Anak lelaki lebih sensitif, mereka PERLU LEBIH sokongan emosi berbanding anak perempuan
Emosi kanak-kanak lelaki kurang diberi perhatian oleh ibu ayah berbanding kanak-kanak perempuan. Mulai hari ini, mari ubah cara kita menguruskan emosi anak!
Dari segi kematangan, kanak-kanak perempuan lebih cepat matang berbanding lelaki. Tapi, yang mengejutkan, emosi kanak-kanak lelaki lebih sensitif berbanding perempuan!
Dalam masyarakat kita, ibu ayah sering memberi sokongan emosi yang berbeza untuk setiap anak lelaki dan perempuan.
Emosi kanak-kanak lelaki lebih rapuh dan sensitif
Adakah anda tahu tentang satu kajian ini? Ia dipanggil “The Fragile Male” atau juga dikenali sebagai “Lelaki Yang Rapuh”.
Kajian ini disiarkan dalam U.S. National Library of Medicine di mana ia melaporkan minda bayi lelaki lebih rapuh dan lebih dipengaruhi oleh mood dan emosi si ibu.
Sebaik sja dilahirkan, otak bayi lelaki tidak tumbuh sepenuhnya berbanding bayi perempuan yang selalunya tahap perkembangannya lebih “advance” 6 minggu!
Kelebihan pertumbuhan ini memberi bayi perempuan lebih momentum dan terus berkembang dengan lebih cepat.
Bayi lelaki pula sedikit ke belakang, bukan sahaja dari segi fizikal malah dari segi tahap kematangan sosio-emosi.
Perkembangan emosi kanak-kanak lelaki dipengaruhi oleh ibu ayah
Selain faktor biologikal seperti yang disebutkan di atas, cara ibu ayah membesarkan anak lelaki juga mempengaruhi perkembangan emosinya.
Secara am, kita boleh lihat bagaimana ibu ayah cenderung membesarkan anak perempuan dengan lebih lembut dan “manja” berbanding anak lelaki.
Anak lelaki sering diberitahu:
“Orang lelaki kena kuat” “Orang lelaki tak boleh menangis” “Orang lelaki jangan lembik”
Akibatnya? Cara membesarkan anak yang begini akan melahirkan lelaki yang kurang sensitif pada perasaan orang lain.
Dia juga akan membesar menjadi orang dewasa yang tidak tahu menguruskan emosi diri dan hanya memendamkan perasaan.
Sebenarnya, kajian yang dijalankan oleh American Psychological Association telah menunjukkan emosi kanak-kanak lelaki adalah lebih sensitif berbanding kanak-kanak perempuan!
Ini tidak bagus untuk kesihatan emosi anak lelaki!
Mengajar anak lelaki supaya jadi “tough” dan tidak menunjukkan perasaan hanya menyebabkan dia ada sikap maskulin toksik.
Kita cenderung untuk mengikut stereotaip dalam membesarkan anak-anak. Anak perempuan diberikan anak patung supaya dia boleh memupuk sikap sayang dan pandai menjaga.
Anak lelaki pula tidak dipupuk dengan cara itu. Malah, jika anak lelaki kita mula bermain dengan anak patung (walaupun sekali itu saja!), bukan main kecewa atau risau lagi kita.
Sebaliknya, kita mengehadkannya dengan lori, truck, patung askar atau ultraman dan kereta control sahaja.
Malah semasa bayi juga, kita lebih cenderung untuk bercakap-cakap dengan lembut pada bayi perempuan (rujuk kajian di sini). Kita kurang melakukan perkara yang sama dengan bayi lelaki.
Baca artikel berkaitan: Cara buat anak bijak dari segi IQ (intelektual) dan EQ (emosi)
Bagaimana ibu ayah boleh beri lebih sokongan emosi pada anak lelaki?
Dengan memberikan sokongan emosi yang secukupnya pada anak lelaki kita, kita sebenarnya membantu dirinya untuk belajar menguruskan emosi.
Untuk jangka masa panjang, dia akan membesar menjadi orang lelaki dewasa yang tahu untuk mengekspresikan perasaan dan menjadi insan yang lebih stabil dari segi emosi.
Berikut adalah beberapa cara yang anda boleh buat di rumah untuk membantu anak anda belajar menguruskan emosinya.
- Galakkan anak lelaki meluahkan perasaan secara verbal (dorong dia menangis kalau perlu!)
- Memperakui emosi yang sedang dialaminya dan tidak menyuruh anak lelaki menyorok emosi
- Jangan memperkecilkan perasaan anak dengan mengatakan “Eee, tak malu. Dah besar pun nak menangis!”
- Dengar dengan penuh perhatian apabila anak bercerita tentang apa yang dirasa dalam hatinya dan beri reaksi maklum balas yang jelas (mengangguk kepala, berkata “ya”, senyum, dan sebagainya”
- Beri nasihat atau bantuan untuk menyelesaikan masalah emosi yang sedang dialaminya (“Along sedih ya? Adik ambil mainan along? Kita beri adik main 10 minit dahulu ya. Lepas itu, along boleh ambil semula mainan itu.”)
- Banyakkan memeluk dan mencium dahi anak lelaki kita
- Bercakap dengan lembut pada anak lelaki dan bukannya secara kasar
- Pupuk anak kita untuk meluahkan perasaan jika dia mahu, tetapi jangan memaksanya.
Ibu ayah, yang lebih penting, anda sendiri perlu memastikan keadaan emosi anda stabil dan terjaga.
Anak-anak kita membesar dan belajar melalui pemerhatiannya ke atas sikap-sikap yang kita tunjukkan padanya.
Ibu ayah yang gembira lebih mudah untuk menghasilkan anak-anak yang gembira. Begitu jugalah sebaliknya!
Jadi, mari pastikan kita menjaga, bukan sahaja kesihatan fizikal dan minda anak-anak, malah kesejahteraan emosi anak kita, baik emosi kanak-kanak lelaki mahupun perempuan!
Sumber: theAsianparent Singapore
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
Tangani keresahan (anxiety) dan kemarahan anak anda dengan 9 tip ini