theAsianparent Logo

Jahitan episiotomi terbuka, suami mengaku berintiman dengan isteri secara paksa

Hanya kerana menurut kemahuan suami yang mahu melakukan jimak selepas bersalin, si ibu ini maut akibat pendarahan yang teruk. Jahitan pembedahannya terbuka!

Baru-baru ini, seorang wanita, Puan Muna Masrur, ada berkongsi kisah di FB tentang sesuatu yang berlaku 10 tahun lepas. Ia berkisar tentang si bapa yang melakukan jimak selepas bersalin dengan isterinya secara paksa!

Walaupun kisah ini sudah lama berlaku, namun ada pengajaran di sebalik ceritanya. Di kesempatan ini, kami juga ingin berkongsi dengan anda bilakah masa yang sesuai untuk melakukan jimak selepas bersalin.

Moga-moga, perkongsian ini dapat memberikan sedikit panduan buat si ibu dan si ayah. Kesihatan dan kesejahteraan ibu amat penting untuk dijaga selepas mereka baru selesai bersalin, terutamanya yang menjalani pembedahan episiotomi!

Melakukan jimak selepas bersalin, ibu ini maut akibat pendarahan teruk

Mari kita ikuti kisah yang dikongsikan oleh Puan Muna Masrur ini. Ia telah tular sehingga mendapat ribuan Like dan Share di Facebook.

melakukan jimak selepas bersalin - fb Kredit: FB Muna Masrur

***

Di bahagian kecemasan zon merah (kritikal), kami menerima seorang pesakit ibu muda. Dia baru saja melahirkan cahaya mata sulung 4 hari lepas.

Mukanya pucat biru, mata hitamnya memandang ke atas, bibirnya kebiruan, mulutnya berbuih-buih, dan badannya sejuk dan kaku.

Kata si suami, isterinya tiba-tiba terkena sawan sewaktu sedang tidur. Dan, isterinya juga mengalami tumpah darah pada waktu yang sama. Kami staf perubatan bertungkus-lumus menstabilkan keadaan ibu yang sangat kritikal pada masa itu. Bantuan pernafasan segera diberi.

Dalam masa yang sama, doktor membuat pemeriksaan di bahagian bawah pesakit untuk melihat kadar pengeluaran darah pada pad si ibu. Sebaik sahaja kain dibuka, didapati habis lencun kain, seluar dalam dan pad; ia dipenuhi dengan darah!

Apabila doktor memeriksa bahagian jahitan, beliau terlihat sesuatu yang amat mengejutkan beliau.

Jahitan episiotomi ibu terbuka kerana jimak selepas bersalin!

Beliau terkejut bukan kerana luka episiotomi itu terbuka disebabkan benang tertetas, tapi disebabkan luka yang terlihat kelihatan seolah-olah dikoyak-koyakkan dan menjadi luka yang sangat teruk.

Doktor sudah dapat mengandaikan tentang satu perkara yang mungkin menjadi penyebab mengapa si ibu mengalami pendarahan yang sangat teruk.

Doktor kembali berjumpa si suami. Pada masa ini, si ibu sedang diberi bantuan pernafasan terus dari peparu dan sedang menerima pemindahan darah dan ubatan lain kerana keadaannya yang semakin tenat.

Doktor dengan suara perlahan bertanya pada suami:

"Jujur dengan saya ya encik. Encik ada buat hubungan kelamin dengan isteri tadi?"

jimak selepas bersalin - tip petua selamat Kredit: Imdb.com

"Eh, mana ada doktor. Bukankah isteri saya baru saja bersalin?"

"Encik, saya minta encik berterus terang dengan saya. Luka di bahagian tempat berjahit telah koyak-rabak. Walaupun isteri encik buat kerja berat sekalipun, ia tidak mungkin akan koyak seteruk yang saya lihat tadi."

Si suami mengakui yang dia melakukan jimak selepas bersalin dengan isterinya secara paksa

Akhirnya dia mengaku. Isterinya meronta-ronta tapi dia tetap memaksa.

Selepas dia berjaya memuaskan keinginannya, si suami mendapati yang badan isterinya secara tiba-tiba menjadi kejang dan mulut berbuih; dia terkena sawan.

Allahuakhbar! Astagfirullah!

Tiada kata yang mampu diucapkan oleh doktor tersebut. Dia hanya mampu menahan marah dan rasa kesal. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang, Dia telah menjemput ibu itu kembali ke sisi-Nya.

Doktor tidak dapat menyelamatkan ibu tersebut disebabkan dia kehilangan darah yang terlalu banyak. Fungsi organ dalam badannya juga telah gagal.

Ada hikmah ibu ini pergi. Tiada lagi trauma untuk dia hadapi, tiada lagi kesakitan untuk dia rasai.

Tetapi, kasihan pada anaknya yang masih bayi. Si kecil itu baru ingin merasai kehangatan susu ibu, baru ingin merasai lembutnya belaian ibu. Kini, dia sudah menjadi yatim kerana nafsu ayahnya sendiri.

Manusia apabila nafsu menguasai diri, hilanglah pertimbangan diri.

Aku yang mendengar ini pun sudah berasa nyeri, apalagi saat yang dirasakan oleh arwah ketika dipaksa bersama dalam keadaan luka yang masih belum lagi sembuh.

***

jimak selepas bersalin berpantang Kredit: Framepool.com

Bilakah masa sesuai untuk melakukan jimak selepas bersalin?

Antara persoalan yang sering bermain di minda adalah: bilakah masanya untuk suami dan isteri kembali melakukan hubungan kelamin?

Adakah selepas berpantang? Atau, adakah selamat untuk melakukannya ketika si isteri masih dalam pantang?

Menurut penerangan daripada Obstetrics Division dari University Rochester Amerika Syarikat, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh si ibu dan si ayah yang ingin melakukan jimak ketika berpantang:

  • Hubungan seks boleh dilakukan semula selepas pendarahan daripada vagina berhenti dan luka pada jahitan sudah sembuh sepenuhnya
  • Selalunya, si ibu akan sembuh dalam masa 4 ke 6 minggu selepas bersalin
  • Kedua-dua suami isteri perlu bersetuju untuk berintiman, dan bukannya 1 pihak saja
  • Secara fizikal, akan ada perubahan pada saiz dan bentuk vagina si ibu selepas bersalin
  • Ia akan berubah ke bentuk asal dalam masa 6 ke 8 minggu selepas bersalin
  • Melakukan hubungan jimak selepas bersalin mungkin akan memberikan rasa sakit pada si ibu
  • Guna pelincir dan posisi seks yang membantu wanita menerima kemasukan penis sepenuhnya dengan selesa
  • Ketahuilah anda masih boleh mengandung sekali lagi walaupun sebelum anda menerima haid kali pertama selepas bersalin
  • Penyusuan badan bukanlah satu bentuk kawalan kelahiran, atau birth control

Yang paling penting, si ayah perlulah bersikap bertolak ansur dengan si isteri.

Letakkan rasa sabar dalam diri dan tunggulah sehingga si ibu bersedia sepenuhnya untuk kembali berintiman selepas melahirkan cahaya mata.

Ia merupakan hubungan fizikal antara 2 insan dan patut dinikmati oleh kedua-dua insan. Bukannya sekadar untuk melempiaskan nafus serakah sendiri sahaja.

Semoga penjelasan di atas dapat memberi panduan kepada ibu ayah tentang bilakah masa yang selamat untuk melakukan hubungan seks selepas bersalin.

 

 

 

 

 

Sumber: Muna Masrur FB, Rochester.edu

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:

https://my.theasianparent.com/seks-selepas-bersalin-pembedahan/