Proses Melahirkan Bayi Yang Sudah Tiada, Bagaimana & Masihkah Perlu Berpantang?
Dalam pada akur dan redha, rasa kecewa, sedih, marah dan takut hadir bersilih ganti saat menanti waktu kelahiran bayinya yang telah dijemput ilahi.
Sebaik mendapat berita bayi tidak lagi bernyawa saat telah pun hamil 34 minggu, peritnya untuk ditelan. Hanya Tuhan saja yang tahu bagaimana perasaan ibu waktu itu.
Mengikut pengalaman kakak ipar yang pernah mengalami peristiwa pahit ini 3 tahun yang lepas, dia seakan tidak percaya, dunia seakan terhenti tiba-tiba saat dikhabarkan oleh doktor mengenai berita buruk itu.
Waktu itu dia telah pun hamil 34 minggu, hanya beberapa minggu saja lagi untuk dia berjumpa dengan ahli syurga itu. Namun impiannya tidak kesampaian.
Hari yang sama dia telah pun merancang untuk membeli segala kelengkapan bayi, sebaik selesai pemeriksaan kehamilannya. Malangya kita hanya mampu merancang, kerana Dialah penentu segala.
Melahirkan bayi yang sudah tiada
Dalam pada akur dan redha, rasa kecewa, sedih, marah dan takut hadir bersilih ganti saat menanti waktu kelahiran bayinya yang telah dijemput ilahi.
Bayi yang meninggal dalam kandungan tetap harus dilahirkan, baik secara normal, induksi mahupun pembedahan. Ia perlulah dilakukan dengan secepat mungkin, bimbang jika ditunda sehingga saat ia boleh dilahirkan secara normal, emosi ibu lebih terganggu dan menjejaskan kesihatan ibu akibat jangkitan.
Malah apabila telah hamil 34 minggu, sememangnya bayi boleh dilahirkan secara normal, sama seperti proses bersalin biasa.
Waktu ini, mahu tidak mahu, ibu perlu punyai tenaga untuk meneran setelah di induksi. Sekiranya pangkal rahim masih belum terbuka, doktor akan memberikan ubat ke dalam vagina ibu bagi merangsang pembukaan pangkal rahim. Ibu juga akan diberikan hormon oksitoksin untuk merangsang kontraksi rahim.
Bagi kaedah kelahiran menerusi induksi ini, ia perlu dilakukan dengan teliti bagi mengelak komplikasi rahim yang masih belum bersedia untuk proses kelahiran.
Selepas melakukan induksi doktor akan memeriksa pintu rahim bagi memastikan ia terbuka mengikut tempoh yang sepatutnya. Ada individu mengambil masa beberapa jam malah ada sehingga 24 jam. Sekiranya selepas induksi rahim masih berada dalam keadaan sama ia boleh mengakibatkan rahim koyak dan memudaratkan ibu.
Dalam beberapa kes, ibu mungkin akan disarankan untuk mengeluarkan bayi yang sudah tiada melalui operasi caesar. Ini mungkin berlaku sekiranya keadaan bayi di dalam perut adalah songsang, posisi uri yang merbahaya untuk bersalin normal ataupun bayi terlalu besar. Ia bertujuan bagi mengelakkan komplikasi sekiranya bersalin normal, kesan sampingan yang mungkin berlaku adalah pendarahan yang banyak.
Selain bersalin normal dan pembedahan caesar, proses pengeluaran bayi lahir mati juga dapat dilakukan dengan cara Dilation and Curettage (D&C). Ini dilakukan sekiranya kehamilan ibu masih dalam trimester kedua. Prosedur ini memiliki komplikasi yang lebih sedikit dibandingkan dengan prosedur induksi supaya dapat melahirkan normal.
Apakah proses melahirkan bayi lahir mati tetap sakit?
Prosedur melahirkan bayi lahir mati tidak jauh bezanya dengan prosedur melahirkan bayi yang masih hidup. Setelah ibu melahirkan bayi dengan prosedur melahirkan normal, anda masih akan mengalami kontraksi dengan tingkat sakit yang sama. Anda juga akan merasakan sakit yang sama pada tubuh. Pendarahan pada vagina, cramp rahim, dan nyeri perineum juga mungkin akan dirasakan setelah bersalin.
Untuk menghilangkan rasa sakit, seperti bersalin normal atau caesar doktor mungkin akan memberikan ubat. Anda memiliki pilihan yang lebih banyak untuk dapat menghilangkan rasa sakit setelah melahirkan, ini karena anda tidak perlu risau akan risiko terhadap bayi.
Adakah ibu mengalami lahir mati ini perlu berpantang?
Memandangkan proses melahirkan bayi hidup atau mati tiada bezanya, lantas proses penjagaan selepas bersalin pada si ibu tetap sama. Perlulah menjaga kesihatan diri dengan baik, elakkan luka perineum atau luka caesar dijangkiti agar anda tidak demam ketika berpantang.
Cumanya pantang dari segi pemakanan mungkin sedikit longgar memandangkan anda tidak perlu menyusu bayi. Dan perlu diingat anda tetap akan menghasilkan susu walaupun tiada bayi. Jadi, perlulah mengambil ubat untuk menghentikan susu. Namun jika berminat untuk menderma susu, anda bolehlah pam dan menghasilkan stok, ikut yang mana anda selesa.
Walau bagaimanapun penjagaan mental dan fizikal ibu pada waktu ini amatlah penting, jadi sekiranya anda inginkan teman untuk berbicara atau meminta pertolongan sentiasalah bercakap dengan pasangan atau keluarga terdekat serta rakan-rakan. Tiada ibu yang patut melalui proses ini keseorangan.
Sumber:
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
Kelahiran Mati: Bagaimana Untuk Menghadapinya & Perlukah Diceritakan Kepada Rakan-Rakan