5 Kebaikan Minyak Kelapa Dara Untuk Bayi, Ia Menyihatkan Kulit & Merawat Ruam Lampin

Kebaikan minyak kelapa dara dikenali sebagai superfood yang mengandungi pelbagai manfaat bagus untuk anak-anak. Tahukah anda apa kelebihannya? Baca di sini!

Adakah ibu bapa tahu kebaikan minyak kelapa dara untuk bayi dan kanak-kanak? Disebabkan tahap asid laurik dan antioksidan yang tinggi, minyak kelapa dara (virgin coconut oil) dikenali sebagai minyak yang paling sihat.

Minyak menakjubkan ini telah lama digunakan turun-temurun di Asia dan Latin Amerika sebagai remedi untuk mengubati pelbagai masalah kesihatan.

Antara kebaikan minyak ini ialah merawat masalah pencernaan, masalah kulit, kolesterol tinggi dan juga penurunan berat badan. Harga minyak kelapa dara juga agak berpatutan dan kini lebih ramai ibu-ibu di seluruh dunia sudah mula menggunakannya sebagai remedi rumah kerana ia bebas kimia untuk orang dewasa dan bayi. 

Baca juga: 8 Manfaat Air Kelapa Yang Menakjubkan Untuk Wanita Hamil

Kebaikan minyak kelapa dara untuk bayi

kelebihan minyak kelapa dara

#1. Mengatasi dan merawat ruam lampin

Minyak ini boleh digunakan sebagai ubat ruam lampin semulajadi. Ia melindungi kulit  dan mencegah kerengsaan apabila disapukan di kawasan yang ada ruam.

Selain melembap dan baik untuk kulit yang meradang, antara kebaikan minyak kelapa dara lain termasuklah sifat-sifat penyembuhan yang sesuai untuk ekzema, psoriasis, dan dermatitis. 

#2. Menghilangkan cradle cap pada kepala bayi

Minyak ini mempunyai sifat pelembab dan antimikrob yang luar biasa.

Ia tidak hanya melonggarkan lesi berkerak yang tebal pada kulit kepala dan kulit bersisik, tapi memberi khasiat kepada kulit juga!

minyak kelapa dara untuk bayi

Cubalah sapukan sedikit minyak ini pada cradle cap anak dan biarkan ia meresap ke dalam kulit selama beberapa minit.

Kulit mati pada kepala anak akan hancur dan tertanggal apabila ibu berus perlahan-lahan atau lap kepala bayi dengan kain lap basah.

#3. Rawat jangkitan kandida atau oral thrush dengan berkesan

Minyak yang sihat ini juga mengandungi agen antikulat, oleh itu ia juga boleh merawat yis yang menyebabkan jangkitan kandida dan oral thrush.

Ibu hanya perlu sapukan sedikit minyak dalam mulut bayi dan puting menyusu. Ia adalah sangat berkesan dan akan memastikan ibu dan bayi bebas jangkitan.

#4. Minyak paling baik untuk kulit bayi

 kegunaan minyak kelapa dara

Vitamin E dan minyak kelapa yang mengandungi agen antioksidan tinggi ialah pelembap terbaik. Ia juga sesuai dijadikan minyak urut kerana ia selamat dan mudah diserap oleh kulit bayi.

Kebaikan minyak ini yang paling besar ialah ciri-ciri penyembuhan yang membantu menyembuh dan menyuburkan kulit apabila disapukan dalam jangka masa yang panjang.

Ia juga digunakan sebagai minyak pembawa atau carrier oil untuk ibu-ibu yang menggunakan Minyak Essential (EO).

Biarpun digunakan begitu saja, atau digabungkan dengan sabun organik semasa mandi, hanya sedikit minyak akan memastikan kulit bayi anda sentiasa lembap selama berjam-jam.

#5. Baik untuk pemakanan dan sistem pencernaan bayi

Tahukah anda minyak ini dan susu ibu mempunyai satu persamaan?

Kedua-duanya kaya dengan asid laurik iaitu asid antimikrobial yang kuat dan berlemak. Ia membantu meningkatkan sistem imun dan pencernaan nutrien bayi. 

Jadi apabila bayi anda sudah genap 6 bulan, dan akan mula mengambil makanan pejal, apa kata kalau ibu gantikan minyak masak dengan minyak kelapa dara?

Ataupun ibu-ibu boleh memilih untuk menambahkan minyak kelapa dara begitu saja ke dalam makanan bayi?

Tapi sebelum anda berbuat demikian, pastikan minyak kelapa dara yang dibeli dari kedai adalah organik, tidak ditapis dan tulen.

Jika ibu bapa ternampak minyak kelapa jenis extra virgin, itu adalah pilihan yang lebih baik dan akan memberi anda kebaikan minyak kelapa dara yang sepenuhnya.

Selain itu, minyak kelapa dara juga mampu melebatkan rambut bayi. Caranya adalah ibu hanya membasahkan rambut si manja dengan beberapa titis minyak kelapa dara setiap hari. Ia memerlukan masa beberapa bulan untuk kesan yang lebih baik bagi membantu menguatkan, melembutkan serta melebatkan rambut bayi.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The Asianparent Malaysia

Baca juga: 4 Cara Penting Untuk Menjaga Dan Melindungi Kulit Bayi Yang Lembut

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!