Kalian masih ingat lagi tak ketika bersalin, kita dengar suara tangisan pertama bayi rasa sungguh indah hingga ada yang menangis sehingga tersedu-sedu dalam bilik bersalin. Lahir anak pertama itulah momen terpaling yang akan diingati. Tapi anda tahu tak, terdapat beberapa jenis tangisan bayi.
Ya, bukan satu jenis dan bukan bermakna dia menangis sebab lapar sahaja. Banyak sebab lain di sebalik tangisan bayi yang mungkin anda perlu tahu dan wajib peka jika terdengar. Kadang-kala, bayi juga menangis sebab mereka cuba untuk berkomunikasi dengan ibu bapa mereka.
Dalam artikel ini, anda dapat baca lebih lanjut tentang:
- 9 jenis tangisan bayi yang mempunyai maksud berbeza
- Perbezaan menangis biasa dengan kolik
- Apa ibu boleh buat jika anak menangis tanpa henti?
9 Jenis Tangisan Bayi Berbeza, Bukan Bermaksud Lapar Sahaja!
1. Menangis tanda perut terasa lapar
Kredit: iStock
Bila sudah memegang takhta sebagai seorang ibu, perkara pertama yang anda perlu lihat adalah tangisan bayi lapar. Semestinya ramai mengetahui bahawa bayi belum pandai untuk berkomunikasi, oleh itu dengan tangisan itulah mereka memberitahu dan memberikan isyarat bahawa dirinya sedang kelaparan.
Sebab itulah anda perlu senantiasa peka tentang signal menangis yang ditunjukkan ketika mereka sedang lapar seperti berasa tidak tenang, menangis secara tiba-tiba atau memasuk jari ke dalam mulut. Itu antara tanda dia sedang lapar.
Kalau bukan anak sendiri, anak orang lain pun mesti kita pernah lihat kan? Ha, jadi kena peka dan alert, okay ibu?
2. Menangis tanda lampin penuh atau nak buang air besar
Jenis tangisan bayi kedua yang ibu perlu peka ialah apabila lampin bayi penuh dengan tahi atau air kencing. Bayi pun sama seperti golongan dewasa, contohnya kalau kita terasa ingin membuang air kecil misalnya, kita pun rasa tak tahan nak membuang.
Samalah juga dengan bayi, sebab itu mereka hanya menangis untuk memberikan tanda bahawa mereka tidak selesa apabila lampir sudah penuh. Oleh itu, ibu bapa perlu menggantikan lampin lama dengan lampin yang baharu dan lihat sama ada bayi masih menangis ataupun tidak.
Selalunya, kalau lampin dah ditukar ‘fresh’, bayi pun akan senang hati dan terdiam.
3. Menangis tanda mengantuk
Kredit: iStock
Ini merupakan antara tangisan bayi yang paling common sekali. Bukan setakat bayi, kalau golongan dewasa mengantuk pun boleh menjadi ‘cranky’ kalau masih tak dapat katil pada waktu-waktu tertentu, kan? Ha, sama jugalah dengan bayi.
Jenis tangisan bayi nak tidur juga anda perlu tahu. Bayi nak tidur tapi anda berikan susu pula, nanti tangisannya lagi kuat. Jika dilihat, bayi akan menangis dan pada masa yang sama menguap atau menggaru matanya, itu tanda dia nak tidur.
Jadi, jika tidur dalam buaian masukkan dalam buai dan dendangkan alunan yang memuji Allah SWT. Sekiranya anak tidak menggunakan buaian, main rambutnya atau tepuk-tepuk bahagian pahanya sehingga dia terlena sendiri. Mudah sahaja menjaga bayi ini sebenarnya.
Anda hanya memerlukan kesabaran yang tinggi untuk memahami beberapa signal yang mereka berikan setiap hari. Bukan susah pun.
4. Menangis tanda bayi kepanasan
Anda suka tak bila tidur dalam keadaan panas? Mesti tak suka, kan? Begitulah juga dengan bayi. Mereka juga akan menangis apabila keadaan suhu panas dan berpeluh-peluh. Mungkin mereka tidak selesa di bahagian badan dan suhu cuaca pada ketika itu.
Tapi jangan pula biasakan anak tidur dekat dengan kipas atau penghawa dingin yang terlalu sejuk, nanti demam pula bayi anda. Cukup sekadar dingin bak salju. Si kecil pun akan berhenti nangis dan dapat tidur dengan selesa.
Bagaimana hendak tahu dia menangis sebab panas? Anda boleh lihat dahinya berpeluh dan mukanya kemerahan. Itu tanda si kecil tak selesa berpanas.
