukan ular memerlukan antivenom kerana tidak semua ular adalah berbiasa. Antivenom hanya diperlukan untuk merawat ular berbisa dan mestilah berdasarkan spesis ular yang mematuk. Contohnya ular tedung, antivenom lain daripada ular laut.

”Apa masalahnya? Kan saya dah bawa ular tersebut!” tegas si ayah.

Kelat rasa mulut nak beritahu kenapa kami alami sedikit kesukaran untuk kenal pasti ular berkenaan kerana silap cakap nanti mesti dia rasa kami meletakkan kesalahan pada dia.

Segera mengambil gambar ular dan ke hospital

rawatan dipatuk ular

foto: soyacincau

Berita baiknya, kami telah dapat mengenal pasti ular dan ia adalah jenis berbisa serta memerlukan antivenom. Namun urusan mendapatkannya agak lambat kerana pelbagai faktor.

Dalam hal ini, ibu ayah perlu peka dan jika berdepan sesiapa dipatuk oleh haiwan berbisa, usahlah beriya-iya membunuh ular untuk ditunjukkan pada doktor.

Cukup sekadar mengambil gambar berlainan sudut untuk urusan merawat menjadi mudah dan cepat. Anda tidak perlu sedut bisa dengan mulut atau ikat dengan ketat anggota yang dipatuk. Perlu bertenang, kurangkan pergerakan anggota yang dipatuk dan segera ke hospital.

Jika mahu bawa juga ular berkenaan, biarlah orang lain yang uruskan tugas menangkapnya. Paling utama bawa mangsa ke hospital, ular boleh bawa datang kemudian kerana pengecaman dapat dibuat melalui gambar.

Kisah kali ini tidak berakhir dengan gembira. Ada kemudaratan kekal pada mangsa. Kanak-kanak itu alami masalah saraf dan otak. Terlantar dan tidak sedarkan diri. Jari di tangan yang patuk ada mengalami nekrosis (tisu mati).

Sumber: Kamarul Ariffin Nor Sadan

Gambar sekadar hiasan. Kredit foto: sumber

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:

https://my.theasianparent.commimpi-dipatuk-ular

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!