Penyakit Biasa Dalam Kalangan Kanak-Kanak & Vaksinasi-Vaksinasi Penting Untuk Melindungi Daripadanya

Pentingnya anak kecil untuk mendapatkan vaksin lengkap mengikut jadual tumbesarannya kerana ia bagus untuk meningkatkan imun sistem tubuh.

Vaksin adalah bentuk virus atau bakteria yang dilemahkan atau dimatikan yang diberikan terutamanya untuk membantu melindungi daripada penyakit. Vaksin merangsang respons imun untuk membantu mengenali dan melawan organisma penyebab penyakit. Apabila kanak-kanak terdedah kepada penyakit dalam bentuk vaksin, sistem imun mereka dapat membina antibodi yang boleh membantu melindungi mereka daripada dijangkiti penyakit sekiranya mereka terdedah kepada penyakit sebenar1.

Vaksinasi bukan sahaja boleh melindungi anak anda daripada penyakit berbahaya yang mengancam nyawa tetapi ia juga dapat membantu melindungi kanak-kanak dengan mengurangkan atau menghapuskan penyakit bahaya yang bersebar dari satu kanak ke kanak lain1

Dalam edisi ini, theAsianparent Malaysia telah berbicara bersama Datuk Dr Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar, Pakar Pediatrik Am dan Pakar Neonatal di sebuah hospital swasta di Malaysia, tentang kepentingan vaksinasi kanak-kanak dan penyakit yang dapat dicegah melalui vaksin. 

Menurut Dr Iqbal, vaksin telah lama memainkan peranan melindungi masyarakat dari ancaman penyakit berjangkit sehingga ramai golongan muda dan ibu bapa pada masa ini tidak menyedari kemusnahan yang pernah berlaku disebabkan oleh penyakit berjangkit di seluruh dunia. Ini kerana kebanyakan penyakit yang pernah mengorbankan begitu banyak nyawa sangat jarang berlaku atau tidak lagi wujud di sekeliling kita hari ini.

Program Imunisasi Kebangsaan

Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) di Malaysia direka berdasarkan Program Perluasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) (EPI) yang mengesyorkan semua negara memberikan imunisasi terhadap 6 penyakit kanak-kanak. Walau bagaimanapun, NIP di negara ini telah berkembang dan pada masa ini melindungi kanak-kanak Malaysia daripada 13 penyakit utama kanak-kanak2.

Penyakit Biasa Dalam Kalangan Kanak-Kanak & Vaksinasi-Vaksinasi Penting Untuk Melindungi Daripadanya

Imej diadaptasi daripada Immunise4Life

Dr Iqbal menjelaskan bahawa pada tahun 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia memperkenalkan vaksin 6-dalam-1 atau heksavalen bagi menggantikan vaksin 5-dalam-1 atau pentavalen yang digunakan sebelum ini. Vaksin 5-dalam-1 (DTaP-IPV/Hib) memberikan perlindungan terhadap difteria, tetanus, batuk kokol, polio dan Haemophilus Influenzae jenis D dan diberikan dalam 3 dos primer pada umur 2 bulan, 3 bulan dan 5 bulan, diikuti dengan dos penggalak pada umur 18 bulan. Kini, vaksin 6-dalam-1 (DTaP-IPV-HepB-Hib) juga akan memberikan perlindungan terhadap Hepatitis B, sebagai tambahan kepada 5 penyakit lain yang telah disebutkan.

Vaksin Tambahan yang Disyorkan untuk Kanak-kanak

Menurut Dr Iqbal, terdapat vaksin untuk penyakit biasa kanak-kanak lain yang juga penting, tetapi tidak termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP) kerana pertimbangan kos. Walau bagaimanapun, vaksin ini boleh dibeli di hospital dan klinik swasta di seluruh Malaysia3.

Penyakit Biasa Dalam Kalangan Kanak-Kanak & Vaksinasi-Vaksinasi Penting Untuk Melindungi Daripadanya

Imej diadaptasi daripada Immunise4Life

Cacar Air

Penyakit Biasa Dalam Kalangan Kanak-Kanak & Vaksinasi-Vaksinasi Penting Untuk Melindungi Daripadanya

Imej untuk tujuan ilustrasi sahaja

Cacar air adalah jangkitan virus yang sangat mudah berjangkit yang menyebabkan demam dan ruam gatal dengan bintik-bintik di seluruh badan. Ia disebabkan oleh virus Varicella-Zoster4. Menurut Dr Iqbal, kanak-kanak yang dijangkiti cacar air boleh mengalami sebanyak 500 ruam melepuh. Ruam ini menyebabkan rasa gatal dan tidak selesa yang amat teruk. Simptom lain jangkitan cacar air termasuk demam, sakit kepala dan rasa lesu yang berlarutan antara 5 hingga 7 hari.

