Sebelum Sanggup Menderma Atau Menjadi Ibu Susuan, Teliti Dahulu Perkara Penting Ini Ya, Ibu-ibu!

Menjadi ibu susuan adalah perbuatan yang dilakukan oleh seorang wanita untuk memasukkan susu ke dalam perut seorang bayi dan ianya HARUS.

Ibu susuan adalah apabila seseorang wanita itu mengambil anak angkat pada usia bayi ataupun kurang dua tahun. Naluri keibuan lazimnya akan menarik seseorang wanita untuk menjadikan anak jagaannya sepertimana anaknya sendiri.

Justeru itu, satu-satu jalan yang dibenarkan oleh syarak adalah dengan menjadikan anak jagaan tersebut sebagai anak susuan dan wanita berkenaan secara automatik menjadi ibu susuan.

Ini juga kerana sebahagian wanita yang dikurniakan lebihan rezeki susu badan pastinya mendorong anda untuk menjadi ibu susuan kepada bayi lain.

Walau bagaimanapun, sebelum bertindak melakukannya anda dinasihatkan untuk mempertimbangkan beberapa perkara terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang masalah kemudian hari.

Menjadi Ibu Susuan: Ini Yang Anda Perlu Tahu

ibu susuan

Tidak dinafikan bahawa menderma susu badan berlaku dalam kalangan masyarakat bagi memberikan manfaat kepada bayi-bayi yang memerlukan, misalnya bayi lahir dengan berat badan kurang.

Hukum seorang perempuan menyusukan bayi yang bukan anaknya adalah HARUS jika mengikut syarak. Ini kerana, perbuatan tersebut telahpun diamalkan sebelum dan juga selepas kedatangan agama Islam, dan Islam turut memperakuinya bahkan hukum ibu susuan adalah Islam tidak MENGHARAMKANNYA.

Terdapat kebaikan ketika seseorang wanita menyusukan anak yang bukan anaknya. Sebagai contoh, ibu meninggal dunia dan tidak sempat menyusukan anak, keadaan ini memerlukan wanita lain untuk menyusukan anak tersebut bagi memastikan anak tersebut meneruskan kehidupannya.

Namun, perlu diingati juga bahawa terdapat beberapa kesan daripada penyusuan terhadap hubungan kekeluargaan. Ini kerana apabila seseorang perempuan menyusukan seorang anak yang bukan anaknya, anak itu akan menjadi anak susuaannya dan suami wanita tersebut juga akan menjadi bapa susuan kepada anak itu.

Justeru itu, anak yang disusukan itu HARAM berkahwin dengan ibu susuannya dan haram berkahwin dengan beberapa golongan daripada keturunan ibu susuannya itu. Golongan yang dimaksudkan adalah seperti:

  1. Adik-beradik perempuan ibu susuan kerana mereka adalah ibu saudara susuan.
  2. Anak perempuan ibu susuan kerana mereka adalah adik-beradik susuan.
  3. Cucu perempuan kepada ibu susuan (anak perempuan kepada anak lelaki ibu susuan, atau anak perempuan kepada anak perempuan ibu susuan) kerana mereka adalah anak perempuan adik- beradik lelaki susuan atau anak perempuan adik-beradik perempuan susuan.
  4. Ibu kepada ibu susuan (nenek susuan).

Ia diikuti juga dengan beberapa keturunan dari sebelah bapa susuan yang haram untuk dikahwini, sama seperti golongan keturunan ibu susuan. Golongan yang dimaksudkan adalah seperti:

  1. Adik-beradik perempuan bapa susuan kerana    mereka adalah ibu saudara susuan.
  2. Anak perempuan bapa susuan walaupun dengan isteri yang lain kerana mereka adalah adik-beradik perempuan susuan.
  3. Cucu perempuan kepada bapa susuan (anak perempuan kepada anak lelaki bapa susuan atau anak perempuan kepada anak perempuan bapa susuan) kerana mereka adalah anak perempuan adik-beradik lelaki susuan atau anak perempuan adik-beradik perempuan susuan.
  4. Ibu kepada bapa susuan (nenek susuan).

