JAWI Disaman Pasangan Sah Suami Isteri – Operasi Tangkap Khalwat Tanpa Adab

JAWI Disaman Pasangan Sah Suami Isteri – Operasi Tangkap Khalwat Tanpa Adab

Apabila JAWI menjalankan operasi tangkap khalwat tanpa adab dan etika, akan ada pasangan yang tidak bersalah teraniaya. Seperti yang berlaku baru-baru ini, suami isteri diaibkan oleh pasukan JAWI. Mengapa perkara sebegini boleh terjadi? Jom ikuti kupasannya bersama.

Kita memang sudah biasa mendengar operasi tangkap khalwat yang sering diadakan oleh badan agama negeri masing-masing. Namun, apa yang berlaku di ibu negara baru-baru ini menimbulkan sedikit rasa kehairanan dan kemarahan orang ramai.

Apa yang berlaku adalah sepasang suami isteri telah ditahan oleh pihak JAWI secara paksa dan salah pada pukul 1.30 pagi 8 Januari yang lalu. Mereka telah diserbu oleh sekumpulan pegawai agama dari jabatan tersebut di hotel bajet yang mereka duduki.

Pegawai JAWI Lelaki Menyerbu Masuk ke Dalam Bilik Hotel

Berdasarkan laporan berita, kami merasakan operasi tangkap khalwat tersebut kasar dan tidak beradab. Walaupun si suami telah memaklumkan kepada pegawai tersebut yang isterinya tidak berpakaian sempurna, anggota-anggota JAWI lelaki tetap masuk ke dalam bilik secara paksa.

Malah, apabila si suami tersebut telah secara terang dan jelas menunjukkan bukti berbentuk gambar sijil nikah dari telefon bimbitnya, anggota JAWI tersebut masih enggan menerimanya dan meneruskan penahanan pasangan terbabit.

Mengapakah agaknya anggota tersebut tidak dapat menerima gambar sijil nikah itu sebagai bukti yang sah? Adakah mereka telah tersalah tangkap dan untuk mengelakkan rasa malu, mereka enggan menerimanya dan tetap meneruskan operasi?

Perlukah Merakam Video Pasangan yang Diserbu?

Yang lebih menaikkan kemarahan orang ramai adalah layanan mengaibkan oleh anggota bertugas kepada si isteri tersebut. Dilaporkan bahawa ada di antara pegawai JAWI tersebut yang telah menangkap gambar dan merakam video pasangan terbabit walaupun si suami telah memaklumkan keadaan aurat isterinya yang masih terdedah dan telah meminta diberi masa dan privasi supaya isterinya dapat berpakaian lengkap.

Yang lebih menghairankan adalah sikap kasar pegawai terbabit kepada pasangan ini. Si suami melaporkan yang lehernya cedera akibat bergelut dengan pegawai yang cuba masuk secara paksa ke dalam bilik pada awal pagi tersebut!

JAWI Disaman dan Netizen Menyokong

JAWI Disaman Pasangan Sah Suami Isteri – Operasi Tangkap Khalwat Tanpa Adab

Source: Freemalaysiatoday.com

Akibat daripada operasi tangkap khalwat secara salah dan tanpa adab ini, mereka telah mengambil keputusan untuk menyaman pihak JAWI. Ramai netizen yang menyokong tindakan pasangan suami isteri ini dan kami faham mengapa.

Mungkin inilah yang terjadi apabila pegawai agama hanya membawa perkataan ‘agama’ dalam pangkat, dan bukan dalam akhlak peribadinya. Jika benarlah mereka penegak kepada agama Islam, mereka pasti tahu adab-adab ketika memasuki ruangan privasi seseorang, tidak kisahlah sama ada di rumah atau di hotel sekalipun.

Apakah Operasi Tangkap Khalwat Ini Dibenarkan dalam Agama?

Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin ada menyatakan di dalam laman web rasminya tentang garis panduan umum operasi tangkap khalwat. Melalui panduan ini, kita dapat lihat yang operasi tangkap khalwat JAWI yang menimbulkan kontroversi ini, secara terang lagi bersuluh, sangat salah dan mengaibkan.

Menurutnya, mereka tidak sepatutnya mengorek rahsia, mengintip, atau menyerbu masuk sehingga menjatuhkan maruah orang lain. Operasi sepatutnya dijalankan bagi membasmi maksiat yang dibuat secara terang-terangan, dan bukan yang dilakukan di sebalik pintu yang bertutup dan berkunci!

Antara perkara lain yang kami sangat tidak bersetuju adalah tindakan pegawai lelaki yang merakam gambar dan video pasangan terbabit. Apakah motif disebalik rakaman tersebut? Sebagai bukti tangkapan? Jika mereka yang diserbu itu benar-benar salah sekalipun, adakah maruah pesalah tidak bernilai sama sekali?

Kita Perlukan Garis Panduan SOP yang Jelas dan Benar

Apa yang berlaku pada malam tersebut kelihatan seperti tiada langsung prosedur standard yang diikuti oleh kumpulan JAWI terbabit. Tidak ada pegawai yang mahu menunggu sehingga wanita berpakaian lengkap. Tidak ada pegawai yang mahu menerima bukti yang telah diberikan. Dan, mereka juga turut mencederakan orang awam ketika melakukan operasi.

Ada banyak benda yang salah daripada benda yang betul dalam insiden ini. Malah, ia turut memberikan persepsi buruk terhadap agama Islam itu sendiri. Sepatutnya, mereka yang menggalas tugas sebagai pegawai agama melakukan operasi dengan betul dan amanah.

Bukannya sekadar untuk menunjukkan kuasa semata-mata. Memang betul kita patut membasmi maksiat, namun biar kena dengan tempat dan caranya!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!

Penulis

Noor

Artikel(Cerita)
app info
get app banner