Kenapa ‘Makan Untuk Dua Orang’ Tidak Bagus Semasa Mengandung

‘Makan untuk dua orang’ adalah istilah yang sering digunakan ketika mengandung bagi mengizinkan para ibu hamil makan apa sahaja yang diingininya. Namun, adakah ia amalan pemakan yang sihat? Jom baca untuk ketahui lebih lanjut!

Sememangnya, apabila dapat sahaja berita kehamilan, pasti ramai wanita yang tersenyum. Bukan sahaja gembira kerana dapat menimang cahaya mata baru tidak lama lagi, tetapi kerana sudah membayangkan segala makanan yang lazat yang boleh dijamah tanpa rasa bersalah.

Yelah, kita kan ‘makan untuk dua orang’ – untuk perut ibu dan juga untuk bayi. Tetapi, di sini, kami ingin kongsikan dengan anda kenapa ‘makan untuk dua orang’ tidak bagus semasa mengandung!

Mitos ‘Makan untuk Dua Orang’ Semasa Mengandung

Ia telah menjadi kebiasaan untuk para ibu meminta hidangan yang sedap ketika hamil. Daging rusa bakar, nasi sebeban dalam pinggan, dan juga kek serta biskut choco chip boleh dijamah oleh ibu mengandung tanpa rasa segan silu.

Malah, ada juga para suami yang sangat gigih mencari apa sahaja yang diingini oleh si isteri ketika hamil.

Kenapa Makan Untuk Dua Orang Tidak Bagus Semasa Mengandung

Source: BBC.com

Mungkin telah sampai masanya untuk kita memperbetulkan apa yang kurang betul. Sebenarnya, istilah ‘makan untuk dua orang’ itu ada benarnya.

Tetapi, apa yang kurang tepat adalah ramai yang menyangka bayi itu memerlukan jumlah makanan yang sama banyak seperti orang dewasa.

Sedangkan, saiz bayi dalam rahim adalah mungkin cuma sebesar kacang pada trimester awal dan hanya sebesar tembikai pada trimester akhir.

Jadi, apabila para ibu mula makan semberono, tanpa mengawal jumlah pengambilan makanan serta nutrien, lebih banyak mudarat yang berlaku berbanding perkara baik.

Kenapa ‘Makan untuk Dua Orang’ Semasa Mengandung Tidak Bagus untuk Ibu dan Bayi

Kalau anda hendak tahu, antara sebab utama kenapa ‘makan untuk dua orang’ tidak bagus semasa mengandung, terutamanya jika ia sehingga di luar kawalan, adalah kerana ia membawa komplikasi kesihatan yang serius kepada ibu hamil.

Antaranya adalah seperti:

  • Diabetes semasa kehamilan, turut dikenali sebagai ‘gestational diabetes’. Apabila ia terjadi kepada ibu mengandung, risiko untuk terkena kencing manis selepas kehamilan adalah tinggi.
  • Jika ibu mula naik berat badan yang berlebihan dan mengalami obesiti, takut-takut akan berlaku komplikasi kesihatan seperti darah tinggi yang teruk di trimester akhir (preeclampsia).
  • Risiko obesiti juga boleh terus bersambung selepas melahirkan anak kerana sukar untuk menurunkan berat badan semula selepas bersalin.

Amalan pemakanan yang tidak dikawal ketika hamil juga akan memberikan kesan negatif kepada kesihatan bayi. Antaranya adalah seperti:

  • Bayi akan lahir tidak cukup bulan
  • Kebarangkalian untuk dilahirkan secara pembedahan menjadi lebih tinggi
  • Risiko untuk bayi menjadi obese apabila dewasa
  • Risiko demam kuning pada bayi juga meningkat

Cadangan Amalan Pemakanan Sihat Ketika Mengandung oleh Pakar Nutrisi Havard

Daripada kita semua terus mengizinkan amalan ‘makan untuk dua orang’ di tahap luar kawalan di kalangan ibu hamil, lebih baik kiranya kita memberikan cadangan amalan pemakanan yang lebih sihat buat ibu yang sedang mengandung.

Antara cadangan pemakanan ketika hamil yang bagus adalah seperti yang direkomenkan oleh pakar nutrisi dari universiti terkemuka Amerika Syarikat, Universiti Harvard. Ia digelar ‘Pinggan Pemakanan yang Sihat’ ataupun ‘The Healthy Eating Plate.

Kenapa Makan Untuk Dua Orang Tidak Bagus Semasa Mengandung

Source: Harvard.edu

Antara tip-tip yang dikongsikan adalah seperti:

  • Ambil sayuran dan buah-buahan pelbagai warna (buah dan sayuran yang berlainan warna mempunyai kandungan nutrien yang berbeza-beza!) dan penuhkan sehingga ½ pinggan.
  • Ambil gandum dan bijirin seperti nasi, gandum, barli, oat, pasta dan penuhkan hanya ¼ pinggan. Anda digalakkan untuk mengambil bijirin penuh (berwarna perang) berbanding yang telah diproses lanjut (berwarna putih).
  • Penuhkan ¼ pinggan lagi dengan makanan protein seperti kekacang, daging merah, daging putih dan ikan. Elakkan daripada mengambil makanan yang diproses seperti makanan dalam tin atau botol, sosej, nugget dan sebagainya.
  • Kurangkan minuman bergula tidak bernutrien seperti air soda atau jus buah yang diproses dalam tin, kotak, mahupun botol. Kurangkan juga minuman dairi seperti susu mahupun cheese.
  • Anda juga digalakkan untuk kekal aktif. Banyakkan bergerak dan bersenam bagi mengekalkan berat badan yang sihat seperti yang dicadangkan buat ibu mengandung.

Berat Badan Optimum untuk Ibu Mengandung

Akhir sekali, jom ketahui apakah pertambahan berat badan yang ideal buat ibu hamil.

Kenapa Makan Untuk Dua Orang Tidak Bagus Semasa Mengandung

Source: Bebevue.com

Menurut US Women’s Health, untuk mereka yang sebelum ini mempunyai berat badan yang ideal, anda patut mengalami penambahan berat badan antara 10 hingga 13 kg sahaja.

Mereka yang kurang berat badan (BMI rendah) pula, penambahan berat badan ketika mengandung perlu di antara 12 kg sehingga 18 kg.

Jika anda telah pun mempunyai berat badan yang berlebihan sebelum mengandung, penambahan berat badan yang sepatutnya adalah antara 6 ke 11 kg sahaja.

Jika anda obese pula sebelum mengandung, penambahan berat badan yang ideal bagi anda pula hanyalah sekitar 5 ke 9 kg sahaja!

Jadi, jom amalkan cara pemakanan sihat ketika mengandung bagi mendapatkan proses bersalin yang lebih lancar dan selamat, serta pada masa yang sama dapat mengekalkan kesihatan si ibu dan juga bayi.

Tiada lagi istilah ‘makan untuk dua orang’ yang dieksplotasi sehingga berat badan ibu bertambah secara berlebihan dan berada di tahap luar kawalan!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!