Hidung Berdarah Pada Anak: Punca Ia Berlaku & Cara Berkesan Bagi Mengatasinya

Hidung berdarah boleh terjadi pada kanak-kanak atau orang dewasa. Ia berpunca kapilari di rongga hidung retak dan menyebabkan darah keluar

Bila melihat hidung berdarah pada anak, rata-rata ibu ayah pastinya berasa amat risau. Tambahan pula jika ia kali pertama berlaku. Mulalah datang fikiran negatif dan bimbang adakah ia petanda penyakit bahaya, kan?

Tidak dinafikan bahawa anak yang aktif bermain, terdedah dengan cuaca panas cenderung mengalami masalah darah hidung ini.

Punca hidung berdarah pada kanak-kanak

Hidung darah yang berlaku secara tiba-tiba boleh mengundang panik dan mencemaskan pada ibu ayah. Apatah lagi ia keluar dengan begitu banyak.

Pakar Kanak-Kanak Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr Fadzlina Abd Aziz menjelaskan darah hidung merupakan keadaan biasa yang boleh berlaku pada anak yang berusia 3 hingga 10 tahun.

#1. Suka korek hidung

Ketika usia ini, kebanyakan kanak-kanak gemar mengorek hidung mereka. Rembesan hidung yang terdedah dengan udara kering akan menjadi keras dan membentuk kerak.

Kerak ini membuatkan si manja berasa tidak selesa, seterusnya mendorong mereka cuba mengoreknya menggunakan jari. Tabiat sebegini boleh menyebabkan kecederaan pada salur darah dalam hidung sehingga luka serta berlaku pendarahan.

#2. Menghembus hidung terlalu kuat

Trauma boleh berlaku apabila anak menghembus hidung dengan terlalu kuat atau memicit hidung mereka. Tindakan ini secara tidak langsung boleh menyebabkan kecederaan dalam hidung.

#3. Alahan, demam selesema atau jangkitan sinus yang teruk

Masalah ini boleh menyebabkan hidung menjadi tersumbat dan merengsa. Akibatnya, si kecil anda akan cuba menghembuskan hidung dengan terlalu kuat hingga menjadi penyebab hidung berdarah.

#4. Cuaca yang terlalu panas atau sejuk

Punca hidung berdarah yang seterusnya adalah disebabkan oleh perubahan cuaca yang panas ataupun sejuk. 

Kedua-dua cuaca ini boleh boleh merengsa dan mengeringkan saluran membran hidung hingga menyebabkan kegatalan serta pendarahan. Bukan itu sahaja, si manja anda juga akan rasa pedih apabila bernafas dalam cuaca sejuk seperti di dalam bilik berhawa dingin atau berada di negara 4 musim.

Selain itu beberapa sebab hidung berdarah yang lain adalah:

  • Kapilari rongga hidung patah.
  • Cuaca yang terlampau sejuk dan kering.
  • Badan kurang Vitamin C
  • Disebabkan berlakunya kemalangan.
  • Kelainan badan

Walau bagaimanapun, jika ibu merasakan sesuatu yang tidak kena pada anak, sebaiknya anda mendapat rawatan di klinik mahupun hospital dengan kadar segera.

Penyebab hidung berdarah setiap hari

Hidung kerap berdarah pada kanak-kanak boleh membuatkan ibu ayah risau. Namun biasanya ada beberapa penyebab hidung berdarah setiap hari. Antaranya:

  1. Alahan seperti rinitis atau kutu habuk
  2. Jangkitan pada hidung, tekak atau sinus
  3. Salur darah dalam hidung yang sangat sensitif. Cuaca yang panas serta kering boleh menyebabkannya pecah dan berdarah
  4. Selesema atau demam
  5. Hidung terhantuk atau trauma
  6. Kehadiran benda asing dalam hidung. Misalnya anak kecil anda memasukkan sesuatu dalam hidung mereka
  7. Penggunaan sesetengah jenis ubat seperti anti keradangan atau semburan hidung

Gejala darah hidung yang perlu dilihat oleh doktor

hidung berdarah

Prof Dr. Darin Sosotthikun dari Jabatan Perhubungan Awam Persatuan Hematologi Thailand mengatakan jika anak mengalami gejala hidung darah seperti di bawah ini, ibu ayah perlu membawanya segera ke hospital:

  • Hidung berdarah disusuli dengan simptom lain seperti bintik-bintik merah dan sebagainya.
  • Lidah dan gusi turut berdarah.
  • Keluar najis berdarah.
  • Kanak-kanak mengalami demam yang tinggi
  • Kanak-kanak mengalami simptom pening, keletihan, kelemahan dan kulit yang pucat.

Penyebab hidung berdarah setiap hari yang berpunca dari penyakit keturunan

Bagi anda yang tidak tahu, penyebab hidung berdarah juga disebabkan oleh penyakit keturunan iaitu hemofilia. Ia merupakan penyakit yang diwarisi sejak lahir dan berpunca akibat kekurangan faktor pembekuan darah.

Kesannya, darah dalam tubuh pesakit sangat cair dan membuatkan mereka mudah mengeluarkan darah jika terluka atau bukaan kulit berlaku.