Kasihanilah mereka. Jangan biarkan mereka berpanas.
5. Menangis tanda meminta didukung dan dimanja
Kebiasaannya, bayi dah pandai nak berdukung boleh dilihat sekitar 15 hari dilahirkan. Bila letak, menangis bagai tak keruan tapi bila berdukung diam pula dia. Itu perkara biasa ya, ibu ibu. Jangan pula cakap ‘jangan manjakan sangat didukung setiap masa’.
Bukan, kita sebagai ibu bapa perlu memastikan anak sentiasa dapat apa yang diinginkan terutama ketika masih bayi.
Tangisan bayi minta untuk didukung adalah tanda dia nak tidur secara berdukung. Layankan jelah mak-mak semua. Tapi jangan pula anda membiasakan anak berdukung 24 jam. Biarkan dia bebas tidur dan berbaring atas tilamnya sendiri.
6. Menangis kerana perut bayi kembung
Kredit: iStock
Jenis tangisan bayi seterusnya adalah apabila mereka mengalami perut kembung. Macam mana nak tahu? Bayi akan menangis tanpa henti sambil kakinya di angkat ke bahagian perut. Itu adalah cara mereka berkomunikasi dengan ibu bapa untuk memberitahu bahawa bahagian perutnya tidak selesa dan kembung.
Apa yang anda perlu buat adalah sapukan minyak bayi yang sesuai seperti minyak Yu Yee cap limau atau minyak telon bagi mudahkan bayi untuk melepaskan angin yang tersekat di dalam perut mereka.
Selain itu, para ibu juga boleh cuba untuk menuam pertu bayi secara perlahan. Kemudian dia akan kembali rasa selesa.
7. Menangis apabila melihat orang tidak kenali
Bayi akan menangis bila orang yang dia tak kenal dukung atau bermain ‘cak kun cak’ dengan dia. Yang mereka kenal hanyalah ibu bapanya.
Jadi kalau orang lain dukung seperti mak saudara, nenek atau atuk dia automatik akan menangis. Tapi bila kembali didukung mama atau papanya dia senyap terus dari menangis. Itu memang normal, mungkin juga dia sedang ‘memilih’ atau ‘observe’ individu berkenaan?
Faham-fahamlah tanda tak suka orang lain pegang dia. Jangan bimbang, bayi akan perlahan-lahan mula mengenali orang nanti. Oleh itu, biasakan diri anda untuk bermain dengannya.
8. Menangis kerana tidak sihat atau demam
Apabila anda merasakan bayi sedikit lemah, merengek dan menangis. Cuba rasa di dahinya dan bacakan suhu badan anak itu. Jika dia menangis itu tanda dia tak selesa demam.
Jadi, ibu bapa disarankan untuk segera berjumpa doktor dan dapatkan ubat yang sesuai dengan usia bayi. Jika tidak terlalu panas, cukup sekadar anda lap seluruh tubuh bayi dengan air asam jawa (buat berulang kali). Nanti suhu demam bayi akan menurun secara perlahan-lahan.
9. Menangis tanda gigi nak tumbuh
Apabila bayi sedang berada di dalam fasa nak tumbuh gigi, si kecil ini akan menangis tak selasa pada gusinya. Biasanya terjadi sekitar lima bulan dan ke atas.
Macam mana nak tahu dia sakit tumbuh gigi adalah dengan cara si kecil seolah mengigit jari-jari halusnya atau dia seperti mengunyah sesuatu. Jadi cuba anda periksa pada bahagian gusi bayi jika keras memang betul si kecil menangis sebab gigi hendak tumbuh!
Apa Perbezaan Tangisan Bayi Biasa Dengan ‘Colic’?
Tidak dinafikan, jika bayi anda mengeluarkan tangisan secara berterusan pasti anda akan panik di sesuatu masa bukan?
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh portal Harian Metro, Pakar Sakit Puan iaitu Dr Yow Choon Ming berkata, terdapat anggapan ketidakselesaan perut bayi juga dapat dilihat dari lenturan pinggul bayi atau bahagian tangan bayi1.
Ketidakselesaan perut bayi dikenali sebagai ‘colic’ iaitu berasal daripada bahasa Yunani (Greek) untuk usus besar.
Menurut Dr Yow, terdapat kajian yang membandingkan kumpulan bayi iaitu bayi yang dikatakan ‘colic’ dan bayi yang bukan ‘colic’ ketika kedua-dua kumpulan ini menangis berpanjangan. Hasil kajian itu mendapati tiada perbezaan jumlah gas dalam perut bayi.
