Wahai Wanita, Jaga Aib Suamimu Seperti Menjaga Nyawa Sendiri
Ketika melayari bahtera rumah tangga, salah faham dan pertengkaran pasti akan berlaku. Ketika berkongsi masalah bagi mendapatkan bantuan, marilah jaga aib suami dan kekalkan maruah dirinya.
Dalam perkahwinan, pasti ada pasang surutnya. Pertikaian dan rasa tak puas hati pasti akan berlaku ketika melayari bahtera rumah tangga.
Namun, yang pastinya, apabila persengketaan berlaku, jangan terlalu mudah untuk melatah.
Isu rumah tangga tular di media sosial
Baru-baru ini, kecoh di laman sosial tentang kisah penyanyi nasyid popular dan pasangannya.
Masing-masing memberikan petunjuk dan bertukar komen di profil tentang masalah yang melanda rumah tangga (semoga urusan mereka dipermudahkan dan segera mengecap bahagia semula, amin!).
Apabila kedua-duanya hidup di mata public, maka sudah pasti orang awam akan turut berkata dan memberikan pendapat masing-masing.
Kadangkala, ditambah rencah dan perisa untuk menyedapkan cerita.
Ingatlah wahai wanita…
Antara kewajipan utama kita selepas berkahwin adalah menjaga aib suami. Ia bukan perintah agamawan dan ahli bijak pandai semata-mata, tapi datang dari al-Qur’an, perintah dari Tuhan!
“Maka, perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongannya.” (Surah An-Nisa, ayat 34)
Menurut artikel ini, memelihara “apa jua yang wajib dipelihara” pada suami kita itu merangkumi menjaga nama, maruah, kesucian, dan hartanya.
Selepas ijabkabul dilafazkan, ketahuilah, wahai isteri, bahawa keaiban suami itu perlu kita jaga sebaik mungkin.
Jika kita mengalami salah faham dengan suami, elakkanlah daripada memaparkannya di laman sosial, walaupun kita menulis dengan kata-kata secara am, kononnya ia tidak ditujukan kepada sesiapa.
Orang yang membaca akan faham dan pasti akan dapat meneka kepada siapa ia ditujukan.
Malah menurut hadis Ibn Majah,
“Diriwayatkan oleh ibn Abbas, Rasulullah SAW pernah bersabda, “Sebaik-baik wanita adalah wanita yang bila dipandang, ia menyenangkan dirimu, dan bila diperintah dia taat, dan bila kau tiada, dia menjaga dirinya dan hartamu.”
Tidak kiralah sehebat mana pun kita jaga anak, sesedap mana pun kita memasak, atau sekemas mana pun kita menjaga rumah, namun jika kita tidak menitikberatkan hal keaiban suami, maka tiada gunalah semua itu.
Jaga aib suami dan jauhkan diri dari media sosial
Ketika masalah melanda, emosi wanita akan berkecamuk. Itu lumrah diri kita. Pada waktu ini, ingatkan diri untuk “offline”.
Seperti yang Bro ini kongsikan di Utusan:
“Kalau hendak bergaduh suami isteri atau ada masalah rumah tangga, selesaikan secara berhemah, bukannya cerita kat semua orang. Bro tahulah perempuan ini emosional tetapi biarlah bertempat. Tak ada faedah pun hendak mengaibkan suami sendiri kerana ia hanya mendatangkan dosa.”
Jadi, sekalipun kita perlu untuk berkongsi masalah dengan keluarga mahupun rakan rapat, tidak perlulah sehingga mendedahkan segalanya.
Ingatlah wahai wanita,
Jagalah lidah dan kata-kata kita sewaktu mendapatkan bantuan dari orang luar.
Tumpukan perbincangan kepada masalah utama, dan tidak perlu menyerang karakter mahupun kelemahan peribadi suami.
Percayalah, mendedahkan aib suami tidak akan menyelesaikan masalah. Ia mungkin hanya akan menjadi penambah kerumitan.
Lebih baik lagi, bagi hal salah faham kecil, kita bawa bersabar sahaja. Lapangkan dada dan berbincang secara peribadi dengan suami bagi melepaskan kerunsingan di minda.
Sifat lelaki ini mudah. Mereka mudah memaafkan, mereka mudah melupakan.
Mana tahu, hal yang kita sangka berat, rupa-rupanya langsung tidak meninggalkan bekas pada suami. Hanya fikiran dan nafsu diri kita sahaja yang membesarkan cerita.
Simpan rapi kisah dalaman rumah tangga
Ingatlah wahai wanita,
Hal yang berlaku dalam perkahwinan kita, itu milik suami dan kita. Hal di bilik tidur pun begitu juga.
Tahanlah diri dari menjaja cerita terutamanya di media yang penuh dengan mata-mata yang memerhati dan menanti saat runtuhnya rumah tangga.
Jadi, mari jaga aib suami kita, seperti kita menjaga nyawa sendiri.
Tuhan pasti akan membalas dengan syurga buat isteri yang solehah dan yang pandai menjaga diri dan maruah suami!
Sumber: Bercintaselepasnikah.my, Utusan, OhBulan
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
Apa Sebenarnya Yang Lelaki Fikirkan Tentang Hubungan? Ini Hati Lelaki Yang Sebenarnya…