Maksud mahram serta pengharaman tersebut adalah berpandukan daripada al-Quran dan hadis sebagaimana Allah SWT telah berfirman dalam Surah an-Nisa’, ayat 23:

                                       وَأُمَّهَٰتُكُمُ ٱلَّٰتِى أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَٰتُكُم مِّنَ ٱلرَّضَٰعَةِ

Ia membawa maksud: Dan (diharamkan juga kamu mengahwini) ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu.

Rasulullah SAW juga telah bersabda:

  إِنَّ الرَّضَاعَةَ تُحَرِّمُ مَا يَحْرُمُ مِنَ الْوِلاَدَةِ

Ia membawa maksud: Penyusuan mengharamkan apa yang diharamkan disebabkan kelahiran (keturunan). (Hadis Riwayat Muslim & Bukhari)

Kesimpulannya, kedudukan ibu kepada ibu susuan adalah nenek susuan kepada anak susuan. Oleh itu, ia merupakan mahram kepada anak susuan sepertimana yang kami telah jelaskan di atas.

Panduan Menjadi Ibu Susuan Atau Menderma Susu Badan

ibu susuan

Menurut data World Health Organization (WHO), terdapat lebih 20 juta bayi dilahirkan dengan berat badan kurang dari 2.5 setiap tahun. Sebanyak 96% bayi adalah dari negara-negara maju.

Kelahiran ini membuatkan bayi lebih berisiko mengalami kematian mendadak, gangguan perkembangan serta dijangkiti penyakit.

Untuk menanganinya, WHO telah mencadangkan pemberian susu badan kepada bayi sama ada dari ibu kandung atau penderma. Pilihan terakhirnya barulah pemberian susu formula. Bagi membolehkan anda menjadi penderma, anda perlulah memenuhi beberapa syarat ibu susuan dari segi kesihatan iaitu:

#1. Anda Perlu:

  • Bersedia menjalani ujian darah bagi mengetahui keadaan kesihatan.
  • Memiliki tahap kesihatan yang baik.
  • Tidak mengambil sebarang suplemen herba atau ubat-ubatan yang boleh mendatangkan kesan sampingan terhadap bayi.

#2. Anda Dilarang Jika:

  • Disahkan positif HIV, HTLV (human T-lumphotropic virus), sifilis, hepatitis B atau C berdasarkan hasil ujian darah.
  • Merokok atau mengambil produk tembakau.
  • Memiliki pasangan berisiko dijangkiti HIV, HTLV, sifilis, hepatitis B atau C.
  • Mengambil minuman beralkohol 60 ml atau lebih sehari.
  • Terlibat dalam pemindahan darah dalam 6 bulan terakhir.
  • Menjalani pemindahan organ atau tisu.

Perkara Yang Perlu Dipertimbangkan Sebelum Menderma Susu Badan Kepada Bayi Lain

ibu susuan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia memutuskan bahawa bagi memenuhi keperluan bayi pramatang yang memerlukan rawatan, ibu mengalami masalah kekurangan susu atau menghidap penyakit kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan anak, adalah HARUS bagi anda menderma susu badan.

Ia perlu dilakukan secara sukarela kepada bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta penderma hendaklah mengenali antara satu sama lain.

Bagi wanita yang mencari ibu susuan, ada beberapa perkara perlu diberikan perhatian iaitu:

#1. Pertimbangkan Risiko Kesihatan

Meskipun dapat membantu memenuhi keperluan bayi, amalan menderma susu ini turut memiliki risiko terhadap kesihatan penerima bergantung pada siapa penderma dan bagaimana cara ia dilakukan.

Sebagai contoh, bayi yang memperoleh susu dari ibu susuan berisiko terhadap penularan penyakit seperti HIV atau terdedah bahan kimia dari pengambilan ubat oleh ibu penderma.

Seperti anda ketahui, bekalan susu badan yang tidak disimpan dengan betul boleh tercemar dan tidak selamat diminum oleh bayi. Justeru, pastikan susu yang diperoleh disimpan dengan baik dan perhatikan terlebih dahulu sekiranya terdapat tanda-tanda ia telah basi.

