Kehamilan Pramatang Dua Kali, Hebatnya Ibu Ini Hadapi Dugaan Menyayat Hati!

undefined

Dia wanita yang berani, menceritakan pada kami kisah kehilangan bayi pra matang sebanyak dua kali. Sayu hati membaca, tidak dapat bayangkan kesedihannya.

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua ibu dan ayah sekalian. Di sini saya perkenalkan diri saya sebagai Puan Nurul. Kisah saya ini adalah kisah benar berdasarkan daripada pengalaman saya sendiri yang melahirkan bayi pra matang.

Bismillah, saya mendirikan rumahtangga pada Disember 2018 sewaktu usia saya 26 tahun bersama pilihan hati saya seorang askar. Pada awal perkahwinan, kami dalam perhubungan jarak jauh (PJJ) kerana menunggu proses mendapatkan kuarters di dalam kem.

Pada bulan Mei 2019, saya disahkan hamil 7 minggu. Perasaan waktu itu teruja dan gembira, biasalah pertama kali hamil. Saya alami alahan yang sangat teruk waktu itu. Saya tak boleh makan, dan minum kerana rasa loya yg teramat sangat. Setelah usia kandungan memasuki 15 minggu, suami dapat kuarters, dan saya berpindah mengikut suami.

Peringatan: Ada gambar mungkin tidak sesuai untuk pembaca. Kami meminta pembaca mengikut budi bicara sebelum sambung membaca.

Di sinilah permulaannya

bayi pra matang

Pada awal kehamilan semuanya normal, setiap kali pergi check-up baby dalam kandungan sihat. Pada minggu ke 16, saya sudah mula dapat rasa pergerakan bayi di dalam perut, teruja sehingga menitis air mata.

Pada bulan Oktober 2019, kami pulang ke kampung kerana adik suami ingin melangsungkan perkahwinan dan pada ketika tu kandungan saya berusia 22 minggu. Selepas 2 hari saya berada di kampung, pada malamnya saya rasa sakit perut, tapi saya anggap mungkin masuk angin, tapi makin lama makin sakit. Perut mula rasa seperti memulas-mulas.

Pada jam 3 pagi saya kejutkan suami kerana tidak tahan sakit yang terasa seperti patah pinggang belakang dan suami tolong urutkan belakang saya.

Kemudian saya ke tandas kerana beranggapan mungkin ingin membuang air besar. Alangkah terkejutnya bila saya melihat tompokkan darah di seluar dalam saya. Saya keluar memberitahu kepada suami dan suami mengambil keputusan untuk membawa saya terus ke hospital.

Sewaktu saya sedang menukar pakaian, tiba-tiba saya rasa memulas yang amat sangat dan saya menjerit  dan bunyi meletup diikuti air yang keluar selambak seperti belon pecah. Air tu penuh di atas lantai kemudian darah mula mengalir di kaki saya. Suami saya yang panik, terus dia memanggil ibu mertuanya yang kebetulan seorang jururawat bahagian ibu dan anak.

Ibu mertua saya bergegas masuk bilik dan melihat air yang memenuhi ruang bilik dan dia mengatakan itu ialah air ketuban. Kami bergegas ke hospital dan berharap supaya semuanya baik-baik saja.

Bayi pra matang saya tidak mampu survive

Setibanya kami di sana pada jam 4 pagi,dan terus masuk ke wad kecemasan. Doctor kemudian datang beramai-ramai kepada saya untuk melihat kondisi bayi. Di mesin scan bayi okay dan jantung normal tapi air ketuban kering, bayi mungkin tak mampu survive. Kaki bayi juga dah terkeluar dari kantung dan bayi mungkin akan keluar sonsang.

Pada hari tu, kandungan saya genap 23 minggu. Doktor menjelaskan dengan terperinci kepada saya dan suami tentang bayi dalam kandungan tidak dapat diselamatkan kerana dia terlalu kecil, dan di Malaysia, masih belum mempunyai peralatan yang canggih seperti di luar negara.

Mereka akan membiarkan bayi itu lahir dengan sendirinya tanpa sebarang bantuan. Saya ditolak ke tingkat atas, dan berada di dalam wad bersama 4 pesakit lain. Saya ditinggalkan untuk melahirkan anak seorang diri. Suami tak dapat menemani saya kerana esoknya ialah hari pernikahan adik dan masih banyak persiapan mereka perlu lakukan.

