Ini Hukum Isteri Merajuk Lebih 3 Hari, Tapi Suami Kena Pandai Pujuk Juga Ya!
Wanita memang tak dapat lari dengan sikap merajuk namun suami perlu pandai pujuk supaya hati isteri kembali sejuk
Semua wanita terutamanya yang sudah berumah tangga, anda wajib tahu apakah hukum isteri merajuk dengan suami yang tidak boleh dibuat main kerana anda perlu taat kepada suami sebab syurga isteri terletak di bawah telapak kakinya.
Bahkan, meninggi suara juga sudah dikira derhaka, apatah lagi dengan merajuk jika lebih dari tiga hari.
Hal ini kerana, wanita memang cenderung dengan sikap merajuk ini. Bayangkan, suami terlupa ucap selamat ulang tahun kelahiran pun anda merajuk. Itu belum lagi kalau suami pulang lambat kerja, bukan setakat merajuk tarik muka masam sepanjang malam!
Malah, ada juga di kalangan isteri ini merasakan perlakuan suami setiap hari sentiasa menyakitkan hati walaupun puncanya tidaklah sebesar mana misalnya tersilap beli barang dapur sampai isteri merajuk tak nak masak!
Namun begitu, kita faham wanita ini dilahirkan dengan hati yang mudah merajuk atau terasa hati, jadi kalau orang yang paling rapat dengannya melukakan hati sedikit sebanyak ia bisa menganggu hati kecil mereka.
Merajuk bukan nak minta sesuatu pun…
Isteri memang kuat merajuk, tapi dalam merajuk itu dia sememangnya reda dengan hatinya. Tapi yang dia perlukan hanyalah suami memujuk, membelai dan memanjakannya dengan sepenuh kasih sayang.
Namun punca yang menyebabkannya rajuk panjang adalah bila suami buat-buat tak faham sampai menimbulkan konflik pula dalam rumah tangga.
Bahkan semasa dia merajuk pun, bukan dia minta intan emas dan permata, tapi cuma perhatian lebih dari suami tercinta.
Jadi kalau isteri merajuk cubalah pujuk macam cium pipi ke, peluk belakang badan dia ke, buat lawak sampai dia gelak ke atau apa-apa saja yang boleh buat isteri senyum semula.
Hukum isteri merajuk dengan suami lebih 3 hari
Abu Hurairah RA berkata Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak halal seorang muslim memutuskan hubungan dengan saudaranya sesama muslim lebih dari tiga hari, barang siapa memutuskan lebih dari tiga hari dan meninggal maka ia masuk neraka. HR Abu Dawud.
Atas sebab itulah, kalau merajuk isteri kena cepat-cepat sedar diri kerana setiap manusia itu bukanlah bersifat maksum dan tidak lari daripada melakukan dosa.
Malah, suami kita juga adalah insan biasa dan kadang-kadang mungkin ada melakukan dosa yang tanpa dia sendiri sedari. Jadi isteri jangan terlalu ambil hati dan tidak merajuk terlalu lama.
Ingatlah pasangan kita itu adalah hadiah terbaik pemberian Allah SWT untuk kita sampai bila-bila.
Tempoh bertenang selama tiga hari
Sebenarnya tempoh tiga hari yang diberikan itu adalah untuk bertenang antara suami dan isteri. Sementara suami pula jangan terlalu memaksa isteri untuk tidak merajuk terlalu lama tapi beri dia sedikit masa untuk kembali pulih sebab orang perempuan memang macam itu, kalau marah memang lambat nak sembuh.
Jadi suami perlu bagi ruang pada isteri untuk dia pulih sendiri sebabnya mereka akan lupa yang dirinya sedang merajuk bila sibuk dengan urusan dan hal rumah. Tapi semestinya isteri yang baik dan taat pada suami tidak akan memanjangkan cerita atau tidak merajuk terlalu lama.
Tapi Menurut Ustaz Kazim Elias, kalau cara memujuk tak jalan ada banyak cara lagi yang suami boleh cuba seperti masakkan kegemaran isteri, bawa dia pergi bercuti, menyediakan segala keperluan isteri dan yang paling penting tidak lupa memberi isteri nafkah setiap bulan.
*****
Kesimpulannya, kalau rasa nak merajuk dengan suami disebabkan hal kecil dan remeh lebih baik dilupakan bahkan ia tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada kedua-dua belah pihak.
Sementara suami pula kalau nampak isteri merajuk cepat-cepatlah pujuk dengan pelbagai taktik yang mungkin boleh redakan kembali hati isteri yang tengah panas itu. Semoga perkongsian ini bermanfaat.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Sumber: Pesona Pengantin
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga
Selalu Bergaduh Dengan Pasangan? Cuba 2 Cara Ini Untuk Rumah Tangga Bahagia