Dr Iqbal menegaskan bahawa persepsi menganggap penyakit cacar air hanya merupakan penyakit ringan harus diubah dan dibuang daripada pemikiran ibu bapa dan penjaga kerana walaupun kes jangkitan cacar air jarang membawa maut atau memerlukan rawatan perubatan yang serius, penyakit ini masih mempunyai risiko komplikasi. Tidak ada sesiapa yang dapat meramalkan sekiranya anak anda akan mendapat simptom ringan atau kesan jangkitan yang teruk akibat cacar air.

Bertentangan dengan persepsi yang biasa, cacar air boleh menjadi penyakit yang serius bahkan boleh mengancam nyawa, terutamanya bagi bayi, remaja, orang dewasa, wanita hamil dan golongan yang mempunyai sistem imun yang lemah. Dalam sesetengah kes, kanak-kanak yang mempunyai sistem imun yang normal juga boleh mengalami kesan yang serius akibat jangkitan cacar air seperti jangkitan kulit sekunder atau dehidrasi4,5.

Menurut Dr Iqbal, virus cacar air boleh menjangkiti mana-mana bahagian tubuh badan termasuk otak. Cacar air boleh menjejaskan cerebellar kita yang merupakan bahagian otak yang membantu menyelaraskan pergerakan dan keseimbangan. Ini boleh mengakibatkan pening, mengantuk dan kawalan otot yang lemah. Komplikasi lain termasuklah radang paru-paru, radang otak dan Pericarditis atau bengkak pada selaput jantung. Dr Iqbal menambah lagi bahawa satu lagi jangkitan sekunder yang biasa disebabkan oleh cacar ialah impetigo bulosa akibat menggaru dan penyebaran bakteria pada lepuh dan luka di kulit. Keadaan ini boleh menjadi lebih teruk jika bakteria masuk ke dalam aliran darah kanak-kanak dan menyebabkan Bakteremia.

Cacar air berjangkit melalui sentuhan dengan lepuh, air liur atau cecair pernafasan seseorang yang telah dijangkiti. Virus ini juga boleh tersebar di udara melalui batuk dan bersin4. Cacar air juga boleh merebak secara tidak langsung dengan menyentuh barangan peribadi yang telah tercemar seperti pakaian daripada mereka yang telah dijangkiti5. Menurut Dr Iqbal, sentuhan secara langsung dengan lepuh orang yang dijangkiti kayap boleh menyebabkan cacar air pada seseorang yang tidak pernah dijangkiti penyakit ini atau mereka yang belum diimunisasi dengan vaksin cacar air. Walau bagaimanapun, lepuh yang telah kering dan berkerak tidak lagi boleh menyebarkan virus jangkitan cacar air.

Menurut Dr Iqbal, selain daripada menjaga kebersihan diri dan persekitaran dengan baik, imunisasi melalui vaksin masih merupakan cara termudah dan salah satu cara berkesan untuk melindungi daripada jangkitan cacar air. Beliau tidak mengesyorkan ibu bapa untuk menunggu kanak-kanak dijangkiti secara semula jadi kerana tidak diketahui siapa yang akan mendapat kesan serius daripada jangkitan itu. 

Imunisasi akan merangsang dan membina imuniti anak anda melalui jangkitan virus Varicella Zoster yang lemah. Dengan itu, kebarangkalian untuk mendapat komplikasi penyakit yang serius dari virus tersebut dapat dikurangkan. Namun begitu, apabila kanak-kanak jatuh sakit akibat cacar air, meskipun dengan simptom yang ringan, ia masih menyebabkan aktiviti harian ibu bapa atau penjaga terganggu. Oleh itu, vaksinasi adalah cara yang baik untuk mengelakkan jangkitan penyakit ini yang boleh membawa kepada pelbagai masalah lain.

Dr Iqbal mengesyorkan ibu bapa dan penjaga untuk mendapatkan khidmat nasihat doktor untuk mengetahui lebih lanjut tentang vaksin cacar air. Beliau menegaskan bahawa orang dewasa yang tidak pernah dijangkiti juga seharusnya mempertimbangkan untuk mendapatkan vaksin kerana komplikasi pada orang dewasa boleh menjadi lebih serius.