Tepat Azan subuh, 11 Oktober 2019 pada hari Jumaat, lahirnya Putera sulung saya ke muka bumi, dan saya terus menjerit panggil doktor. Doktor potong tali pusat dan bawa bayi saya pergi ke tempat lain, tetapi sebelum itu saya sempat berharap anak saya selamat.

Selepas beberapa minit docktor datang memberitahu anak saya seorang lelaki, dan meminta maaf kerana dia tidak dapat diselamatkan. Bayi saya cuma seberat 460 gram sahaja.

Pada jam 10 pagi, nurse bawa saya ke bilik scan untuk memeriksa perut. Waktu itu juga doktor tunjuk satu bungkusan hijau pada saya dan katakan ini ialah anak puan. Apabila doktor buka sahaja bungkusan tu, Allahuakbar… Tuhan saja tahu perasaan waktu itu.

Kehamilan Pramatang Dua Kali, Hebatnya Ibu Ini Hadapi Dugaan Menyayat Hati!

Anak saya sudah cukup sifat. Allah… dengan wajah dia yang sangat mirip ayahnya. Kemudian doktor menyuruh saya baring dan dia meletakkan anak di pangkuan saya. Saya belai jari jemari dia, sejuk sahaja.

Rasa macam hendak menjerit sekuat hati. Diri saya rasa sebak sangat. Doktor tak bagi saya memeluk anak terlalu lama kerana risau emosi saya terganggu.

Saya dihantar ke wad semula manakala anak saya tinggal di situ menunggu suami ambil untuk dikebumikan. Saya tak dibenarkan ikut kerana masih dalam rawatan. Muhammad Adam nama yang diberi😇. Selesai dikebumikan, suami sambung untuk persiapan pernikahan adik di malam hari.

Begitulah tragedi pertama dalam hidup saya. Dan saya berpantang seperti biasa di kampung. Selepas habis berpantang, saya pulang ke pangkuan suami.

Dan sekali lagi saya diuji

Saya mengandung kali kedua pada bulan Disember 2020, tahun yang sama selepas 2 bulan keguguran.

Mungkin ada yang bertanya saya tidak berpantang ke atau saya tak ambil perancang ke? Saya pantang hanya 44 hari dan saya tak ambil perancang kerana saya memang nak hamil. Saya terlalu inginkan anak. Setiap hari saya menangis teringatkan Adam.

Kandungan kedua saya berjalan lancar tanpa sebarang alahan, syukur pada Tuhan. Setiap kali check-up saya akan bertanya macam-macam kepada doktor kerana saya ade sejarah kehamilan pramatang sebelumnya. Penjagaan kali ini lebih rapi.

Pada usia kandungan saya 17 minggu, suami saya terpaksa ke operasi sekatan jalan raya di JB selama 2minggu (untuk Covid-19). Saya seorang  di rumah dan segalanya baik pada mulanya. Selepas 2 minggu, suami pulang ke kem dan perlu kuarantin 2minggu.

Pada hari ke-3 suami kuarantin, petang tu jam 4 petang perut saya mula rasa semacam. Rasa seperti yang sebelum ni. Saya cuba tahan tetapi semakin sakit dan pada jam 7 petang incaj datang jemput di rumah untuk bawa saya ke Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT).

“Air ketuban saya nak pecah!”

Sebaik sahaja sampai, perut semakin sakit. Doktor dan misi periksa mungkin saya mengalami kencing kotor. Perasaan rasa lega apabila mereka berkata begitu sebab saya takut peristiwa Adam berulang lagi.

Tapi sangkaan saya meleset. Doktor suruh saya balik, dan datang semula jika masih sakit. Saya enggan balik sebab tiada siapa di rumah saya takut sesuatu yang buruk akan terjadi. Doktor minta misi masukkan drip ke jari saya dan memberi saya ubat tahan sakit.

Semasa jururawat hendak mencucuk masukkan drip, sekali lagi saya menjerit,”NURSE AIR KETUBAN SAYA NAK PECAH!” Serentak dengan itu, POPPP pecah air ketuban dan katil basah.

Peristiwa Adam berulang lagi😭 Saya dinaikkan ke dalam ambulan dan dikejarkan ke hospital besar sambil ditemani 2 org misi. Sampai di hospital, doktor terus masukkan mulut itik untuk lihat keadaan bayi.