#2. Memastikan Penderma Susu Telah Menjalani ujian kesihatan

Apabila anda memutuskan untuk memberikan susu badan dari penderma kepada si manja, pastikan ibu penderma telah melakukan pemeriksaan kesihatan bagi mengelakkan sebarang masalah pada kemudian hari.

Syarat Menjadi Anak Susuan

Menurut pensyarah dalam bidang Sains Politik Islam, Masturah Abu Bakar, telah berkongsi isu berkaitan hukum anak susuan mengikut penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan iaitu:

  1. Usia bayi hendaklah belum mencapai dua tahun. Sekiranya sudah mencapai dua tahun, ia tidak dikira sebagai anak susuan.
  2. Kanak-kanak disusu kenyang sebanyak lima kali secara berasingan. Sesuatu penyusuan dianggap berasingan atau tidak berdasarkan pandangan umum. Sekiranya anak berhenti menyusu kerana sudah kenyang, ia dianggap sebagai sekali susu. Namun jika bayi berhenti menyusu kerana ingin bermain-main seketika dan kemudian menyusu semula atau bertukar payudara, maka ia juga dianggap sekali susu sahaja.

Dalam hal ini, ia dikira sebagai satu susuan apabila bayi tersebut menyusu dan kemudiannya melepaskan dari susuan atas pilihannya sendiri (kerana sudah kenyang) tanpa ada gangguan yang mendatang.

Sekiranya susu diperoleh dari ibu susuan tanpa keperluan mendesak, ulama’ fiqh mengatakan ia adalah Makruh menyusukan kanak-kanak yang bukan anaknya sendiri kerana ia boleh memberikan kemudaratan terhadap nasab atau keturunan.

Kebaikan Menjadi Ibu Susuan

Untuk pengetahuan anda, Kewujudan kumpulan wanita yang menyokong dan memberi galakan kepada ibu menyusukan bayi secara eksklusif membantu mereka lebih baik melaksanakan tanggungjawab itu.

Ini kerana, seseorang ibu itu pastilah akan sedih sekiranya tidak mampu untuk membeirikan susu badan dan akan berusaha memberi alternatif lain seperti susu formula yang dijual di pasaran.

Oleh itu, kewujudan kumpulan kecil yang ditubuhkan atas inisiatif untuk membantu wanita seperti ini memberi banyak manfaat kepada ibu dan bayi yang memerlukan susu.

Risiko Yang Perlu Diketahui

Setiap perkara akan ada risikonya, bukan?

Meskipun boleh membawa manfaat, amalan menderma susu ibu juga boleh meningkatkan risiko penyakit atau keadaan tertentu, seperti pendedahan kepada penyakit berjangkit atau pencemaran bahan kimia daripada ubat-ubatan yang diambil oleh ibu penderma.

Selain itu, susu ibu yang tidak disimpan dengan baik juga boleh dicemari kuman sehingga tidak selamat untuk diminum oleh bayi. Oleh itu, pastikan susu ibu yang disumbangkan kepada bayi disimpan dengan baik terlebih dahulu.

Kemudian, apabila anda akan memberikannya kepada bayi, perhatikan juga sama ada terdapat tanda susu ibu basi atau tidak sesuai untuk diminum.

Penderma susu ibu benar-benar boleh membantu bayi yang tidak mendapat susu yang mencukupi daripada ibu mereka. Khasiat susu ibu daripada penderma adalah sama seperti susu ibu daripada ibu kandung.

Walaupun begitu, perhatikan betul-betul syarat-syaratnya, supaya susu yang diberikan kepada bayi tetap selamat. Jika anda ingin menjadi penderma atau penerima susu ibu tetapi masih tidak pasti, rujuk doktor terlebih dahulu ya!

Semoga bermanfaat.

muftiterengganu. Status Ibu Susuan.

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Milk Booster Terbaik & Semula Jadi, 7 Jenis Sayuran Ini BERKESAN Banyakkan Susu Badan!

Baca juga: Susu Ibu Adalah Suci & Tidak Boleh Buang Merata, Ini Hukum Buang Susu Badan Ibu Kena Tahu!

Baca juga: Ambil Susu & Baring, Ibu Hebat Ini Berjaya Melatih Bayi Kembar Tiga Behave Ketika Menyusu

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!