Beguk, Campak dan Rubella

Campak

imun anak lebih kuat selepas vaksin

Imej untuk tujuan ilustrasi sahaja

Campak adalah penyakit pernafasan yang serius yang juga menyebabkan ruam dan demam. Virus campak sangat mudah menular6. Dr Iqbal menjelaskan, jika dibandingkan dengan kadar jangkitan virus Covid-19 di mana 1 individu yang dijangkiti boleh menjangkiti sehingga 3 orang lain, kadar jangkitan virus campak adalah lebih tinggi iaitu dengan kadar 1 individu yang dijangkiti virus campak boleh menyebarkannya kepada sehingga 18 orang lain.

Menurut Dr Iqbal, gejala awal jangkitan campak adalah sama dengan jangkitan virus lain di mana kanak-kanak mungkin mengalami simptom seperti selesema termasuk demam,  mata berair dan batuk. Selepas 3 hari, bintik merah rata akan mula muncul pada muka, leher dan garis rambut mereka. Kemudian ruam akan berkumpul dan membentuk bintik-bintik ruam yang timbul dan ia akan merebak kebahagian badan, lengan dan kaki. Tompok merah dan putih yang menyerupai butiran garam yang dipanggil bintik Koplik juga boleh merebak di dalam mulut. Pada masa yang sama, demam mungkin meningkat secara mendadak dan boleh mencapai suhu setinggi 40°C6,7.

Pada sesetengah kanak-kanak, jangkitan Campak boleh menyebabkan komplikasi penyakit yang lebih serius seperti radang paru-paru, cirit-birit, Ensefalitis (bengkak otak), kehilangan pendengaran kekal dan juga boleh menyebabkan kematian. Mengikut statistik, 1 daripada 5 kanak-kanak yang dijangkiti campak perlu dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan6,8

Kanak-kanak boleh dijangkiti campak melalui titisan cecair pernafasan dari orang yang sedang dijangkiti melalui mulut atau hidung semasa bernafas, bersin atau batuk. Virus campak boleh hidup sehingga dua jam  di ruang atau pada permukaan yang telah dilalui atau sentuh oleh seseorang yang sedang mengalami penyakit ini. Virus Campak boleh mula merebak walaupunwalaupun sebelum gejala ruam mula kelihatan pada badan pesakit6.

Beguk

Beguk adalah satu lagi penyakit pernafasan yang sangat mudah berjangkit. Ia menyebabkan radang pada kelenjar air liur yang mengakibatkan bengkak pada pipi. Keadaaan ini membawa kepada ketidakselesaan dan kesakitan apabila menelan dan mengunyah. Gejala lain yang biasa dialami pesakit yang dijangkiti penyakit Beguk termasuk demam, sakit kepala dan lenguh sendi9. Bagaimanapun, menurut Dr Iqbal sesetengah kanak-kanak yang dijangkiti beguk tidak menunjukkan sebarang simptom dan terdapat juga kes di mana kanak-kanak yang menghidap beguk tidak mengalami bengkak pada kelenjar air liur. Namun begitu, kanak-kanak ini masih boleh menyebarkan virus dan menjangkiti orang lain. 

Secara amnya, beguk adalah penyakit ringan dan kebanyakan kanak-kanak akan pulih selepas seminggu atau dua minggu10. Walau bagaimanapun, Dr Iqbal menjelaskan jangkitan beguk adalah berbeza-beza bagi setiap kanak-kanak. Dalam kes yang jarang berlaku, beguk boleh membawa kepada komplikasi berbahaya termasuk Meningitis, Encephalitis, kehilangan pendengaran, bengkak ovari atau bengkak zakar11.

Virus beguk sangat mudah menular. Ia merebak melalui sentuhan langsung dengan titisan dari hidung atau tekak orang yang dijangkiti. Ia boleh merebak walaupun sebelum orang yang dijangkiti mula menunjukkan sebarang gejala10.

Rubella 

Rubella, yang kadangkala disebut sebagai ‘German Measles’ adalah penyakit yang disebabkan oleh virus Rubella. Jangkitan ini biasanya ringan pada kanak-kanak dengan gejala demam dan ruam12. Bagaimanapun, Dr Iqbal menjelaskan apabila wanita hamil dijangkiti ia menyebabkan komplikasi kepada kehamilannya dan boleh menyebabkan keguguran, kelahiran mati atau bayi dalam kandungan boleh mengalami kecacatan lahir yang serius13.