Bayi masih berada di dalam kantung, dan jantung masih berdegup normal. Saya ditahan di wad 1 malam dengan harapan untuk bayi selamat dan masih bernyawa. Kemudian pihak hospital memberitahu saya perlu dipindahkan ke hospital lain kerana hospital itu terdapat banyak pesakit covid. Saya memilih untuk ke Hospital segamat kerana ada saudara di sana.

Keesokkan harinya, suami ambil saya di hospital dan kami bergerak ke Segamat untuk meneruskan rawatan di sana. Dalam hati “InshaAllah semua baik-baik saja, Adik akan selamat aamiin”. Ayat itu sahaja bermain di bibir saya sentiasa.

Di Hospital Segamat, rawatan diteruskan. Setiap 5 jam doktor akan datang memeriksa keadaan bayi, masukkan antibiotik, scan jantung dan lain-lain. Mereka sangat peka dengan situasi saya. Terima kasih saya ucapkan kepada semua staff hospital dan doktor.

Doktor kata, bayi saya kuat, walaupun air ketuban kering, bayi masih survive di dalam kantung. Tetapi jika terlalu lama, mungkin bayi akan meninggal kerana tiada oksigen akibat kering ketuban. Doktor cadangkan untuk saya makan buah-buahan untuk percepatkan bayi kencing agar dapat mengembalikan air ketuban.

Saya mula makan buah-buahan seperti buah tembikai, limau. dan makan vitamin C dua kali setiap hari. Misi juga akan periksa degupan jantung bayi. Sangat kuat degupan macam tiada apa-apa yang  berlaku. Dia sihat sahaja tetapi hari ke 3 di dalam ward, jam 6 petang saya mula sakit seperti hendak membuang air besar.

Nurse tidak benarkan saya ke tandas kerana dia risau benda lain yang keluar. Jadi, saya dipakaikan lampin. Selepas 2 jam dah mula ada contraction kecil. Misi datang timing perut saya dan dapati saya sedang alami contraction setiap 5 minit.

Doctor periksa bukaan jalan sudah 4 cm. Saya bakal bersalin buat kedua kalinya dengan nyawa anak saya takkan selamat. Usia kandungan waktu itu genap 20 minggu. Jam 12 tengah malam saya masuk ke dalam wad bersalin dan ditinggalkan seorang diri, beranak seorang diri kerana anak takkan selamat.

Saya menangis sambil menahan sakit contraction. Selepas setengah jam, anak saya dilahirkan dan saya menjerit panggil misi. Doktor dan misi masuk bersama suami. Anak saya masih bernyawa, misi letak atas dada saya. Saya nampak jantung dia berdegup. Badannya kecil sebesar tapak tangan, berat 390 gram dan dia juga cukup sifat seperi abangnya walaupun dia jauh lebih kecil.

Perlahan-lahan nafasnya mula menurun, dadanya yang berombak makin menurun. Dia sedang nazak kerana tak mampu bernafas sendiri. Anak saya nazak di pangkuan dan nafas dia berakhir.

Allahu… sekali lagi Ya Allah..

Kehamilan Pramatang Dua Kali, Hebatnya Ibu Ini Hadapi Dugaan Menyayat Hati!

Pada 5 April 2020, saya kehilangan putera kedua saya yang diberi nama Muhammad Azbin Athallah yang dikebumikan di Segamat.

Suami meminta pihak hospital melakukan siasatan kenapa perkara yang sama terjadi sebanyak dua kali. Ujian dilakukan, sample darah, uri dan bayi diambil. Saya tak dibenarkan hamil selagi keputusan belum keluar. Keputusan pula mungkin mengambil masa dalam 6 bulan.

Kehamilan Pramatang Dua Kali, Hebatnya Ibu Ini Hadapi Dugaan Menyayat Hati!

Dan kali ini saya serik untuk mengandung lagi kerana saya takut saya akan kehilangan anak lagi.

Tapi Allah adalah sebaik-baik perancang

Pada bulan Mei 2020, sekali lagi saya mengandung untuk kali ke-3. Saya tidak tahu saya mengandung ketika itu. Setiap hari saya rasa hendak minum air Coke. Bila tak dapat, saya rasa gelisah. Suami perasan perangai saya lain kemudian dia membeli pregnancy kit untuk test. Keesokkan paginya saya test dan Positif.

