Tiada ibu yang mahu mengalami keguguran kandungan, mengalaminya untuk sekali pun dah cukup menyedihkan apatah lagi keguguran berulang.
Pelbagai usaha dilakukan untuk memastikan untuk melindungi si kecil sehingga cukup 3 penggal, malangnya keguguran tetap berlaku. Apa yang menjadi puncanya? Ramai orang menyalahkan si ibu tidak menjaga kandungan sebaik mungkin, tapi itu bukanlah apa yang terjadi.
Para saintis di Warwick University United Kingdom menyimpulkan, kekurangan sel induk dalam lapisan rahim sebenarnya adalah penyebab terjadinya keguguran berulang. Selepas tahu punca ini, saintis kini memulakan penyelidikan untuk rawatan yang dapat mencegah keguguran.
Siapa Lebih Berisiko Mengalami Keguguran Berulang?

Ketua penyelidikan, Profesar Jan Brosens dari Jabatan Obstetrik dan Ginekologi berkata, pihaknya mendapati lapisan rahim pada pesakit keguguran berulang sebenarnya telah rosak sebelum kehamilan terjadi.
Walau bagaimanapun, kecacatan ini masih boleh diperbaiki sebelum pesakit tersebut cuba untuk mengandung semula. Mungkin ini adalah salah satu cara terbaik dalam menangani keguguran dalam kes ini.
Pakar O&G dari Hospital Universiti Coventry dan Warwickshire turut menambah, cabaran sekarang adalah untuk meningkatkan fungsi sel stem dalam lapisan rahim.
Kajian terdahulu turut mendapati, wanita dari kaum India lebih berisiko mengalami keguguran berbanding kaum etnik yang lain. Ia hasil dari kajian berdasarkan lima bandar yang telah diterbitkan dalam The Journal of Obstetrics and Gynaecology of India.
Daripada 2400 wanita yang mengambil bahagian dalam kajian itu, seramai 32% telah mengalami keguguran secara tiba-tiba iaitu bermakna, tanpa sebarang tanda keguguran. Atas sebab itu, di peringkat global angka ini adalah yang paling besar.
Masalah kesempitan hidup dan kemiskinan di India turut dikaitkan dengan sejarah jangkitan pada rahim hingga menyebabkan keguguran.
Punca Keguguran Berulang

Sebenarnya, terdapat pelbagai kemungkinan yang menjadi penyebab kepada berlakunya keguguran berulang pada ibu hamil. Walau bagaimanapun, ibu juga perlu tahu bahawa kebanyakan pasangan yang mengalami keguguran berulang mempunyai peluang yang baik untuk mempunyai bayi pada masa akan datang.
Berikut merupakan beberapa penyebab yang menjadi punca kepada keguguran berulang.
#1. Masalah pembekuan darah
Sesetengah gangguan pembekuan darah, seperti sistemik lupus erythematosus (SLE) dan sindrom antiphospholipid boleh menyebabkan ‘darah melekit’ dan keguguran berulang. Gangguan sistem imun yang jarang berlaku ini menjejaskan aliran darah ke plasenta dan seterusnya boleh menyebabkan pembekuan yang menghalang plasenta daripada berfungsi dengan baik. Ini boleh menyebabkan bayi kekurangan oksigen dan nutrien penting, yang boleh menyebabkan keguguran.
Semua wanita yang mengalami keguguran berulang harus disaring sebelum kehamilan semula untuk antibodi antiphospholipid. Rawatan mungkin melibatkan pengambilan aspirin dan terapi heparin, yang kedua-duanya membantu mencairkan darah. Penyelidikan menunjukkan bahawa pada wanita yang mengalami keguguran berulang, darah mereka mempunyai kecenderungan meningkat untuk membeku, seterusnya menghalang aliran nutrien kepada bayi.
#2. Masalah tiroid
Masalah tiroid telah dikaitkan dengan peningkatan risiko keguguran dan komplikasi kehamilan yang lain. Mereka biasanya akan diminta untuk membuat ujian darah dan selalunya terus memerlukan rawatan. Adalah sangat penting untuk memastikan tiroid berfungsi dengan sihat sebelum hamil.
#3. Antibodi tiroid
Antibodi tiroid ialah molekul kecil dalam aliran darah yang boleh menyerang tiroid, menyebabkan ia tidak berfungsi dengan baik. Mempunyai tahap antibodi tiroid yang tinggi boleh meningkatkan risiko keguguran. Adalah penting untuk memeriksa fungsi tiroid pada wanita yang mempunyai antibodi, terutamanya apabila mereka hamil.
#4. Masalah rahim
Rahim yang berbentuk tidak normal boleh meningkatkan risiko keguguran berulang dan kelahiran pramatang. Ini biasanya dapat didiagnosis ketika imbasan ultrasound. Terdapat beberapa cara untuk mengenal pasti bentuk rahim dan bergantung kepada hasil penemuan, pembedahan mungkin disyorkan.
#5. Penyebab genetik
Dalam sebilangan kecil kes, satu atau kedua-dua pasangan mungkin berulang kali memberikan kromosom yang tidak normal, menyebabkan keguguran berulang. Bergantung pada sejarah keguguran, anda dan pasangan mungkin diminta untuk melakukan ujian darah bagi memeriksa keabnormalan kromosom. Jika hasil ujian menunjukkan sememangnya ada masalah, anda perlu rujuk kepada pakar genetik klinikal untuk ujian lanjut.
#6. Serviks lemah
Jika anda mempunyai sejarah keguguran lewat dan dianggap berisiko mengalami ketidakcekapan serviks atau kelemahan serviks, anda mungkin diminta untuk membuat imbasan dari minggu 14 untuk menilai panjang serviks anda. Bergantung pada kehamilan dan sejarah perubatan anda dan/atau hasil penemuan pada imbasan yang dilakukan, anda mungkin dinasihatkan untuk menjalankan jahitan serviks sama ada sebelum atau semasa kehamilan.
#7. Sel pembunuh semulajadi
Sesetengah pakar percaya bahawa sel pembunuh semulajadi dalam rahim memainkan peranan dalam ketidaksuburan dan keguguran. Ujian untuk mengukur tahap sel NK mungkin perlu dilakukan.
Lain-lain faktor
#8. Umur
Risiko keguguran adalah paling tinggi dalam kalangan pasangan di mana wanita berumur lebih 35 tahun dan lelaki lebih 40 tahun. Tanda tanda keguguran utama pastilah tumpah darah atau darah keguguran yang keluar daripada faraj.
#9. Bilangan keguguran kehamilan terdahulu tinggi
Risiko keguguran meningkat selepas setiap keguguran berlaku secara berturut-turut. Wanita yang mengalami keguguran tiga kali berturut-turut mempunyai peluang lebih tinggi mengalami keguguran lagi.
Kesan Keguguran Berulang Pada Emosi & Fizikal