Hidung kerap berdarah boleh menjadi petanda penyakit bahaya lain

gejala hidung berdarah

  • Penyakit genetik yang menyebabkan platelet berfungsi tidak normal kerana ada sejarah keluarga yang pernah mengalaminya.
  • Penyakit disebabkan platelet darah rendah seperti platelet dari sistem imun. Ini menyebabkan  tubuh tidak boleh mencipta semua jenis sel darah dengan cukup hingga menyebabkan anemia. Oleh sebab itu anak mudah alami jangkitan.
  • Keadaan yang lebih teruk apabila anak mengalami leukemia dengan sel leukemia yang menembusi sumsum tulang lantas menyebabkan sel darah normal menurun.
  • Apabila keadaan ini berlanjutan, anak boleh menjadi pucat kerana kehilangan darah yang kronik dan kekurangan zat besi. Oleh sebab itu, ibu bapa harus sentiasa berjaga-jaga dengan gejala ini jika anak mengalami pening, pengsan dan mudah letih.

Jika anak mempunyai simptom hidung kerap berdarah seperti di atas, segera dapatkan rawatan di hospital berdekatan

Rawatan untuk pendarahan hidung

Sekiranya ibu ayah berdepan anak dengan masalah ini, ada beberapa cara rawatan untuk pendarahan hidung yang boleh dilakukan.

Antaranya:

  • Minta anak bertenang. Duduk dengan tegak sambil kepalanya diundukkan sedikit. Kemudian suruh mereka bernafas melalui mulut secara perlahan-lahan. 
  • Picit bawah tulang hidung dengan lembut menggunakan ibu jari dan jari telunjuk sekurang-kurangnya 5 hingga 10 minit sehingga pendarahan berhenti. Sekiranya hidung darah masih terjadi, teruskan picit hingga 10 minit lagi.
  • Ibu ayah juga boleh meletakkan ketulan ais atau pek sejuk di atas tulang hidung anak.
  • Minta anak ludah atau keluarkan darah dari mulut dengan perlahan. Lepaskan picitan selepas 10 minit dan lihat sama ada pendarahan hidung sudah berhenti ataupun tidak.

Perkara yang perlu dielakkan ketika anak darah hidung

  • Jangan mendongak atau baringkan si manja kerana ia boleh membuatkan darah masuk ke bahagian belakang tekak
  • Jangan asyik memeriksa sama ada pendarahan sudah berhenti dengan mengalihkan jari. Untuk menghentikan pendarahan, darah perlu menjadi beku dan ia mengambil sedikit masa. Alih perhatian anak dengan menyuruhnya membaca atau menonton televisyen.
  • Apabila pendarahan berhenti, pastikan anak tidak cuba mengorek atau menghembus nafas dengan kuat (untuk mengeluarkan sisa darah) dalam tempoh 24 jam. Malah dalam tempoh itu anak anda perlu berehat dan tidak sepatutnya berlari ke sana sini atau terbabit dalam permainan lasak untuk mengelak pendarahan berulang.

Masalah pendarahan hidung: bila ibu ayah perlu bawa anak ke hospital?

Jika kerap hidung berdarah, ibu ayah tidak boleh terus bersangka baik kerana ia mungkin petanda adanya penyakit lain pada tubuh mereka. 

Namun jangan berlengah untuk ke klinik atau hospital yang berdekatan sekiranya:

  • Anak memasukkan bendasing dalam hidung mereka
  • Hidung anak mudah lebam
  • Pendarahan yang banyak disebabkan oleh luka kecil atau dari bahagian lain seperti gusi
  • Anak menunjukkan lemah atau pening
  • Pendarahan hidung terjadi akibat terjatuh atau kecederaan kepala
  • Darah keluar secara berterusan meskipun sudah dua percubaan picitan hidung dibuat

hidung berdarah

Langkah pencegahan daripada berlakunya pendarahan hidung

  1. Sentiasa memeriksa dan memotong kuku anak. Kuku yang panjang boleh menyebabkan kecederaan apabila mereka mengorek hidung dengan kerap
  2. Beri anak anda minum air putih bagi memastikan badan sentiasa sejuk dan tidak terhidrat.
  3. Ibu ayah harus perhatikan tingkah anak yang mengalami masalah hingus yang keras dan melekat pada membran mukosa sebenarnya boleh menyebabkan luka bila hidung dikorek. Perkara ini kerap berlaku kepada kanak-kanak.
  4. Pasang penghawa dingin dengan suhu bersesuaian jika udara di rumah anda kering
  5. Jangan tekap kepala anak menggunakan ais kerana ia boleh menyebabkan mereka berasa pening kepala
  6. Kekalkan kelembapan hidung si manja dengan semburan atau gel ‘saline nasal’
  7. Jangan menyumbat hidung dengan kapas kerana ia boleh membuatkan keadaan semakin serius
  8. Elakkan pengambilan makanan yang mempunyai unsur panas dan sejuk pada badan
  9. Beri anak makan buah-buahan dan sayuran yang mengandungi Vitamin C supaya kapilari hidung menjadi lebih kuat

Selalu masalah darah hidung dalam kalangan kanak-kanak boleh dihentikan dengan segera. Namun ibu ayah hendaklah mengetahui cara terbaik bagi mengatasinya.

Semoga perkongsian ini membantu.

 

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:  7 Perbezaan Perkembangan Kanak-Kanak Lelaki & Perempuan Ketika Membesar, #3 Ibu Tidak Perlu Risau

Baca juga: 7 Jenis Penyakit Keturunan Yang Diwarisi Anak Daripada Ayah, #5 Paling Kena Jaga-Jaga!

Baca juga: Bayi Makan Comot & Berterabur Tanda Dia Belajar, Ibu Patut Tahu Manfaat Messy Eating Buat Si Manja!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!