Menurut Dr Iqbal, sama seperti demam Campak dan beguk, virus Rubella merebak apabila seseorang yang telah dijangkiti batuk atau bersin dan menyebarkan titisan lembapan kecil yang mengandungi virus ke udara dan permukaan sekeliling. Penyakit ini paling mudah berjangkit semasa orang yang dijangkiti mengalami ruam dan virus Rubella boleh merebak sehingga 7 hari sebelum dan selepas ruam muncul. Terdapat juga kes di mana kanak-kanak yang dijangkiti Rubella tidak mempunyai sebarang gejala. Namun, kanak-kanak ini masih boleh menyebarkan virus kepada orang lain menjadikannya sangat berbahaya terutama bagi wanita hamil yang tidak menyedari kehadiran pembawa virus ini berada berdekatan dengannya12.

Dr Iqbal menjelaskan bahawa walaupun mengekalkan kebersihan diri dan kebersihan persekitaran yang baik boleh membantu mengawal penyebaran virus campak, beguk dan Rubella, salah satu cara berkesan untuk melindungi anak-anak anda daripada virus ini adalah melalui imunisasi. Vaksin campak, beguk dan Rubella atau dikenali sebagai suntikan MMR diberikan sebagai vaksin gabungan. Vaksin akan membantu menghalang anak anda daripada mendapat ruam dan demam yang tidak selesa serta melindungi mereka daripada komplikasi serius yang boleh membawa kepada kematian. Selain itu, dalam kes Rubella ia juga dapat melindungi orang lain, terutamanya wanita hamil dan bayi dalam kandungan.

Vaksin MMR adalah sebahagian daripada Program Imunisasi Kebangsaan jadi ibu bapa dan penjaga harus memberi anak-anak mereka vaksin seperti yang dijadualkan. Dr Iqbal menjelaskan, di sebalik tanggapan masyarakat, sebenarnya tiada kajian klinikal yang menemui kaitan antara autisme dan vaksin MMR. Ibu bapa dan penjaga harus bercakap dengan doktor mereka jika terdapat sebarang kebimbangan mengenai keselamatan vaksin MMR.

Rotavirus

imun anak

Imej untuk tujuan ilustrasi sahaja

Rotavirus adalah penyakit cirit-birit yang disebabkan oleh virus rotavirus. Nama rotavirus berasal daripada rupa virus ini yang kelihatan seperti roda di bawah mikroskop14. Rotavirus menjangkiti usus dan menyebabkan cirit-birit dan muntah yang teruk pada bayi dan kanak-kanak di seluruh dunia. Walaupun terdapat beberapa agen lain yang boleh menyebabkan cirit-birit tetapi Rotavirus adalah penyebab utama cirit-birit dan muntah pada kanak-kanak15.

Gejala biasa rotavirus termasuk demam, muntah, cirit-birit teruk yang berlarutan selama 3 hingga 8 hari dan sakit perut14. Dr Iqbal berkongsi bahawa dia pernah merawat seorang pesakit yang mengalami cirit-birit teruk yang berlarutan selama 14 hari. Tiada ubat atau rawatan khusus untuk jangkitan Rotavirus dan ia akan sembuh dengan sendirinya selepas beberapa hari14. Walau bagaimanapun, dehidrasi adalah komplikasi terbesar dan sangat berbahaya terutamanya bagi bayi dan kanak-kanak kecil kerana mereka lebih terdedah kepada kehilangan cecair dan elektrolit dari badan. Oleh itu, ibu bapa dan penjaga mesti mengetahui keadaan anak-anak mereka semasa dijangkiti Rotavirus untuk mengawasi dan mengelakkan dari berlakunya dehidrasi.

Rotavirus sangat mudah merebak. Menurut Dr Iqbal, kanak-kanak yang dijangkiti rotavirus mengeluarkan virus dalam najis mereka dan zarah virus itu boleh merebak ke kanak-kanak lain, orang dewasa atau pada permukaan dari tangan yang tidak dicuci selepas penggunaan tandas atau menukar lampin. Jika zarah ini bersentuhan dengan mulut orang lain, ini dikenali sebagai penyebaran secara ‘fecal-oral14,15.

Jangkitan rotavirus selalunya berlaku pada terutamanya kalangan kanak-kanak berumur kurang daripada 5 tahun15. Menurut Dr Iqbal, baru-baru ini terdapat peningkatan dalam bilangan kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital akibat jangkitan rotavirus. Ini boleh dikaitkan dengan ibu bapa atau penjaga yang terlepas tempoh untuk memberi vaksin kepada anak mereka sebelum umur 4 bulan akibat perintah sekatan pergerakan semasa tempoh penularan virus Covid-19.