Setiap wanita pastinya mengimpikan kehamilan yang sihat dan jika boleh sebaik mungkin ingin mengelak daripada berlakunya keguguran.
Sememangnya, keguguran boleh memudaratkan emosi para wanita khususnya. Anda mungkin bergelut dengan rasa sedih, kecewa, menyesal, bimbang, terkejut dan lain-lain apabila kejadian ini berlaku.
Namun begitu, anda tidak digalakkan untuk menghadapinya seorang. Sila berkongsi perasaan anda dengan pasangan untuk mengurangkan rasa sedih yang ada. Terdapat juga banyak organisasi yang boleh memberikan anda lebih banyak nasihat dan sokongan.
Jika anda bimbang bahawa anda atau pasangan anda sukar untuk mengatasi masalah selepas kehilangan bayi, sila dapatkan bantuan dan nasihat dengan doktor anda. Mereka pastinya akan dapat membantu anda mendapatkan sokongan yang anda perlukan.
Dari segi fizikal pula, wanita yang mengalami keguguran memerlukan penjagaan yang lebih rapi, sensitif dan khusus selepas keguguran bagi memastikan tubuh dalaman dan luaran bertambah baik.
5 Petua Menghadapi Keguguran Berulang

Berikut adalah lima petua untuk kaum hawa berurusan dengan keguguran
– Fikiran sentiasa dalam keadaan baik: Selepas kehilangan bayi dalam kandungan, wanita digalakkan untuk berfikiran positif dan melakukan aktiviti fizikal seperti senaman, melukis, berzumba atau apa saja aktiviti yang menyeronokkan.
– Mengamalkan yoga: Dengan mengamalkan yoga, ia dapat meningkatkan aliran darah dan mengurangkan serangan kecemasan.
– Multivitamin: Anda juga boleh mula mengamalkan multivitamin atas saranan doktor seperti asid folik dalam tempoh tiga bulan sebelum cuba untuk hamil semula.
– Biarkan tubuh cukup bersedia: Kebanyakan pakar mengesyorkan agar pasangan suami isteri menuggu sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum mencuba hamil kembali. Dalam tempoh ini dapat memberikan kekuatan pada badan ibu agar lebih bersedia. Namun begitu, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu bagi memastikan semuanya dalam keadaan terkawal.
– Petua kecutkan rahim selepas keguguran: Amalkan diet yang sihat dan seimbang untuk membantu mengecutkan rahim ibu.
Cubaan Hamil Selepas Keguguran
Anda boleh cuba untuk hamil lagi apabila ovulasi mula semula, yang mana ia boleh berlaku sejurus dua minggu selepas keguguran (atau mungkin lebih lama). Tetapi hanya kerana anda boleh, tidak bermakna anda perlu hamil ya.
Biasanya, pakar mencadangkan pasangan untuk menunggu sekurang-kurangnya dua bulan selepas keguguran untuk cuba hamil semula. Namun begitu, ada juga kajian yang menyarankan pasangan untuk menunggu sehingga enam bulan selepas keguguran kerana kemungkinan berlakunya komplikasi kehamilan.
Sebenarnya, menunggu untuk betul-betul sembuh sebelum cuba hamil sekali lagi selepas keguguran adalah pilihan yang bijak kerana ia bukan sahaja untuk kesihatan emosi dan fizikal ibu, tetapi juga kerana hormon memainkan peranan besar dalam konsepsi dan kehamilan. Dan sama seperti aspek penyembuhan yang lain, hormon anda juga memerlukan masa untuk ‘sembuh’.
Artikel ini mendapat keizinan dari theAsianparent Singapore untuk diterjemah.
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Keguguran: Punca dan tanda-tanda keguguran yang anda patut tahu
Baca juga: 5 Sebab Keguguran Berlaku – Ingat Bukan Semua Salah Anda!
Baca juga: Cara Mengelak Keguguran Dari Berlaku Di Awal Kandungan, Ini Masa Yang Tepat Untuk Jaga Kehamilan
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!