Keguguran: Punca dan tanda-tanda keguguran yang anda patut tahu

Keguguran adalah satu ujian buat suami isteri. Tapi jika anda tahu punca keguguran, mungkin insiden ini boleh dielak! Lihat tanda keguguran ini.

Kehamilan merupakan satu berita gembira buat pasangan yang berkahwin. Tapi, kadangkala, mungkin belum rezekinya lagi, keguguran berlaku. Ini membuatkan ibu bapa risau, apa punca dan tanda keguguran?

Dalam artikel ini, kami ingin kongsikan dengan anda antara punca dan tanda keguguran yang anda patut tahu.

Keguguran di Awal Kehamilan – Adakah Ia Perkara Normal?

Ya, keguguran merupakan perkara yang sering berlaku terutamanya di awal peringkat kehamilan.

Keguguran – sama ada yang berlaku secara kita sedar atau tidak – sering terjadi semasa 20 minggu pertama. Statistik kebarangkalian untuk kita hamil dan gugur juga agak tinggi iaitu antara 30 ke 40%.

Apa Punca Keguguran Boleh Berlaku?

punca keguguran, tanda keguguran Source: Americanpregnancy.org

Sebenarnya ada banyak sebab mengapa keguguran boleh berlaku. Tapi, jangan tak tahu, kadangkala doktor juga tidak dapat memberikan sebab utama bagi keguguran!

Sebab-sebab keguguran boleh bertindan dan agak sukar untuk menunding jari kepada sebab utama.

Namun, kebanyakan doktor dan pakar sakit puan bersetuju antara punca keguguran yang utama, terutamanya di saat awal trimester, adalah berpunca daripada abnormaliti kromosom pada embrio.

Jika kita ingin fikirkan aspek positif keguguran, ia sebenarnya menghalang kita daripada melahirkan anak-anak yang cacat.

Apabila terdapat kecacatan genetik, seperti contoh terlebih atau terkurang kromosom, badan kita secara semulajadi akan menghalang pertumbuhan embrio tersebut.

Dalam erti kata lain, hanya embrio yang benar-benar sempurna dan sihat sahaja yang dapat terus hidup dalam rahim. Cukup indah dan baik perancangan Tuhan, bukan?

Punca Keguguran di Awal Kehamilan Yang Lain

Selain daripada sebab utama di atas, terdapat juga beberapa sebab keguguran kehamilan yang lain. Antaranya ialah:

  • Jangkitan bakteria Listeria, iaitu bakteria yang banyak terdapat pada makanan yang kurang masak seperti telur dan daging mentah
  • Masalah ketidakseimbangan hormon pada ibu. Seperti contoh, kurangnya hormon progresteron
  • Masalah kronik seperti diabetes, tiroid, dan penyakit lupus
  • Merokok, minum alkohol secara berlebihan dan penyalahgunaan ubat
  • Stress yang tidak dikawal
  • Senaman atau gerakan fizikal yang terlampau berat
  • Kekurangan vitamin dan nutrien seperti contoh asid folik

Adakah Sesetengah Makanan dapat Menyebabkan Keguguran?

Kita selalu dengar yang sesetengah makanan atau buah-buahan boleh menyebabkan keguguran. Antara buah yang selalu ‘dipersalahkan’ adalah buah nanas.

Malah, minuman seperti teh dan kopi juga dikatakan berbahaya untuk wanita yang di awal kehamilan.

Sebenarnya, terdapat beberapa pertentangan idea dan pendapat.

Ada yang mengatakan bahawa buah nanas mempunyai kandungan bromelain yang tinggi. Dan, Bromelain dikatakan mampu melupuskan protein dalam badan.

punca keguguran Source: Benature.tv

Disebabkan fetus yang masih muda terdiri daripada protein, kandungan bromelain dalam nanas yang kita makan dikatakan mampu menyebabkan pendarahan dan seterusnya keguguran fetus tersebut.

Namun, ada juga yang mengatakan bahawa nanas adalah baik buat wanita mengandung kerana ianya kaya dengan Vitamin C, magnesium, zat besi dan banyak lagi.

Kami merasakan bahawa untuk selamat, elakkan daripada memakan nanas dan beberapa jenis makanan lain jika anda masih di awal kehamilan – 4 bulan pertama.

Jika ingin makan sekalipun, kata kuncinya adalah keseimbangan. Ia tidak patut diambil secara berlebihan.

Menurut Jurnal Kajian ini, beberapa makanan lain yang anda perlu elakkan adalah:

  • Kopi
  • Keju
  • Hati
  • Susu yang tidak dipasteur
  • Betik
  • Minuman soda
  • Makanan laut yang dibakar (mempunyai bakteria Listeria)

Apakah Tanda Keguguran?

Terdapat beberapa tanda keguguran yang akan kelihatan apabila ianya terjadi. Antara simptom keguguran yang biasa adalah:

  • Pendarahan dari faraj
  • Keluar mukus berwarna merah keputihan
  • Keluar darah beku semasa kehamilan
  • Sakit seperti kekejangan perut yang melampau semasa kehamilan

Sebaik sahaja kita melihat tanda-tanda keguguran ini, kita perlu segera berjumpa dengan doktor.

Walaupun selalunya tiada cara yang boleh dibuat bagi menghalang keguguran, sebaik sahaja ia berlaku, namun sekurang-kurangnya doktor dapat memberikan rawatan susulan bagi membersihkan rahim anda.

Ianya boleh dilakukan secara semulajadi melalui bantuan ubatan ataupun melalui pembedahan D&C (Dilation and Curettage).

Jangan Risau – Rezeki Anda Akan Tiba Jua!

Jika keguguran di awal kehamilan berlaku kepada anda, jangan bersedih. Dan, yang paling penting, jangan menyalahkan diri sendiri.

Ianya adalah takdir dan ketentuan Tuhan. Pasti ada hikmahnya.

Anda ingin mendengar berita gembira yang lain?

Hampir 85% (ada juga yang menyatakan 95%!) daripada wanita yang mengalami keguguran akan dapat merasai semula pengalaman kehamilan – yang sihat dan sempurna – pada masa hadapan.

Statistik yang positif ini memberikan harapan, kan? Kongsikan artikel ini dengan ahli keluarga dan sahabat anda yang baru mengalami keguguran. Pasti mereka akan kembali bersemangat dan ceria selepas mendengar berita gembira ini.