Untuk pertama kalinya saya tak gembira. Saya takut dan saya bercadang untuk sembunyikan daripada suami dan menggugurkan kandungan. Saya serik kehilangan anak. Biarlah saya buang dia dari awal daripada meninggal selepas menjadi seorang bayi.

Tetapi hati saya berbisik untuk tunjuk dulu kepada suami, dan tengok reaksinya. Kalau dia juga tidak setuju, kami akan sama-sama buang kandungan ni. Apabila saya tunjuk sahaja kit double line pada dia, dia sangat gembira sehingga enggan masuk kerja. Berkali-kali dia ucap Alhamdulillah.

Saya buntu… Saya tak nak kandungan ini.

Tetapi niat saya terbantut sebab suami sangat inginkan anak. Daripada riak wajah dia, saya tahu dia terkilan, dia sunyi. Saya pun begitu tetapi semua yang terjadi bukan kehendak saya.

Saya mengandung sebelum dapat keputusan ujian yang dilakukan di Hospital Segamat. Risau, takut, semua perasaan ada. Setelah mendapat tahu saya mengandung, suami membuat persiapan untuk saya pulang ke kampung, dia ingin saya mendapat rehat secukupnya di sana, supaya kandungan kali ini berjaya dan sihat.

Saya berada di kampung sepanjang kehamilan dan dapatkan rawatan di klinik tempat ibu mertua bekerja. Selepas doktor melihat sejarah keguguran second trimester sebanyak kali, doktor menulis surat rujukan ke hospital untuk saya lakukan ujian CERVICAL CERCLAGE.

Ini kerana mungkin rahim saya lemah untuk menampung kandungan yang berat. Pada usia kandungan 13 minggu, saya dimasukkan ke dalam wad untuk lakukan cervical cerlage yang mana prosesnya sama macam bersalin czer.

Syukur Alhamdulillah. Semua Allah permudahkan… Urusan cuti suami untuk ulang alik ziarah saya, urusan hospital, semua mudah walaupun waktu pandemik. Selepas siap pasang cerlage, doktor pesan untuk saya banyak berehat, tidak boleh angkat berat dan lain-lain lagi.

Semua berjalan lancar. Saya ikut semua nasihat dan saranan doktor. Setiap bulan saya ade follow-up dengan klinik pakar O&G utk periksa cerclage saya adakah dalam keadaan baik dan sebagainya. Pada usia kandungan 20 minggu, keputusan dari Hospital Segamat keluar dan keputusan menunjukkan saya mengalami masalah rahim pendek.

Ia akan semakin memendek sejurus bertambah besar kandungan. Oleh sebab itu, rahim saya tidak mampu menampung dan bayi keluar lebih awal. Saya memberitahu doktor yang saya sedang hamil 20 minggu dan telah lakukan cerclage. Doctor doakan semua baik-baik saja dan kandungan selamat cecah ke 39 minggu. Aamiin…

Awan tak selalu cerah

Pada 25 minggu, mula ada spotting. Saya terus ke hospital dan doktor periksa keadaan saya dan beritahu bahawa semua dalam keadaan baik. Mungkin saya tidak cukup rehat. Saya perlu banyak bed rest. Saya pulang ke rumah dan esoknya makin banyak spotting jadi saya ke hospital sekali lagi.

Kali ini saya dimasukkan ke hospital selama sebulan. Cerclage ade bukaan 1 cm. Rahim makin memendek 1 mm sahaja, bila-bila masa kandungan boleh jatuh.

Mungkin saya terlalu banyak bergerak atau angkat sesuatu yang berat. Jadi doktor pastikan saya bed rest dan hanya dibenarkan berjalan ke tandas sahaja di hospital semalam sebulan. Mandi pun tidak lebih 10 minit itupun saya terpaksa duduk di atas kerusi.

Setiap hari sebelum tidur, saya perlu masukkan ubat progestrone ke dalam faraj untuk tujuan menguatkan rahim dan kandungan dan cucuk dexa 4 kali. Pada 29 mingg, .genap sebulan di hospital saya dibenarkan balik dengan syarat perlu banyak berehat dan jangan banyak bergerak.

Ukuran rahim kembali panjang iaitu 3.1cm selepas seminggu saya di rumah. Pada usia kandungan 30minggu, kali ini lebih dasyat, saya sedar pada jam 7 pagi, tiba-tiba ada air mengalir tanpa henti seperti air kencing tetapi saya tidak boleh tahan daripada terus mengalir.