Malah, beliau turut menambah bahawa dalam era kini, isu kembung perut yang mungkin dianggap lama, tetapi pendekatan baharu amat bermakna terutama kepada ibu bapa miliennial.
Beliau turut menjelaskan di mana terdapat perbezaan antara muntah dan muak susu. Muntah ialah pengeluaran isi perut secara paksaan melalui mulut. Muak susu pula berlaku secara mudah tanpa paksaan dari isi perut ke mulut biasanya bersama sendawa.
Jelasnya lagi, “Muak susu biasanya berlaku pada bayi kurang dari satu tahun selepas menyusu. Sesetengah bayi muak susu atau jeluak setiap kali selepas menyusu. Muak susu dipanggil tindakan reflux gastroesophageal. Ia berlaku apabila gegelang otot atas perut tidak tutup dengan rapat. Muak susu akan berkurangan apabila bayi semakin membesar.”
Punca Tangisan Bayi Berpanjangan

Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan bayi menangis berpanjangan dan salah satu daripadanya kerana kembung perut yang merangkumi faktor angin dalam badan atau gastrousus, hormon, neurodevelopmental dan psikososial.
Gastrousus berlaku jika bayi menangis sering mengangkat kaki, kemungkinan bayi mempunyai kolik dan antara punca yang dikenal pasti sama ada alahan susu formula, intoleransi laktosa dan teknik penyusuan yang kurang betul.
Oleh itu, doktor dan pakar pemakanan akan bekerjasama sekiranya alahan kepada susu menyebabkan kolik atau muntah susu dan merumuskan pelan pemakanan hasil daripada pemerhatian simptom yang ditunjukkan bayi.
Ibu bapa di luar sana boleh monitor anak masing-masing dan paling penting jangan panik atau berasa tertekan dengan si kecil ini, okay?
Apa Perlu Dilakukan Jika Bayi Menangis Tanpa Henti?
Mungkin salah satu ujian buat ibu bapa di luar sana adalah apabila bayi mengalami sawan tangis, bukan? Waktu tidur sahaja diam, bila celik mata, terus menangis tanpa henti. Kami faham jika ibu bapa di luar sana berasa panik dan tidak tahu apa perlu dilakukan jika perkara ini berlaku.
Jadi, kami sediakan beberapa petua untuk menenangkan bayi anda iaitu:
- Peluk dan pegang bayi menghadap anda. Kemudian, perlahan-lahan letak dagunya di atas bahu anda sambil bergoyang sedikit. Bacalah zikir, doa atau nyanyian yang berentak perlahan.
- Sesetengah bayi suka diletakkan di tempat yang selamat untuk bertenang dan mungkin membuatnya tertidur. Oleh itu, anda boleh meletakkan bayi atas katilnya sampil menepuk lembut punggung atau mengusap rambutnya.
- Jika bayi kerap menangis, cuba beri bayi menghisap sesuatu seperti menyusukannya. Secara tak langsung berat badannya juga akan bertambah.
- Cuba tenangkan si kecil itu dengan mandian atau urutan lembut.
- Bedung juga adalah salah satu cara membantu tenangkan bayi yang menangis. Malah dia merasakan seolah masih berada dalam rahim ibunya.
- Cuba dukung anak anda, mungkin ini dapat menenangkan bayi. Sesetengah bayi berasa lebih tenang apabila anda membawa mereka berjalan-jalan.
- Tanya pakar pediatrik atau doktor anda untuk mendapatkan nasihat. Mereka akan dapat meyakinkan anda tentang kesihatan bayi anda, serta memeriksa teknik pemakanan anda dan memberikan petua dan nasihat berharga untuk menguruskan keadaan anda.
Tapi, pesan kami adalah jangan pula anda mencuba untuk melakukan segala tips di atas dalam satu masa. Nanti kuat pula menangis si anak tu.
Cuba satu per satu pada hari yang berbeza, tengok petua mana paling efektif untuk menghentikan bayi daripada menangis.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda.
Sumber:
- Harian Metro. (n.d.). Kolik pada bayi. www.hmetro.com.my/WM/2020/08/615618/kolik-pada-bayi
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ini sebab mengapa anda perlu tenang, senyum, dan ketawa selalu semasa hamil!
Baca juga: “Tolong! Bayi saya tiba-tiba menangis tanpa sebab, apa patut saya buat?”
Baca juga: Betulkan Biarkan Saja Bayi Menangis Adalah Yang Terbaik? Tak Payah Pujuk?
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!