Vaksin rotavirus diberikan melalui cecair didalam mulut14,15. Di Malaysia, vaksin rotavirus tidak termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan tetapi ia boleh dibeli di hospital dan klinik swasta3

Menurut Dr Iqbal walaupun amalan kebersihan yang baik seperti kerap mencuci tangan dan pembasmian kuman yang kerap di ruang dan permukaan yang sentiasa digunakan memainkan peranan penting dalam mengawal penyebaran beberapa penyakit berjangkit kanak-kanak. Namun, imunisasi adalah perlindungan baik yang boleh anda berikan kepada anak anda untuk membantu mencegah dan melindungi daripada penyakit yang berpotensi menjadi lebih teruk sehingga membawa maut. Dr Iqbal menegaskan bahawa adalah penting untuk memberi vaksin kepada anak-anak kita untuk melindungi komuniti dan masyarakat sekeliling kerana apabila kita berhenti memberi vaksin, virus dan penyakit akan datang kembali. Oleh itu, beliau menasihatkan supaya ibu bapa dan penjaga harus memastikan vaksinasi anak-anak mereka dikemas kini dan anda sentiasa boleh berbincang dengan pakar pediatrik anda jika anda terlepas sebarang vaksin dan pastikan semua anak anda divaksin.

Datuk Dr Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar ialah seorang pakar pediatrik dan neonatologi. Selama berkhidmat selama 30 tahun dalam bidang tersebut, beliau pernah dilantik sebagai doktor pakar perunding neonatologi di unit intensif bayi (NICU) Hospital Kanak-kanak St Mary di United Kingdom selama 20 tahun. Kini, beliau adalah perunding residen pakar pediatrik dan neonatologi di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya.

Kami berharap artikel ini berguna dalam membantu anda membuat keputusan yang tepat untuk kesihatan dan kesejahteraan anak-anak anda.

Maklumat ini disediakan sebagai perkhidmatan profesional oleh MSD. Pandangan yang dinyatakan dalam penerbitan mencerminkan pengalaman dan pendapat penulis.

MY-ROT-00320 May/2023

Rujukan:

  1. World Health Organization (WHO). Vaccines and immunization: What is vaccination?. Available from: https://www.who.int/news-room/questions-and-answers/item/vaccines-and-immunization-what-is-vaccination.  Last accessed 20 April 2023. 
  2. Immunise4Life. The Malaysian National Immunisation Programme (NIP). Available from: https://immunise4life.my/the-malaysian-national-immunisation-programme-nip/. Last accessed 20 April 2023. 
  3. Immunise4Life. 5 Additional Recommended Vaccines for Children. Available from: https://immunise4life.my/5-additional-vaccines-for-children/. Last accessed 20 April 2023. 
  4. PORTAL MyHealth. Chickenpox. Available from: https://www.myhealth.gov.my/en/chickenpox/. Last accessed 20 April 2023.  
  5. National Health Services (NHS) Inform. Chickenpox. Available from: https://www.nhsinform.scot/illnesses-and-conditions/infections-and-poisoning/chickenpox#causes-of-chickenpox. Last accessed 20 April 2023. 
  6. World Health Organization (WHO). Measles. Available from: https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/measles. Last accessed 20 April 2023. 
  7. Centers for Disease Control and Prevention (CDC). Measles Signs and Symptoms. Available from: https://www.cdc.gov/measles/symptoms/signs-symptoms.html. Last accessed 20 April 2023. 
  8. Centers for Disease Control and Prevention (CDC). Measles Complications. Available from: https://www.cdc.gov/measles/symptoms/complications.html. Last accessed 20 April 2023. 
  9. National Health Services (NHS). Mumps – Symptoms. Available from: https://www.nhs.uk/conditions/mumps/symptoms/. Last accessed 20 April 2023.
  10. National Health Services (NHS). Mumps. Available from: https://www.nhs.uk/conditions/mumps/. Last accessed 20 April 2023.
  11. National Health Services (NHS). Mumps – Complications. Available from: https://www.nhs.uk/conditions/mumps/complications/. Last accessed 20 April 2023.
  12. Mayo Clinic. Rubella. Available from: https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/rubella/symptoms-causes/syc-20377310. Last accessed 20 April 2023.
  13. Centers for Disease Control and Prevention (CDC). Rubella Complications. Available from: https://www.cdc.gov/rubella/about/complications.html. Last accessed 20 April 2023.
  14. Centers for Disease Control and Prevention (CDC). Rotavirus Clinical Information. Available from: https://www.cdc.gov/rotavirus/clinical.html. Last accessed 20 April 2023.
  15. World Health Organization (WHO). Rotavirus. Available from: https://www.who.int/teams/health-product-policy-and-standards/standards-and-specifications/vaccines-quality/rotavirus. Last accessed 20 April 2023.       

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!