Saya panggil kakak, dan kakak kata itu air ketuban. Allah… takkan sekali lagi ya Allah.

Saya menangis. Saya sudah tidak mampu berfikir. Walaupun dgn Cervical Cerclage, masih tidak mampu untuk mengawal kelahiran pramatang saya. Abang ipar saya hantar saya ke hospital di wad bersalin risiko rendah.

Air ketuban saya tidak berhenti-henti mengalir. Doktor terus lakukan CTG, periksa guna mulut itik. Ada contraction dan bukaan jalan 4cm. Allahu… saya sendiri tidak tahu kenapa semua ini terjadi. Tiga kali berturut-turut.

Pihak hospital memaklumkan suami untuk balik kemungkinan isteri akan bersalin. Saya dimasukkan drip, dan ubat Magsuf. Ubat tu dimasukkan selama 24 jam untuk neuro protection untuk bayi yang bakal dilahirkan.

Oleh sebab kelahirannya pramatang, jadi otaknya sangat fragile. Ubat Magsuf sangat panas sehingga saya mengelupur kepanasan. Doktor tahu namun dia tidak dapat lakukan apa-apa kerana ini semua demi bayi saya sendiri.

Seperti sebelum ini, Dexa juga dicucuk 4 kali untuk paru-paru bayi pramatang. Segala persiapan telah doktor lakukan untuk menyambut kelahiran bayi pramatang saya. Saya dimasukkn ke sebuah bilik yang sangat sejuk untuk mengurangkan rasa bahang Magsuf yang disuntik untuk 24 jam. Tetapi bilik yang sejuk tu tidak terasa apa kerana ubat sangat menyeksakan.

Sy dipasangkan tiub kencing, dan tidak dibenarkan bangun. Mandi jugak tidak boleh dan misi akan bantu lap-lapkan badan saya setiap hari. Pada hari ke-2 di bilik sejuk tu, keadaan saya normal, air ketuban mula berhenti keluar.

Pada petang tu saya ditukarkan ke wad biasa. Malam itu juga saya rasa pergerakkan bayi saya kurang aktif. Esoknya saya meminta doktor untuk buat CTG kerana saya rasa tidak sedap hati. dan benar jangkaan saya, baby fetal distress jadi saya perlu diletakkan dalam emergency czer pada kandungan 30 minggu 3 hari.

bayi pra matang

Lahirnya seorang puteri saya seberat 1.2kg. Bayi selamat dilahirkan, dan memerlukan bantuan pernafasan. SYUKUR YA ALLAH.

Disebabkan COVID-19, saya hanya dibenarkan melawat bayi seminggu sekali selama sebulan di hospital. Beratnya mencecah 1.4kg selama 2 bulan bayi berada di NICU.

bayi pra matang

Akhirnya dia discaj dgn berat 1.9kg.

bayi pra matang

Setelah discaj, bayi saya selalu tersedak sampai tidak bernafas dan dia akan mengelupur tercunggap-cunggap cuba bernafas. Ini disebabkan saluran tidak matang.

Setiap hari, malah setiap malam bayi saya akan menjadi begitu. Saya tidak boleh tidur lena waktu malam sebab takut tidak sedar bayi lemas. Selepas 5 bulan semuanya beransur baik. Bayi sihat tanpa sebarang masalah.

bayi pra matang

Sekarang usia dia dah 8 bulan CA 6bulan, masih ada follow-up dengan pakar paeds tetapi dia membesar dengan baik, perkembangan dia juga bertambah baik.

Alhamdulillah penantian 2 tahun, dua kali kehilangan… Allah ganti dgn pelangi.

CA =corrected age.. umur yang sepatutnya dilahirkan mengikut due date sebenar.

Kehamilan Pramatang Dua Kali, Hebatnya Ibu Ini Hadapi Dugaan Menyayat Hati!

Artikel ini ditulis oleh VIP Parent, Nurul Hawa Binti Zainal untuk theAsianparent Malaysia

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Perkara penting ibu ayah perlu tahu tentang kelahiran bayi pramatang

Baca juga: Perjuangan Bayi Pramatang Terkecil Di Dunia Yang Lahir 4 Bulan Lebih Awal!

Baca juga: Bayi Pramatang Bertarung Nyawa Berjaya Diselamatkan Oleh Kembarnya

 

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!