Kes kanak-kanak lemas - Jangan jadi mangsa!

Apa yang perlu dilakukan jika ada orang sedang lemas? Bagaimana anda boleh mengelakkan kemalangan seperti ini daripada terjadi pada anak anda? Mari selami perbincangan topik kali ini.

Anak-anakku, Aidil dan Sofia, kelihatan gembira melompat-lompat bermain dengan ombak yang menghempas pantai.

Sesekali mereka pergi ke tengah sedikit mengejar ombak yang meninggalkan gigi air. Aku menyambung pembacaan novelku yang terhenti tadi.

“Aidil! Sofia!”

Aku tidak nampak kellibat Aidil dan Sofia di mana-mana!

Kanak-kanak lain yang tadinya bermain bersamanya masih lagi di situ. Tetapi tidak Aidil dan Sofia.

Aku mula panik.

Sekiranya anda berada di dalam situasi di atas, pasti anda juga akan panik. 20 saat. Itu masa yang diperlukan bagi seorang kanak-kanak untuk lemas di dalam air, walaupun hanya berkedalaman 5cm!

Maka tidak hairanlah begitu banyak kes kanak-kanak lemas kita dengar saban hari.

Pada 6 Julai 2016, seorang remaja perempuan mati lemas ketika mandi bersama keluarga dan jirannya di Pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar, Kota Tinggi.

Pada 20 September 2015, seorang kanak-kanak lelaki yang terjatuh di anak sungai di Taman Sri Matang, ditemui mati lemas, kira-kira 60 meter dari lokasi kejadian.

Pada 1 Jun 2013, dua orang kanak-kanak, 11 dan 13 tahun mati lemas ketika mandi di Pantai 3, Telok Kemang, Port Dickson apabila dilambung ombak kuat hingga hanyut ke tengah.

Pada 17 Mei 2013, seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun mati lemas akibat terjatuh ke dalam sungai ketika bermain di atas sampan milik datuknya di Tumpat.

Pada 29 Mac 2013, seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun antara tiga orang yang mati lemas ketika berkelah di Pantai Chendering, Kuala Terengganu. Mangsa dipercayai hilang dibawa arus.

Tiga kes kanak-kanak lemas di atas merupakan antara ratusan kes kanak-kanak lemas yang berlaku di Malaysia setiap tahun. Menurut laporan Pencegahan Kanak-kanak Lemas di Malaysia, kira-kira 300 kanak-kanak (di bawah umur 18 tahun) mati lemas setiap tahun di Malaysia.

Itu tidak termasuk 200 lagi kanak-kanak lain yang lemas tetapi berjaya diselamatkan. Ini menyumbang kepada 44.5% daripada keseluruhan kes mati lemas di negara ini.

BERKAIT: 14-month-old drowns in pail of water

Apa perlu dilakukan jika ada orang sedang lemas

Kaedah 1: Capai

Cuba capai mangsa tanpa masuk ke dalam air. Kaedah ini sesuai dilakukan jika mangsa berada berhampiran tebing sungai atau kolam.

Pastikan anda sendiri berada dalam keadaan selamat dan tidak berisiko untuk ditarik mangsa. Berpautlah pada sesuatu yang kukuh sebelum anda cuba mencapai mangsa.

Hulurkan sesuatu kepada mangsa untuknya berpaut jika tangan anda tidak sampai untuk mencapai mangsa. Jika anda perlu untuk masuk juga ke dalam air, pastikan anda berpegang pada sesuatu yang kukuh.

Kaedah 2: Campak

Campakkan sesuatu yang boleh digunakan oleh mangsa untuk mengapungkan diri seperti pelampung, kick board renang, pelampung bertali (jika di kolam renang), dan sebagainya.

BERKAIT: Must know pool safety tips for your toddler

Kaedah 3: Guna bot

Sekiranya terdapat bot berhampiran dengan tempat kejadian, guna bot untuk pergi kepada mangsa. Bantu mangsa untuk berpaut pada badan bot dan masuk ke dalam bot.

Kaedah 4: Berenang

Reaksi pertama kebanyakan daripada kita lakukan apabila ingin menyelamatkan mangsa lemas adalah terjun ke dalam air dan berenang untuk mendapatkan mangsa. Namun sebenarnya kaedah ini sepatutnya menjadi pilihan terakhir jika kita ingin menyelamatkan mangsa lemas kerana kaedah ini adalah kaedah paling berisiko.

Jangan cuba selamatkan orang lemas dengan pergi berenang mendapatkannya KECUALI anda memang terlatih untuk itu dan mempunyai alat yang lengkap.

Seseorang yang sedang lemas adalah terdesak dan akan menarik apa sahaja yang dirasakan boleh membantunya terapung termasuklah badan anda!  Anda mungkin akan sama-sama tenggelam.

Dalam kes di Pantai Chendering di atas, salah seorang saudara yang turut membantu usaha menyelamatkan mangsa turut hampir lemas. Sekiranya terpaksa berenang mendapatkan mangsa, bawa tuala atau baju untuk mangsa pegang. Tarik objek tersebut dan bukannya mangsa, ketika cuba membawa mangsa ke tepi.

BERKAIT: Teach your kid how to swim

Langkah pencegahan

Lebih daripada 70 peratus kes kanak-kanak lemas adalah disebabkan kurang pengawasan ibubapa atau orang dewasa.

Kebanyakan mangsa lemas tidak kelihatan seperti mereka sedang lemas. Mereka tidak menjerit atau melambai-lambai kerana ketika sedang lemas, mereka lebih fokus untuk survive daripada meminta tolong.

Oleh itu, ibubapa perlu sentiasa berkomunikasi dengan anak-anak ketika mereka berada di dalam air bagi memastikan mereka dalam keadaan baik.

Penjaga perlu berada hampir dengan kanak-kanak. Jangan leka melakukan perkara-perkara seperti membaca, berbual, membelek gajet dan lain-lain. Jangan sekali-kali tinggalkan anak-anak bermain air sendirian walaupun untuk beberapa saat.

Ingat, kanak-kanak boleh lemas dalam masa hanya 20 saat. Ajar anak anda berenang. Patuhi simbol atau arahan yang terdapat di kawasan pantai/air terjun/sungai. Jangan pula buat-buat tidak nampak arahan yang menyatakan “Dilarang Berenang Di Sini”. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

BERKAIT: How to hold your baby in a pool

 

Rujukan:

Two children drowned in Port Dickson, one still missing

Kanak-kanak Lemas Di Sungai Ketika Bermain

Tiga mati lemas ketika berkelah

Be in the swim on drowning risks

Drowning prevention tips

Water safety and drowning